LANGGAN

Malaysia Menjadi Tuan Rumah Untuk Perlumbaan Formula 1 2026

Perkara yang anda perlu tahu sebelum ke perlumbaan F1 di Sepang Oktober ini
Published: August 1, 2026

Selepas hampir sedekad, Formula 1 akhirnya kembali ke Malaysia. Namun kali ini, bukan sebagai Malaysian Grand Prix seperti yang pernah kita kenali. Sepang International Circuit bakal menjadi tuan rumah kepada Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia pada 2 hingga 4 Oktober 2026. 

Perlumbaan ini hadir selepas Grand Prix Bahrain dan Arab Saudi yang sepatutnya berlangsung pada awal Mac ini dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat. Bahrain kemudiannya bekerjasama dengan Malaysia, Formula 1 dan FIA bagi memastikan perlumbaan itu dapat diteruskan di Sepang. 

Ini beberapa perkara yang anda perlu ketahui sebelum anda mula merancang perjalanan ke Sepang dan menonton perlumbaan F1. 

Sepang & Sejarah F1 yang Panjang

Bagi peminat lama Formula 1, Sepang bukan sekadar sebuah litar. Ia menyimpan banyak momen ikonik sejak perlumbaan sulungnya pada 1999, ketika Eddie Irvine memandu Ferrari muncul sebagai juara pertama di litar ini.

Sepanjang hampir dua dekad menjadi sebahagian daripada kalendar F1, Sepang menyaksikan beberapa nama besar mencipta sejarah. Antaranya kemenangan pertama Kimi Räikkönen dalam F1 pada 2003. Kemenangan Lewis Hamilton dan Max Verstappen yang turut menambah warna kepada sejarah litar ini dan menjadi pemenang terakhir perlumbaan F1 di Sepang sebelum Malaysia meninggalkan kalendar Formula 1.

KUALA LUMPUR, MALAYSIA - OCTOBER 01: Race winner Max Verstappen of Netherlands and Red Bull Racing celebrates on the podium during the Malaysia Formula One Grand Prix at Sepang Circuit on October 1, 2017 in Kuala Lumpur, Malaysia. (Photo by Clive Mason/Getty Images)

Siapa Paling Banyak Menang di Sepang?

Jika bercakap tentang rekod kemenangan, beberapa nama ini memang cukup sinonim dengan litar ini.

Sebastian Vettel — 4 kemenangan
2010, 2011, 2013 dan 2015

Michael Schumacher — 3 kemenangan
2000, 2001 dan 2004

Fernando Alonso — 3 kemenangan
2005, 2007 dan 2012

Kimi Räikkönen — 2 kemenangan
2003 dan 2008

Kenapa Bahrain Berlumba di Malaysia?

Ini mungkin bahagian paling unik tentang perlumbaan tahun ini.

Perlumbaan yang berlangsung di Sepang sebenarnya ialah Bahrain Grand Prix, bukannya Malaysian Grand Prix. Ia dipindahkan ke Malaysia selepas perlumbaan Bahrain yang asal tidak dapat diteruskan susulan isu keselamatan dan ketegangan geopolitik di rantau tersebut. 

Bahrain turut memainkan peranan besar dalam menjayakan perlumbaan ini dengan menanggung yuran hak penganjuran, sementara kos operasi akan dikongsi bersama Sepang International Circuit. 

Beberapa Nama Besar yang Bakal Pertama Kali Berlumba di Sepang

Kepulangan F1 ke Sepang juga bermakna generasi baru pelumba akhirnya berpeluang merasai sendiri salah satu litar paling ikonik dalam kalendar lama F1.

Antara pelumba semasa yang belum pernah berlumba dalam perlumbaan F1 di Sepang ialah Lando Norris, Oscar Piastri, Kimi Antonelli, Isack Hadjar, Liam Lawson dan Arvid Lindblad.

Bersedia Dengan Cuaca dan Kesesakan

Kalau ada satu perkara yang peminat tempatan sudah tahu, ia adalah cuaca di Malaysia.

Oktober di Malaysia biasanya panas, lembap dan berpotensi menerima hujan. Jadi, jika anda merancang untuk berada di litar sepanjang hari, datang dengan persediaan yang betul. Bawa kipas mudah alih, payung, air minuman yang mencukupi dan pakaian yang selesa.

Dan jangan lupa satu lagi cabaran besar iaitu trafik. Dengan ribuan peminat dijangka menuju ke Sepang dalam satu-satu masa, perjalanan ke dan dari litar mungkin mengambil masa lebih lama. Jadi, rancang perjalanan lebih awal dan beri masa tambahan sebelum perlumbaan bermula.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down