Berakarkan keutuhan genap enam dasawarsa, terbukti kehebatan OMEGA Speedmaster yang membangun untuk memalarkan sejarah... melewati masa!

Menyungguhkan kebestarian ciptaan yang bermula di terra dan kini identik dengan satelit semula jadi kita! Speedmaster terus berevolusi, merangkakan satu ceritera sejarah dalam dunia pembuatan jam tangan. Bergerak seirama dengan eksplorasi kosmik serta aeroangkasa, kedinamikan dan teknologi OMEGA Speedmaster menjadikan ia antara jam tangan yang menyoroti kepiawaian kriteria tertinggi.
Sejarah OMEGA Speedmaster mencakup sekali kisah realisasi satu gagasan untuk menghantar manusia ke ekspedisi eksplorasi bulan. Pasukan NASA mencari kronograf mekanikal yang setujuan dengan sistem pemasa. Deretan jam tangan diusulkan, lalu dinilai. Kejituan, efisien serta daya tahan menjadi dukungan utama ujian yang dijalankan. Kemudian, hanya beberapa sahaja yang bertepatan dengan kelangsungan, kecekapan dan keselamatan misi angkasa.

Didorong lagi oleh seliaan Jurutera NASA, James Ragan, ujian terhadap jam tangan ini memperlihatkan had kekuatan yang tidak lazim dilakukan ke atas mana-mana instrumen mekanikal. Segala ujian dikenakan seperti kecenderungan ketahanannya di suhu tertinggi 93 darjah selsius ke suhu beku di bawah negatif 18 darjah selsius, konstruksi dalam ruang vakum, dalam atmosfera yang mengakis oksigen, menanggung kelembapan, hentakan kuat, vibrasi yang berkelantasan dan gelombang bunyi berkuasa tinggi yang memimik keadaan sebenar di angkasa.
OMEGA Speedmaster memperoleh kejayaan, merentangi setiap ujian tersebut dengan kelulusan. Dan menandai satu pencapaian buat Speedmaster yang terangkum sebagai ‘Flight Qualified for All Manned Space Missions’ oleh NASA. Melangkahi batas angkasa, NASA malah menaruh kepercayaan sepenuhnya ke atas Speedmaster atas dasar kecemerlangan kejuruteraannya. Ia menghadirkan integrasi persahabatan bersejarah, yakni mengiringi penjelajahan misi angkasawan Apollo dan menjadi aksesori utama yang dipakai setiap kali pendaratan manusia di bulan. Untuk misi Apollo 13, ia membantu angkasawan dalam menentukan ketepatan masa kala pembakaran enjin yang melancarkan perjalanan mereka pulang ke bumi.

Kisah kejayaan ini beresonansi kuat dalam membuahkan ilham. Taklukan enam dasawarsa bukan hanya bertumpu pada narasi penjelajahan ke bulan sahaja, Speedmaster malah membuktikan kecekapannya mencapai perjalanan ke sana. Ia terus meneguhkan kualiti membina kecemerlangan kejuruteraan, kejituan yang tak berbelah bahagi dan prestasi di dalam atmosfera luar biasa. OMEGA Speedmaster menumbuhkan tingkatan legasi sebenar dan ia terus melangkaui gelaran ‘Moonwatch’. Ia adalah lambang inovasi, daya tahan dan kekentalan semangat manusia yang senantiasa berani menerokai kebaharuan.

6 PENCAPAIAN TERBESAR
1957 – OMEGA Speedmaster CK2915 diperkenalkan, yakni kronograf professional dengan skala tachymeterpada bezel.
1965 – Speedmaster menjadi satu-satunya jam tangan yang lulus ujian kecekapan NASA untuk semua misi angkasa.
1969 – Speedmaster mengukir Sejarah sebagai jam tangan yang pertama sekali dipakai di atas permukaan bulan ketika misi Apollo 11.
1970 – OMEGA merangkul Anugerah Silver Snoopy daripada angkasawan NASA, atas sumbangannya dalam kejayaan Apollo 13
2019 – Memperkenalkan kaliber Co-Axial Master Chronometer 3861 yang mengintegrasikan Moonwatch dengan teknologi moden
2025 – OMEGA meraikan ulang tahun ke-60 Speedmaster yang menerima pengiktirafan ‘Flight Qualified for All Manned Space Missions.’