Selepas tujuh tahun, ‘Avengers: Endgame’ kembali ke pawagam menerusi versi baru iaitu ‘Avengers: Endgame Encore’. Namun, tayangan kali ini bukan sekadar mengimbas kembali kisah lama, sebaliknya membawa beberapa bahan tambahan sebagai persediaan menuju ‘Avengers: Doomsday'.
Bagi yang sudah menonton Endgame berkali-kali, persoalannya pasti “apa yang membuatkan Encore berbeza?”. Versi baru ini mempunyai durasi sekitar 3 jam 5 minit, iaitu kira-kira empat minit lebih panjang daripada versi asal. Walaupun penambahan tersebut mungkin kedengaran kecil, bahan baru yang disertakan dikatakan mempunyai kaitan dengan perjalanan MCU seterusnya.
Antara yang paling menarik ialah adegan selepas kredit baru dan pratonton eksklusif ‘Avengers: Doomsday’. Jadi, peminat bukan sahaja kembali kepada kisah lama tetapi turut mendapat sedikit gambaran tentang apa yang bakal berlaku selepas itu.
Kemunculan semula Endgame pada tahun yang sama dengan ‘Avengers: Doomsday’ sememangnya menarik perhatian. Lebih-lebih lagi apabila Doomsday bakal membawa kembali beberapa watak besar dan memperkenalkan konflik baru dalam MCU.
Dengan bahan tambahan yang dimasukkan, ‘Avengers: Endgame Encore’ seolah-olah menjadi satu penghubung antara kisah yang pernah kita kenali dengan fasa seterusnya. Ia memberi peluang kepada peminat untuk mengimbas kembali perjalanan Avengers sebelum memasuki bab yang baru.
Bagi peminat lama, ‘Avengers: Endgame Encore’ mungkin menjadi peluang untuk merasai semula pengalaman menonton filem tersebut di pawagam terutama sekaliselepas beberapa tahun berlalu. Manakala untuk peminat yang mahu mengikuti perkembangan MCU sebelum Doomsday, bahan tambahan yang disediakan mungkin menjadi sebab utama untuk kembali menontonnya.
Apa yang pasti, Marvel bukan sekadar membawa Endgame kembali. Dengan beberapa tambahan baru dan kaitannya dengan ‘Avengers: Doomsday’ mungkin ada sesuatu yang lebih besar menanti di sebalik tayangan kali ini.