LANGGAN

Kembara Muzik Bersama Gerard Salonga

Pementasan ‘Harry Potter and the Prisoner of Azkaban In Concert’ yang sempurna oleh Gerard Salonga
Published: June 30, 2026

Dalam dunia muzik orkestra yang menuntut ketelitian tinggi dan disiplin yang rapi, Gerard Salonga muncul sebagai figura yang menggabungkan kehalusan artistik dengan komunikasi yang jelas di atas pentas. Sejak dilantik sebagai Konduktor Residen Malaysian Philharmonic Orchestra pada tahun 2019 berbekalkan pengalaman antarabangsa di pentas seperti Royal Albert Hall dan Sydney Opera House, dia bukan sahaja memperkukuh tradisi muzik klasik, malah berani meneroka persembahan filem dan produksi berskala besar yang lebih dekat dengan generasi kini. Menerusi pementasan ‘Harry Potter and the Prisoner of Azkaban In Concert’, Gerard terus memperlihatkan keupayaan menghidupkan karya sinematik dalam bentuk orkestra secara langsung. 

Gerard Salonga

ELLE Men: Bagaimana anda menggambarkan gaya pengendalian dan pendekatan muzik anda hari ini?


Gerard Salonga: Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir tentang perkara itu. Apa yang saya utamakan adalah untuk berkomunikasi dengan jelas, sama ada melalui gerak tubuh mahupun secara lisan. Itu sebenarnya matlamat utama setiap konduktor. Mempunyai idea yang bernilai untuk dikongsi dan menyampaikannya dengan jelas kepada para pemuzik dalam orkestra.

EM: Bagaimana pengalaman anda bekerja dalam dunia orkestra dari pelbagai negara membentuk pendekatan anda terhadap muzik?


GS: Bekerja dengan pelbagai orkestra memberi saya peluang untuk memahami budaya muzik dan identiti yang berbeza dari setiap kumpulan. Setiap orkestra mempunyai personaliti tersendiri dan sebagai konduktor jemputan, amat penting untuk membina komunikasi serta keserasian dengan mereka. Setiap individu juga mempunyai cara belajar dan tahap sensitiviti yang berbeza. Jadi, ia lebih daripada sekadar pendekatan muzik, pengalaman ini mengajar saya untuk memahami situasi dan menyesuaikan diri dengan cepat demi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

EM: Boleh anda kongsikan proses persiapan sebelum mengendalikan persembahan besar, terutamanya untuk tayangan filem seperti Harry Potter?


GS: Pendekatan saya sentiasa sama, tanpa mengira repertoire, iaitu memahami muzik sebaik mungkin. Namun untuk siri ‘Films In Concert’ seperti ‘Harry Potter’ atau ‘Star War’s, terdapat satu lapisan tambahan iaitu elemen filem itu sendiri.

Saya biasanya akan mula dengan membuka skor muzik dan menonton video konduktor yang disediakan. Video ini mengandungi muzik, dialog, kesan bunyi serta click track secara berasingan, membolehkan saya fokus kepada setiap elemen. Ia juga dilengkapi dengan streamers dan punches sebagai panduan visual untuk memastikan sinkronisasi dengan filem.

Langkah pertama saya adalah memastikan semuanya lengkap dan tepat. Selepas itu, saya akan berehat seketika daripada filem dan memberi fokus sepenuhnya kepada muzik, termasuk mengenal pasti cue penting untuk para pemuzik. Selepas beberapa kali mengulang skor, saya akan kembali kepada filem untuk mengenal pasti momen penting dan ruang fleksibiliti dalam persembahan. Di akhir proses, saya akan semak semula sebarang kesilapan.

EM: Apakah cabaran utama dalam mempersembahkan konsert filem secara langsung, terutamanya untuk francais popular?


GS: Salah satu cabarannya ialah skor muzik asal. Sebagai contoh, muzik ‘Star Wars’ asalnya dimainkan oleh London Symphony Orchestra dan antara orkestra terbaik dunia. Jadi, jangkaan penonton juga tinggi. Namun, kecintaan kami terhadap muzik dan penghormatan kepada komposer menjadi dorongan untuk memberikan yang terbaik.

EM: Apakah yang paling mengujakan anda tentang menghidupkan filem ini melalui orkestra secara langsung?


GS: Pertama sekali, muziknya sangat hebat. Kedua, tenaga daripada penonton dalam konsert filem sememangnya luar biasa. Penonton dapat menjangkakan bunyi orkestra yang memukau, visual filem yang indah dan pelbagai momen magis sepanjang persembahan.

EM: Bagaimana anda memastikan orkestra dapat menyampaikan elemen magis dan emosi dunia Wizarding?


GS: Semua keajaiban muzik itu sudah pun dihasilkan oleh John Williams. Tugas MPO adalah untuk menghidupkannya di pentas dengan baik dan sebaik dan tepat.

EM: Antara konsert terdahulu bersama MPO, yang manakah paling bermakna buat anda?


GS: Saya rasa semuanya istimewa tetapi jika perlu pilih, ‘Ratatouille In Concert’ pada tahun 2016 adalah yang paling bermakna. Ia merupakan konsert pertama saya bersama MPO dan juga konsert filem pertama saya. Lebih istimewa, tahun ini genap sepuluh tahun sejak persembahan  itu.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down