Pesat pembangunan kota raya Kuala Lumpur dengan denyut modenisasi dan pengukuhan nilai mata wang ringgit kini. Satu kata tahniah yang boleh diucapkan kepada mereka yang sedang memegang tampuk pemerintahan negara. Di antara teras kemajuan itu, terbina satu siluet megah galeri yang menjadi lambang kebanggaan negara. Seni terus menjadi nadi yang menyatukan jiwa masyarakat. Dalam perjalanan panjang landskap seni tempatan, pembukaan GALERI PETRONAS hadir sebagai ruang simbol kesinambungan warisan, aspirasi dan identiti. Di sinilah seni rakyat Malaysia mampu dipamer untuk terus berkembang.
Sejak ditubuhkan dan mula dibuka pada tahun 1992, galeri ini membawa misi yang jelas yakni untuk mempromosi, membangun dan memelihara seni kontemporari Malaysia. Bermula di Kompleks Dayabumi, ia membuka pintu kepada dunia kreativiti tempatan yang sarat dengan jiwa, pemikiran dan suara masyarakat. Pada ketika negara sedang mengorak langkah menuju era moden, galeri ini muncul sebagai platform penting yang memberi ruang kepada pelukis, pengarca dan pengkarya tempatan. Mereka akan dapat menampilkan karya mereka kepada khalayak lebih ramai.


Perjalanan itu kemudian berkembang seiring pertumbuhan kota Kuala Lumpur sendiri. Tahun 1998 menyaksikan perpindahan galeri itu ke pusat mercu tanda negara di Suria KLCC, menjadikannya antara institusi seni paling berpengaruh dalam mempertemukan seni Malaysia dengan khalayak antarabangsa. Selama lebih dua dekad, GALERI PETRONAS bukan sahaja menjadi ruang pameran, malah medan dialog budaya, pemikiran dan imaginasi.
Kini, pembukaan semula galeri tersebut di Ombak KLCC tahun ini, 2026, akan membawa makna yang lebih besar daripada sekadar perubahan lokasi fizikal. Ia melambangkan tekad baharu untuk terus memacu seni dalam era yang semakin digital, pantas, interaktif dan mencabar. Dengan ruang yang lebih luas, visi yang lebih berani dan pendekatan yang lebih inklusif, galeri ini bersedia menjadi rumah kepada generasi pengkarya seni baharu. Lebih puas lagi peluangnya, untuk mereka yang mahu membawa seni Malaysia ke pentas mata dunia.
Lebih menarik lagi, langkah pemindahan ini hadir pada waktu masyarakat semakin dahagakan pengalaman budaya yang unik. Dengan dunia moden termasuk perubahan AI di mana-mana yang seiring hiruk-pikuk teknologi dan informasi yang pantas, seni menawarkan ruang renungan, emosi dan kemanusiaan. Galeri bukan lagi hanya menjadi tempat pengkarya seni menggantung lukisan semata-mata, tetapi pusat interaksi idea dan pemikiran. Sudah tentu dalam masa sama mampu menyatukan pelbagai latar belakang masyarakat.
Pembukaan semula GALERI PETRONAS di Ombak KLCC juga memberi isyarat penting bahawa industri seni tidak pernah dipinggirkan dalam arus pembangunan negara. Sebaliknya, seni dilihat sebagai elemen penting dalam membentuk tamadun yang seimbang. Bukan hanya maju daripada sudut ekonomi dan teknologi, tetapi juga kaya nilai budaya dan identiti bangsa.
Tatkala generasi muda semakin terus mencari ruang untuk bersuara dan berkarya, institusi seperti ini layak menjadi jambatan yang menghubungkan tradisi dan masa depan. Ia membuka peluang kolaborasi, pendidikan seni dan penghargaan budaya yang lebih luas kepada masyarakat umum.
Intihanya, meniti pembukaan semula kegahan GALERI PETRONAS, ia bakal menyingkap lembaran baharu sebuah galeri seni. Ia adalah perayaan terhadap perjalanan panjang seni Malaysia. Satu perjalanan yang dibina atas kreativiti, keberanian dan semangat seni untuk terus bermimpi lebih besar. Kepada setiap karya yang bakal dipamerkan, tentunya tersimpan cerita tentang negara, masyarakat dan harapan masa depan yang tidak pernah padam.