
Ketika menulis artikel ini, saya berada di dalam kapal terbang dalam perjalanan menghadiri minggu fesyen di kota New York. Hampir 24 jam di udara memberikan saya cukup masa untuk berfikir dan mungkin juga sedikit ruang untuk melihat semula sesuatu yang menjadi bualan hangat di Malaysia beberapa bulan lalu iaitu Kuala Lumpur Fashion Week 2026 (KLFW). Turut berlangsung selepas itu Mercedes-Benz FashionWeek Kuala Lumpur 2026.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya menghadiri acara yang sekali lagi berlangsung di Suria KLCC dalam memenuhi jemputan daripada pereka-pereka fesyen tempatan yang masing-masing punya bakat, visi dan identiti tersendiri. Namun, edisi kali ini terasa sedikit berbeza. Bukan sahaja kerana koleksi yang dipersembahkan, tetapi kerana bunyi-bunyi yang datang terutamanya di Threads dan platform media sosial lain. FYP saya dipenuhi pendapat, komen dan reaksi. Ada yang positif, ada yang memuji tetapi tidak kurang juga yang mengkritik dengan begitu lantang. Malah, ada komen yang pada pandangan saya sudah melangkaui batas kritikan dan berubah menjadi serangan terhadap individu. Daripada satu posting yang saya nampak, KLFW seolah-olah dinobatkan sebagai salah satu acara fesyen yang paling ‘dibenci’ di Malaysia.


Menariknya, bukan hanya pakaian yang menjadi bahan perbincangan. Tetamu yang hadir juga tidak terlepas daripada menjadi subjek perbualan. Daripada siapa yang dijemput, apa yang dipakai hinggalah bagaimana mereka memilih untuk mempersembahkan diri. Tetapi bukankah itu sifat fesyen yang sebenar? Fesyen itu subjektif. Apa yang kelihatan hebat bagi seseorang mungkin kelihatan biasa bagi orang lain. Begitu juga dengan pereka. Tidak ada seorang pereka pun yang mampu memuaskan hati semua orang. Setiap jenama mempunyai bahasa visual, estetika dan cara tersendiri dalam mempersembahkan rekaan. Dan hakikatnya, tiada yang sempurna.
"Tetapi selepas lampu pentas peragaan dipadamkan, muzik dihentikan dan tetamu meninggalkan acara, apa yang berlaku kepada pakaian itu?"
Sebagai seorang pengarang fesyen, perkara yang sentiasa bermain di fikiran saya ketika duduk di barisan hadapan dan melihat koleksi melintas di hadapan mata bukan sekadar sama ada saya menyukai sesuatu rekaan atau tidak. Saya lebih tertarik kepada persoalan yang lebih besar iaitu bagaimana pereka atau jenama itu menjual fesyen tersebut? Pada saya, kekemasan rekaan itu penting. Kreativiti dan idea di sebalik koleksi juga penting. Tetapi selepas lampu pentas peragaan dipadamkan, muzik dihentikan dan tetamu meninggalkan acara, apa yang berlaku kepada pakaian itu?




Saya selalu berkata, at the end of the day fesyen ialah satu perniagaan. Saya faham bahawa koleksi yang dipersembahkan di minggu fesyen tidak semestinya direka untuk dijual bulat-bulat kepada pengguna. Ada pereka yang menghasilkan koleksi runway sebagai satu bentuk statement kreatif, sebelum diterjemahkan kepada versi sedia-pakai yang lebih praktikal dan komersial. Itu adalah perkara biasa dalam industri. Tetapi persoalan saya tetap sama, bagaimana pereka menjana pendapatan daripada koleksi tersebut? Ini kerana untuk menghasilkan sebuah koleksi bukanlah murah. Ada kos fabrik, jahitan, tenaga kerja, produksi, pengangkutan dan banyak lagi yang perlu diambil kira. Kemudian datang pula kos untuk merakamkan kempen. Daripada jurufoto, model, selebriti, solekan, dandanan rambut, penata gaya kepada pemasaran serta macam-macam lagi. Dan apabila semua kos itu dicampurkan, saya mula tertanya-tanya untuk apa sebenarnya sebuah koleksi itu dihasilkan?
Adakah kerana ia benar-benar mempunyai nilai komersial? Adakah pereka mahu membina identiti jenama? Atau sekadar mahu mencipta vibe? Mungkin mahu menjadi bahan perbualan? Jika jawapannya hanya yang terakhir, saya rasa pentas peragaan minggu fesyen memang pentas yang sangat tepat untuk itu. Kerana hari ini kita hidup dalam era perbualan itu sendiri telah menjadi mata wang fesyen. Sebuah koleksi itu tidak semestinya perlu terjual habis untuk dianggap berjaya. Ia hanya perlu cukup menarik untuk dirakam, dimuat naik, dikomen, dikritik dan akhirnya menjadi viral. Tetapi saya tetap percaya bahawa selepas segala likes, shares dan komen berhenti, sesuatu yang lebih penting perlu kekal iaitu sebuah produk yang membuatkan seseorang mahu membuka dompet dan membelinya. Kerana pada akhirnya, fesyen bukan hanya tentang siapa yang bercakap. Ia juga tentang siapa yang sanggup memakainya nanti.
Gambar ihsan Kuala Lumpur Fashion Week & Mercedes-Benz FashionWeek Kuala Lumpur