LANGGAN

'Luarlah' - Alam Untuk Jiwa Asing

Menyingkap sisi tersembunyi melalui pengalaman auntentik
Published: April 29, 2026

Ramai antara kita semakin jauh daripada kepekaan serta pengetahuan tradisional yang suatu ketika dahulu membentuk cara hidup manusia bersama alam. Daripada kesedaran ini, Luarlah hadir sebagai satu inisiatif yang mengajak orang ramai kembali ke alam luar secara fizikal tetapi juga dari sudut budaya dan pemikiran. 

Luarlah

ELLE Men: Apakah konsep disebalik Luarlah?

Luarlah: Kami mengumpulkan sekumpulan kecil peserta sekitar 10 orang untuk merasai pengalaman hidup seharian seperti komuniti Orang Asli. Pengalaman ini berlangsung di kampung atau kawasan luar bandar. Di sini peserta dapat memperlahankan rentak hidup, berinteraksi dengan alam serta mempelajari kemahiran asas manusia melalui perkongsian ilmu daripada komuniti tempatan.

Pada dasarnya, Luarlah bukan sekadar tentang pengembaraan tetapi tentang menemukan semula hubungan kita dengan bumi, budaya dan kepekaan terhadap alam sekitar.

EM: Apa yang mendorong anda untuk mula mengembara dan meneroka tempat-tempat di luar destinasi pelancongan biasa? 

L: Semuanya bermula dengan rasa ingin tahu. Kami sering menemui tempat-tempat menarik di lokasi yang tidak dijangka dan dari situ kami menyedari bahawa pengalaman paling bermakna sering berlaku bukan di destinasi terkenal tetapi di tempat yang tenang dan kurang dikenali.

Apabila mengembara ke kawasan seperti ini, kita mula menyedari perkara-perkara kecil seperti cara masyarakat setempat memasak, bagaimana mereka menggunakan sumber alam dan kisah di sebalik tradisi yang masih diamalkan. Pengalaman sebegini terasa jauh lebih autentik dan manusiawi berbanding sekadar melawat mercu tanda pelancongan.

EM: Bagaimana anda memilih destinasi seterusnya dan untuk komuniti yang yang baru?

L: Biasanya kami bermula dengan manusia, bukan lokasi. Jika terdapat komuniti tempatan, penggiat seni, tukang kraf atau kampung yang mempunyai pengetahuan, cerita atau cara hidup yang menarik, di situlah rasa ingin tahu kami bermula.

Selepas itu, kami akan membuka pendaftaran secara dalam talian kepada mereka yang merasakan ‘frekuensi’ yang sama dengan pengalaman ini. Kami akan meluangkan masa untuk melawat komuniti tersebut, membina kepercayaan dan memahami sama ada pengalaman itu boleh dikongsi dengan cara yang hormat dan bermakna.

EM: Apakah pengalaman perjalanan paling bermakna setakat ini?

L: Secara jujurnya, semuanya memberi makna. 

EM: Sejauh manakah penting bagi Luarlah untuk merasai budaya tempatan apabila mengunjungi sesuatu tempat baru?  

L: Manusia adalah jiwa kepada sesuatu tempat. Pemandangan mungkin indah tetapi tanpa kisah, cabaran hidup, ritual dan rentak harian masyarakat setempat, sesuatu tempat terasa tidak lengkap.

Sepanjang perjalanan kami, sedikit demi sedikit kami memahami tanah semenanjung ini dengan lebih mendalam. Hakikatnya, kita tidak tahu banyak perkara tentang tanah yang kita pijak setiap hari. Apabila mengembara, kami tertarik kepada perincian kecil kehidupan manusia seperti cara makanan disediakan, pengetahuan yang diwariskan dari generasi ke generasi dan bagaimana komuniti hidup selari dengan alam sekitar. Pertemuan budaya seperti inilah yang menjadikan pengalaman perjalanan benar-benar hidup.

EM: Pernahkah anda mencuba untuk hidup seperti penduduk tempatan ketika mengembara dan bagaimanakah pengalamannya?

L: Ya dan biasanya di situlah pengalaman perjalanan menjadi paling merendahkan ego dan kadang-kadang juga salah satu momen yang lucu. Apabila cuba hidup seperti penduduk tempatan, kita cepat sedar betapa banyak perkara yang sebenarnya kita tidak tahu.

Perkara yang kelihatan mudah seperti menyalakan api, mengenal tumbuhan di hutan atau bangun sebelum matahari terbit tiba-tiba menjadi kemahiran baru yang perlu dipelajari. Ada hari yang saya sangkakan menjadi perjalanan santai tetapi akhirnya membantu menyediakan makanan, berjalan di dalam hutan atau hanya duduk mendengar cerita daripada penduduk kampung. Pengalaman ini mungkin lebih perlahan, kurang glamor dan sedikit kelam-kabut tetapi di situlah keindahannya.

EM: Pada pendapat anda apakah kelebihan mengembara bersama orang baru?

L: Saya percaya kepada kepelbagaian berbanding individualiti. Kadangkala perbezaan itulah yang mencetuskan sesuatu yang menarik. Mengembara bersama orang baru ibarat menambah bahan kejutan dalam resipi yang biasa. Kita tidak tahu bagaimana hasilnya tetapi selalunya ia menjadi lebih menarik.

Setiap orang membawa cerita, tabiat kecil dan perspektif yang berbeza. Malah sesat jalan pun boleh menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Antara kenangan paling menarik bagi saya  ialah melihat sesama strangers bertekak tentang arah jalan, berkongsi makanan tengah malam dan ketawa tentang perkara kecil yang hanya mereka fahami. Perjalanan itu akhirnya menjadi eksperimen kecil tentang chemistry antara manusia.

EM: Bagaimanakah pengalaman mengembara bersama orang yang berbeza mengubah cara anda menikmati perjalanan? 

L: Mengembara dengan orang yang berbeza menjadikan setiap perjalanan terasa seperti cerita baru. Walaupun melawat tempat yang sama, perspektif setiap individu, apa yang mereka perhatikan, apa yang membuat mereka teruja atau kecewa, boleh mengubah cara kita melihat sesuatu tempat. Walaupun terdapat rasa tidak selesa pada awalnya, akhirnya semua orang yang terlibat biasanya pulang dengan satu perkara yang sama iaitu persahabatan baru. 

EM: Pernakah anda menemui destinasi tersembunyi atau hidden gem ketika mengembara?

L: Sudah tentu. Malah ada tempat yang kami temui sehingga Google Maps pun seolah-olah tidak pasti bagaimana untuk ke sana. Namun bagi saya, istilah hidden gem sebenarnya sangat subjektif. Sesuatu yang kelihatan biasa bagi orang lain mungkin terasa luar biasa bagi kita. Segalanya bergantung kepada bagaimana kita mengalami persekitaran tersebut. Kadangkala keindahan itu bukan terletak pada tempatnya tetapi pada cara kita melihat dan merasainya.

EM: Apakah jenis pengalaman perjalanan yang anda rasa setiap orang patut cuba sekurang-kurangnya sekali dalam hidup?

L: Saya percaya setiap orang patut mencuba perjalanan yang bergantung kepada naluri, bukan sepenuhnya kepada Google. Perjalanan yang penuh kesilapan selalunya menjadi yang paling menarik. Bayangkan bangun sebelum matahari terbit untuk mengejar ayam di halaman, berjalan di dalam hutan tanpa peta atau bergelut menyalakan api hanya untuk memasak makanan. Dalam saat-saat yang kelam-kabut itulah kita berhenti menjadi seorang pelancong dan mula menjadi sebahagian daripada cerita tempat tersebut.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down