Memandu bukan sekadar aktiviti harian untuk ke tempat kerja. Ia juga menjadi satu eskapisme yang menjadi ruang untuk melarikan diri daripada kesibukan kota. Hal ini terbukti jika kita melihat sistem rangkaian lebuh raya yang ada memberi pengalaman pemanduan dengan satu ambien berbeza merentasi bandar, kampung sambil menikmati destinasi alam semula jadi.
Untuk yang sukakan pemanduan jauh, kereta bukan hanya soal keperluan tetapi juga teman perjalanan yang memberi keselesaan, prestasi dan keyakinan dalam pemanduan. Tidak hairanlah SUV semakin menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia. Ia menawarkan ruang dalaman yang luas dan praktikal. Reka bentuknya juga memudahkan pemanduan. Pemandu mendapat sudut pandangan yang lebih baik, terutama untuk perjalanan yang penuh kejutan.
SUV semakin popular di Malaysia kerana sesuai untuk pelbagai golongan. Bagi keluarga besar, ia menawarkan tempat duduk dan ruang simpanan yang luas, ideal untuk percutian atau balik kampung. Untuk individu bujang atau pasangan muda, SUV melambangkan gaya hidup aktif, terutama jika dilengkapi teknologi moden dan mampu meredah laluan luar bandar.
Model terbaru JAECOO J8 ini sememangnya menarik dengan pelbagai ciri premium. Rekaan luarnya masih segar di pasaran Malaysia. Sebagai individu yang kerap memandu jauh, saya amat menghargai sebuah SUV yang tampak hebat. Pada masa yang sama, ia mestilah selesa dan dilengkapi teknologi terkini yang relevan.
JAECOO J8 ialah model keempat yang bakal menyertai barisan kenderaan JAECOO Malaysia. Dari segi saiz, ia tergolong dalam kategori SUV segmen D — lebih besar berbanding kebanyakan SUV segmen C yang banyak di jalan raya kita. Ia berketinggian 1.71 meter, lebar 1.93 meter, panjang 4.82 meter dengan jarak roda 2.82 meter. Secara visual, J8 memang kelihatan tegap dan kukuh.
Dari aspek kuasa, J8 dikuasakan enjin 2.0 liter turbocharged, direct-injection, empat silinder sebaris, menghasilkan 183kW dan tork 385Nm. Ini dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan serta sistem ekzos berkembar. Tangki minyaknya berkapasiti 65 liter, menjanjikan jarak perjalanan yang baik tanpa perlu kerap mengisi minyak.
JAECOO J8 hadir dalam dua varian — 2WD dengan lima tempat duduk dan AWD dengan enam tempat duduk. Kedua-duanya dilengkapi skrin media 12.3 inci dan kamera panoramik 540 darjah yang memudahkan parkir. Varian 2WD menawarkan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara, enam beg udara, lampu ambien serta kerusi kulit tiruan untuk keselesaan asas.
Sementara itu, varian AWD tampil lebih mewah dengan 14 pembesar suara Sony termasuk di tempat letak kepala, 10 beg udara, pintu kuasa automatik dan sistem pewangi kabin. Ia turut dilengkapi tempat duduk elektrik dengan fungsi urut, langsir tirai, kerusi kulit asli bersama kemasan suede dan ciri NFC untuk keyless entry. Tambahan seperti perakam video digital terbina dan fungsi auto park menjadikannya pilihan menarik bagi pemanduan bandar yang sibuk.
Bagi yang gemar aktiviti luar atau adventure, varian AWD J8 dilengkapi teknologi Continuous Damping Control (CDC) pada suspensinya. Ia membantu memberikan kestabilan tambahan di jalan tidak rata. Tambahan pula, keupayaan meredah air sehingga kedalaman 450mm membolehkan kenderaan ini merentasi laluan banjir, terutamanya musim hujan.
Dari sudut praktikaliti, J8 2WD menawarkan ruang but sebesar 738 liter, cukup untuk bagasi sekeluarga. Varian AWD sedikit lebih kecil pada 200 liter kerana konfigurasi tempat duduk enam penumpang.