Menerusi Phantom Regatta, Rolls-Royce membawa inspirasi daripada keindahan perairan pantai selatan England. Gabungan elemen laut, dunia pelayaran dan seni pertukangan tangan menghasilkan sebuah Phantom Extended dalam satu unit sahaja.
Diperkenalkan sebagai karya khas (one-of-one commission), Phantom Regatta bakal dipersembahkan di Goodwood Festival of Speed 2026. Terletak tidak jauh daripada lokasi yang menjadi sumber inspirasinya di kawasan perairan Solent dan Chichesters Harbour.
Phantom Regatta mengambil ilham daripada budaya regatta dan kapal layar yang menjadi sebahagian daripada identiti pantai selatan England. Salah satu acaranya adalah pelayaran terkenal Cowes Week. Phantom Regatta menggambarkan bagaimana elemen pelayaran boleh diterjemahkan ke dalam sebuah Phantom melalui gabungan warna, kayu, kulit dan logam yang dihasilkan secara teliti oleh tenaga pakar di Goodwood.
Bahagian luaran Phantom Regatta hadir dengan gabungan warna Regatta Blue dan English White. Warna biru gelap diinspirasikan daripada kedalaman laut, manakala kemasan putih pada bahagian bawah badan kereta mengingatkan kepada garisan badan kapal layar yang bertemu dengan permukaan air.
Reka bentuk dua tona ini memberikan gambaran seolah-olah sebuah kapal layar sedang bergerak di atas laut. Ia turut dilengkapi roda 22 inci dengan kemasan berkilat penuh yang mengambil inspirasi daripada permukaan logam pada peralatan kapal layar.
Memasuki ruang kabin, suasana Phantom Regatta membawa rasa seperti berada di atas kapal layar eksklusif. Bahagian hadapan menggunakan kemasan kulit Navy Blue, manakala ruang belakang dihiasi dengan warna Grace White yang menyerupai layar kapal dan buih ombak.
Perincian kecil seperti jahitan kontras, sulaman RR berwarna turquoise serta gabungan kayu Piano Milori dan Royal Walnut memberikan sentuhan nautika yang lebih mendalam.
Antara elemen paling menarik ialah meja piknik belakang yang direka menyerupai dek kapal layar. Dihasilkan daripada 16 kepingan kayu Royal Walnut yang dipotong dan disusun secara manual, kemasan ini mengambil masa kira-kira 120 jam untuk disiapkan bagi memastikan corak kayu kelihatan sempurna.
Salah satu tarikan utama Phantom Regatta ialah karya seni tangan ‘Watercolour’ yang memenuhi bahagian Gallery di ruang dalaman. Lukisan ini menggambarkan pergerakan air dan ombak menggunakan teknik campuran warna khas yang dibangunkan oleh artis dalaman Rolls-Royce.
Selain itu, bahagian siling menampilkan Bespoke Starlight Headliner dengan 1,307 gentian optik yang disusun tangan, diinspirasikan daripada aliran arus pasang surut di sekitar Isle of Wight. Pada waktu malam, elemen ini memberikan pengalaman seakan melihat langit berbintang di atas laut terbuka.