LANGGAN

MING 37.06 Royal Selangor Satukan Keunikan Piuter

Lambang seni kraf Malaysia dalam jam tangan mewah.
Published: July 31, 2026

MING Watches memperkenalkan Jam MING 37.06 Royal Selangor secara rasmi semalam. Ia merupakan koleksi edisi terhad yang meraikan warisan seni kraf Malaysia menerusi kolaborasi bersama Royal Selangor. Dihasilkan hanya sebanyak 88 unit seluruh dunia, model ini menampilkan gabungan unik piuter buatan tangan, titanium gred 2 dan pergerakan mekanikal Switzerland. Ini sekali gus mencerminkan identiti Malaysia dalam dunia horologi moden.

Jalinan Kerjasama

Kerjasama ini bermula daripada pertemuan santai antara pengasas MING, Ming Thein dan Pengarah Urusan Royal Selangor, Yong Yoon Li. Daripada sebuah perbualan ringkas, lahirlah sebuah projek yang mengangkat kepakaran kedua-dua jenama dalam menghasilkan jam tangan dengan nilai estetika dan ketukangan tinggi ini.

Tumpuan utama model ini terletak pada permukaan dail yang diperbuat daripada piuter buatan tangan di Kuala Lumpur. Kemasan bertekstur hasil teknik pengetukan menghasilkan corak yang berbeza pada setiap unit. Hal ini sekali gus menjadikan setiap jam tangan mempunyai karakter tersendiri. Dail tersebut dipadankan dengan sarung titanium berus sepenuhnya yang menyerlahkan kontras antara kehangatan piuter dan kemodenan logam ringan itu.

Perincian

Sarung berukuran 38mm dengan ketebalan 10.9mm serta jarak lug-ke-lug 44.5mm menawarkan ketahanan air sehingga 100 meter. Kristal nilam berkubah di bahagian hadapan dan belakang melindungi dail, manakala kristal hadapan diukir serta diisi dengan Super-LumiNova X1 bagi meningkatkan keterlihatan dalam keadaan gelap.

Di bahagian dalam, MING 37.06 Royal Selangor digerakkan oleh kaliber automatik Sellita for MING SW300.M1 yang menawarkan rizab kuasa sekitar 50 jam. Pergerakan ini turut menampilkan jambatan bersalut rodium dengan kemasan skeleton serta plat asas berwarna antrasit. Menariknya, kesemua 88 unit dipasang sepenuhnya di Kuala Lumpur menerusi infrastruktur khas yang dibangunkan untuk kolaborasi ini.

Jam tangan ini dipadankan dengan tali kulit kambing berwarna biru kelabu hasil buatan Jean Rousseau. Ia juga didatangkan bersama kotak persembahan piuter khas dengan kemasan bertekstur.

MING 37.06 Royal Selangor ditawarkan pada harga CHF5,000, kira-kira RM26,000 (tidak termasuk cukai). Sebanyak 70 unit telah mula dijual di butik Royal Selangor bermula 30 Julai 2026. Selebihnya boleh didapati melalui laman sesawang MING bermula 6 Ogos 2026.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down