LANGGAN

LahLahLand 2026: Himpunkan Pelbagai Komuniti dan Budaya

Sebuah festival dengan penganjuran tahun ini yang lebih besar dan meriah.
Published: October 12, 2026

Tentunya ada sesuatu yang istimewa tentang acara yang memfokuskan menyatukan pelbagai individu daripada kelainan latar belakang, disatukan untuk merai minat yang sama dan untuk sebuah acara yang menghimpunkan komuniti dan budaya. Itulah usaha di sebalik penganjuran LahLahLand, sebuah acara tahunan yang cukup unik. Memulakan penganjuran simboliknya dengan nama SneakerLah terlebih dahulu, selepas 11 tahun ia terus menjadi sebuah festival yang dinanti ramai.

Kembali untuk edisi kedua dengan nama LahLahLand pada 10 dan 11 Oktober hujung minggu lalu di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC). Festival ini memperlihatkan keunikan streetwear, muzik, seni, sukan dan budaya mengumpul koleksi barangan rare bersatu. Segalanya dalam sebuah ruang yang meraikan semuanya.

Sejarah Penganjuran

Sejarah penganjuran SneakerLAH sebagai sebuah platform yang mengangkat budaya sneakers tempatan diberi kesinambungan dengan LahLahLand. Ia kini berkembang menjadi titik pertemuan pelbagai sub-budaya yang membentuk landskap gaya hidup kontemporari. Jika edisi sulungnya memperkenalkan potensi festival ini, edisi kedua tampil dengan kepelbagaian yang lebih meluas. Dengan kata lain, membuka ruang kepada minat baharu tanpa mengetepikan identiti asalnya.

Tarikan Utama dan Segmen Baharu

Antara tarikan utama tahun ini tentunya ConcertLAH. Berjaya menampilkan kumpulan Hujan bersama barisan artis tempatan daripada genre indie rock, hip-hop, alternatif dan elektronik. Persembahan ini memberikan festival tersebut tarikan tersendiri, sementara SkateLah dan EsportsLah menghidupkan lagi suasana. Ia dimeriahkan menerusi pertandingan papan selaju dan kejohanan permainan video. Seterusnya, adidas HyperRelay pula membawa dimensi berbeza dengan menghimpunkan kelab larian tempatan dalam perlumbaan berganti-ganti, sekali gus mempertemukan komuniti sukan dengan budaya streetwear.

Pengalaman penganjuran LahLahLand juga tidak terhenti pada muzik dan aktiviti kompetitif. Edisi kali ini turut memperkenalkan WatchesLAH dan CardsLAH. Kedua-duanya merupakan segmen baharu di festival ini yang memperluas lagi tarikan kepada penggemar jam tangan, kad dagangan dan barangan koleksi rare. Bermula dengan pilihan jam tangan seperti jenama Hamilton, Casio dan Rado kepada kad berharga puluhan ribu dengan hasil ilustrasi. Kedua-dua segmen ini juga memperlihatkan kesinambungan minat terhadap sesuatu objek boleh berkembang menjadi budaya tersendiri. Segalanya lengkap dengan komuniti yang bersama-sama mengikuti, banyak pengetahuan dan mempunyai penghargaan terhadap nilai di sebaliknya.

Mengikut Trend Kini

Di kawasan pasar thrift, jenama bebas, pakaian vintaj, aksesori dan barangan koleksi terpakai menawarkan jualan dengan perspektif berbeza. Daya tarikannya bukan sekadar terletak pada penemuan sesuatu yang baharu, tetapi juga pada nostalgia dan cerita-cerita barangan yang dibawa setiap penjual mengikut trend kini.

MakanLAH pula melengkapkan lagi pengalaman dengan pilihan makanan dan minuman pada harga berpatutan. Ia menjadikan festival ini ruang untuk pengunjung meluangkan masa, inklusif untuk semua dan dapat merasai hidangan dengan cita rasa unik.

Pelancaran Baharu

Satu lagi tarikan yang menghubungkan penganjuran SneakerLAH dengan edisi kali ini ialah kolaborasi kelimanya bersama ASICS. Ini dilakukan menerusi pelancaran Kasut Eksklusif Gel-Kayano 20 Ais Kacang. Diinspirasikan oleh pencuci mulut tempatan, rekaan ini meneruskan siri kolaborasi terdahulu yang pernah mengangkat elemen Malaysia seperti Nasi Lemak, Menara Berkembar Petronas, Teh Tarik dan Mamee. Mengangkat lebih daripada rekaan kasut edisi khas, kolaborasi ini untuk turut memperlihatkan gabung-jalinan identiti tempatan boleh diterjemahkan ke dalam budaya sneakers. Segalanya dilakukan dengan usaha pendekatan yang segar dan dekat dengan masyarakat yang meminatinya.

Jelas memasuki edisi tahun ini, LahLahLand memnuktikan bahawa potensinya untuk diteruskan pada tahun mendatang jauh melangkaui akar sebagai acara sneakers sahaja. Dengan menghimpunkan pelbagai jenama besar, kolaborasi dan kelompok peminat di bawah satu bumbung, festival ini mencerminkan komuniti gaya hidup Malaysia yang semakin pelbagai, dinamik dan saling mahu berhubung.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down