Kelajuan bukan sekadar soal keberanian tetapi turut menuntut ketepatan, kawalan dan persediaan yang rapi. Prinsip ini dibuktikan oleh Diego Poncelet, atlet Red Bull dan juara dunia downhill dua kali, apabila beliau mencatat rekod baru sebagai peluncur papan selaju terpantas yang pernah direkodkan. Dengan sokongan Prada Linea Rossa, pencapaian ini menandakan satu lagi detik penting dalam perkembangan sukan ekstrem.

Bertempat di laluan tertutup Route des Éboulements, wilayah Charlevoix, Québec, Kanada, Poncelet mencapai kelajuan luar biasa 151.83 km/j. Rekod tersebut hadir selepas bertahun-tahun menjalani latihan, penyelidikan dan persediaan teknikal. Faktor seperti arah angin, suhu serta keadaan permukaan jalan perlu berada pada tahap yang tepat sebelum beliau mampu melakukan percubaan terbaik.

Menariknya, Poncelet berjaya melepasi rekod terdahulu dengan perbezaan kecil pada hari pertama ujian. Lima hari kemudian, beliau kembali ke laluan sama untuk melengkapkan pencapaian tersebut menerusi satu larian penentu. Di sebalik detik singkat yang membawa kepada rekod itu, terdapat proses panjang yang melibatkan kerjasama dengan jurutera dan pakar prestasi bagi memperhalusi aerodinamik, kecergasan fizikal serta kawalan pada kelajuan ekstrem.
Bagi sukan yang menuntut keseimbangan pada setiap gerakan, kelengkapan turut memainkan peranan penting. Prada Linea Rossa bekerjasama rapat dengan Poncelet untuk menghasilkan kasut dan sarung tangan khas yang mengutamakan prestasi, perlindungan, keselesaan serta cengkaman.
Kasut buatan tangan itu menggunakan kompaun getah berkelekatan tinggi bersama corak tapak herringbone bagi meningkatkan sentuhan dengan papan selaju dan membantu mengekalkan kawalan ketika meluncur pada kelajuan tinggi. Setiap perincian dibangunkan untuk menyokong pergerakan atlet, sekali gus melengkapkan persediaan teknikal yang diperlukan bagi mencapai kelajuan luar biasa.

Pencapaian ini meneruskan kerjasama antara Prada Linea Rossa dan Red Bull yang berkongsi aspirasi untuk menyokong atlet berani mencabar kebiasaan. Gabungan kepakaran sukan, teknologi dan pembangunan kelengkapan menjadi sebahagian daripada usaha memperluas kemungkinan dalam prestasi manusia.
Lebih daripada sekadar rekod baru, kejayaan Poncelet membuktikan bahawa pencapaian luar biasa memerlukan ketahanan mental, kepakaran teknikal dan usaha berterusan. Pada kelajuan 151.83 km/j, setiap gerakan membawa risiko dan setiap perincian memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan. Hasilnya, satu lagi penanda aras tercipta dalam dunia papan selaju downhill.
