LANGGAN

Seni Telepuk Diangkat Sebagai Warisan

Royal Selangor mengangkat kembali seni telepuk, warisan tekstil Melayu yang sinonim dengan kehalusan motif dan kilauan emas.
Published: August 31, 2026

Dahulu telupuk menjadi sebahagian daripada tekstil dan busana istiadat. Ia merupakan seni tekstil tradisional Melayu yang terkenal menerusi motif halus dan sapuan daun emas. Kilauan keemasan pada fabriknya menjadikan telupuk cukup istimewa. Suatu ketika dahulu sering dikaitkan dengan golongan diraja, bangsawan serta acara beradat. Namun, seperti banyak seni warisan lain, kemahiran dan teknik telepuk berdepan risiko semakin dilupakan oleh generasi baharu.

Menyedari kepentingan untuk memastikan seni ini terus dikenali, Royal Selangor mempersembahkan Telepuk: The Imprint of Heritage di Royal Selangor Visitor Centre. Berlangsung selama sebulan, pameran ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali telepuk dengan lebih dekat. Ia turut mengajak pengunjungnya mengenali segala peralatan, bahan dan proses pembuatannya.

Pameran ini dilancarkan secara rasmi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor, bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Ia turut bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69. Turut berangkat bersama ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Menyingkap Seni di Sebalik Telepuk

Telepuk: The Imprint of Heritage membawa pengunjung menyelami seni ini dengan lebih dekat menerusi himpunan tekstil, blok kayu berukir, bahan dan peralatan yang digunakan dalam proses penghasilannya.

Demonstrasi turut diadakan bagi memperlihatkan ketelitian yang diperlukan untuk menghasilkan setiap motif bersalut emas. Daripada proses mengukir blok sehinggalah menghasilkan corak pada fabrik. Setiap peringkat memperlihatkan kemahiran dan kesabaran yang menjadi asas kepada seni telepuk.

Bagi Royal Selangor, usaha memelihara warisan untuk memastikan ilmu, teknik dan penghargaan terhadap seni tradisional terus hidup. Pameran ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan jenama tersebut dalam memperkenalkan seni warisan Malaysia kepada khalayak baharu.

Telepuk Diterjemah ke Dalam Pewter

Selain pameran, Royal Selangor turut memperkenalkan Telepuk Collector’s Set yang diinspirasikan daripada peralatan dan motif tradisional seni telepuk.

Set ini mengambil inspirasi daripada enam blok kayu telepuk daripada koleksi 77 blok yang dihasilkan antara 1920 hingga 1923. Koleksi asal tersebut pernah dimiliki oleh Sultan Selangor ketika itu dan kini dipelihara dalam koleksi Victoria and Albert Museum (V&A) di London.

Enam reka bentuk terpilih diterjemahkan ke dalam pewter oleh Royal Selangor dengan mengekalkan bentuk, relief dan perincian ukiran asal. Setiap kepingan pula dipasang pada kemasan kayu sebagai penghormatan kepada material blok kayu yang digunakan dalam seni telepuk tradisional.

Dua rekaan coaster baharu turut diperkenalkan, iaitu Heritage Telepuk Awan Larat Coaster dan Heritage Telepuk Floral Motifs Coaster.

Heritage Telepuk Awan Larat Coaster menampilkan motif bunga teratai, awan larat, awan berarak dan ombak dalam susunan yang rumit. Sementara itu, Heritage Telepuk Floral Motifs Coaster menggabungkan motif bunga melur, tampuk manggis dan bunga cengkih dalam corak yang sarat dengan perincian.

Kedua-dua rekaan ini diinspirasikan daripada koleksi blok kayu telepuk yang kini menjadi sebahagian daripada koleksi V&A.

Pengalaman Mengenali Telepuk Secara Langsung

Pengunjung juga berpeluang mengenali telepuk menerusi pengalaman secara langsung di Royal Selangor Visitor Centre.

Di School of Hard Knocks, pengunjung boleh menghasilkan mangkuk pewter edisi khas yang menampilkan motif telepuk daripada koleksi bersejarah V&A. Reka bentuk Bunga Ati-Ati dan Bunga Cempaka diadaptasi secara halus daripada blok asal yang pernah diukir menggunakan kayu tempatan seperti cengal dan jelutong.

Sementara itu, The Foundry memperkenalkan dua acuan baharu yang mengambil inspirasi daripada motif koleksi V&A. Reka bentuk pertama menampilkan Bunga Pecah Empat dalam bentuk bulat, manakala reka bentuk kedua menggabungkan Bunga Pecah Empat, Bunga Cengkih Pecah Empat dan Tampuk Manggis dalam komposisi segi empat.

Kedua-dua reka bentuk boleh dihasilkan sebagai rantai atau rantai kunci, menjadikannya cenderamata kecil yang boleh dibawa pulang sebagai kenangan.

Telepuk: The Imprint of Heritage membuka ruang generasi hari ini mengenali seni tekstil tradisional Melayu daripada perspektif yang lebih luas. Daripada tekstil dan blok kayu bersejarah hinggalah kepada interpretasi baharu dalam pewter. Setiap elemen memperlihatkan bagaimana warisan boleh terus diterokai tanpa kehilangan akar tradisinya.

Pameran ini dibuka kepada umum di Royal Selangor Visitor Centre dari 27 Ogos hingga 18 Oktober 2026. Ia mengajak pengunjung mengenali keindahan telepuk, memahami proses di sebalik penghasilannya dan menghargai kedudukannya sebagai sebahagian daripada warisan tekstil Malaysia.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down