Malam penuh prestij Anugerah Juara Lagu ke-40 akhirnya melabuhkan tirainya dengan menyaksikan karya-karya terbaik muzik tempatan bersaing dalam satu pentas yang menghimpunkan pelbagai generasi penggiat seni.
Bersempena ulang tahun ke-40 penganjurannya, AJL40 tampil dengan tema ‘Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia’ serta mesej ‘Love Your Legacy, Elevate Your Future'. Tema tersebut cukup menggambarkan perjalanan AJL selama empat dekad dalam meraikan karya muzik. Menyatukan generasi serta terus menjadi antara pentas penting dalam mencorakkan masa depan industri muzik Malaysia.

Persaingan AJL40 menyaksikan 10 lagu finalis berentap bagi merebut beberapa anugerah utama. Antaranya termasuk Juara, Naib Juara, Tempat Ketiga, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Segala keputusan ditentukan oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada SM Muzaffar, Efry, Ag Coco, Siti Hajar, Ad Samad, LY, Pat Ibrahim dan Helen Yap. Manakala Dato’ Acis pula bertindak sebagai ketua juri.
Tidak kurang penting, komposer, penerbit dan pengarah muzik tersohor Aubrey Suwito turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik AJL40.
Kemuncak malam tentunya apabila K.O.I menerusi lagu ‘Tiwikarma’ diumumkan sebagai Juara AJL40. Lagu ciptaan Zai Hamzah dan Hemo Globin dengan lirik oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam itu berjaya menambat perhatian juri. Menerusi persembahan yang bukan sahaja bertenaga, malah membawa mesej tersendiri melalui lirik dan penyampaiannya.
Sementara itu, Aisha Retno menerusi ‘Tak Adil’ menduduki tempat kedua, diikuti Ryenald Guntabid dengan ‘Lumangad Oku Dika’ di tempat ketiga.
Selain kemenangan utama, Aina Abdul turut mencipta malam yang cukup bermakna apabila lagu ‘Kamu’ meraih Persembahan Terbaik. Aina juga dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee.
Undian penonton memainkan peranan penting dalam anugerah pilihan ini. Dengan memperlihatkan bagaimana peminat turut mempunyai ruang untuk menentukan siapa yang mereka mahu lihat diraikan di pentas AJL40.
Dalam kategori Vokal Terbaik pula, Marsha Milan membuktikan keupayaan vokalnya menerusi ‘Tangisan Seorang Pendosa’, sekali gus membawa pulang anugerah tersebut.
Antara perkara paling menarik daripada AJL40 ialah bagaimana pentas ini bukan sekadar meraikan nama-nama yang sudah lama berada dalam industri. Ia turut memberi ruang kepada generasi baru untuk mencipta sejarah mereka sendiri.
Kejayaan Aisha Retno dan Ryenald Guntabid membuktikan bahawa landskap muzik Malaysia terus berkembang dengan membawa identiti, bahasa dan pendekatan muzik tersendiri.
Pada masa sama, kemenangan K.O.I menerusi ‘Tiwikarma’ memperlihatkan bahawa muzik Malaysia sentiasa mempunyai ruang untuk bereksperimen dan berkembang tanpa meninggalkan nilai serta cerita yang dekat dengan pendengar.