LANGGAN

Kenali Soshi Otsuki, Pemenang Anugerah LVMH 2025

Pengasas jenama Soshiotsuki, pereka fesyen Jepun Soshi Otsuki terkenal dengan sentuhan halus dan bijak dalam seni jahitan lelaki.
Published: September 13, 2025
Gambar: Soshi Otsuki

Kumpulan LVMH – pemilik jenama seperti Louis Vuitton, Christian Dior dan Celine – telah mengumumkan pemenang Anugerah LVMH 2025 untuk kategori Young Designers minggu ini di Paris. Pemenangnya ialah pereka Jepun berusia 35 tahun, Soshi Otsuki dari jenama Soshiotsuki.

Juri tahun ini terdiri daripada sembilan pengarah kreatif rumah fesyen di bawah LVMH: Jonathan Anderson, Sarah Burton, Nicolas Ghesquière, Marc Jacobs, Stella McCartney, Nigo, Phoebe Philo, Silvia Venturini Fendi dan Pharrell Williams. Turut serta dalam pemilihan ialah Delphine Arnault (Presiden & CEO Dior), Jean-Paul Claverie (Pengarah Penaungan LVMH), Sidney Toledano (CEO LVMH) serta pelakon dan duta Louis Vuitton, Deepika Padukone sebagai tetamu khas edisi kali ini.

Koleksi Luruh/Dingin 2025 Soshiotsuki

Sebagai pemenang utama, Soshi menerima geran bernilai €400,000 beserta satu tahun bimbingan daripada pakar syarikat, meliputi bidang seperti kelestarian, hak cipta, komunikasi, pemasaran dan pengurusan kewangan. Dua pereka British, Steve O Smith (33) dan Torishéju Dumi (32), pula memenangi Hadiah Karl Lagerfeld dan Hadiah Savoir-Faire, masing-masing menerima €200,000 serta bimbingan yang sama.

Dalam tahun-tahun sebelumnya, anugerah ini telah melonjakkan nama-nama besar fesyen antarabangsa seperti Marine Serre (2017), Grace Wales Bonner (2016) dan Simon Porte Jacquemus (2015). Pemenang tahun lalu ialah pereka Sweden, Ellen Hodakova.

Koleksi Luruh/Dingin 2025 Soshiotsuki

Siapa Soshi Otsuki?

Dilahirkan pada tahun 1990 di Chiba, Jepun, Soshi menamatkan pengajian dalam fesyen lelaki di Bunka Fashion College, alma mater kepada Kenzo Takada, Yohji Yamamoto dan Junya Watanabe. Pada 2015, dia menubuhkan jenama Soshiotsuki. Pada awalnya hanya memberi fokus kepada lelaki, namun sejak awal tahun ini, koleksi wanita juga diperkenalkan. DIa pernah menjadi finalis Anugerah LVMH pada 2016 dan memenangi Tokyo New Designer Awards pada 2019.

Berakar daripada kajian terhadap seni jahitan tradisional, pemilihan bahannya menekankan kekayaan sumber dari tanah airnya. Contohnya, kemeja dalam koleksi Musim Sejuk 2025 dihasilkan daripada sisa sutera yang digunakan untuk membuat kimono. Sebahagian besar blazer Soshio pula dijahit menggunakan kapas washi, iaitu versi tekstil kertas tradisional Jepun yang diperbuat daripada serat tumbuhan.

Koleksi Luruh/Dingin 2025 Soshiotsuki

Keistimewaan kerjanya terletak pada butiran teknikal yang halus, mengejutkan dan pintar. Terdapat potongan tersembunyi pada lapel untuk menyelitkan skarf atau tali leher. Lipatan tambahan pada bahagian sama mendedahkan sisi dalaman jaket. Poket antara lapisan dalam dan kain utama pula memberi lebih ruang simpanan sambil menstrukturkan bahagian dada, interpretasi pereka terhadap konsep seni bina Jepun yang memaksimumkan ruang kosong.

Reka bentuk siluetnya oversized, mengalir dan retro, dengan butang silang, kolar lebar serta inspirasi besar daripada figura salaryman Jepun: stereotaip pekerja pejabat dengan waktu kerja panjang, hidup berpusat pada pekerjaan dan tidak melepaskan peluang untuk menikmati minuman selepas kerja di izakaya bersama rakan sekerja.

Tidak hairanlah apabila Soshi menyatakan filem kegemarannya ialah ‘Gung Ho’ (1986) arahan Ron Howard. Filem drama-komedi ini, yang sarat dengan kritikan sosial, membincangkan pertembungan budaya antara Amerika Syarikat dan Jepun, khususnya dalam etika kerja. Ia menjadi alegori kepada era Meiji, antara penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, ketika Jepun sedang melalui proses perindustrian dan pembaratan. Dalam koleksi Soshiotsuki, inspirasi itu hadir dalam bentuk seluar dengan gelung tambahan untuk menyelitkan rokok atau tali pinggang dengan bekas abu rokok tersembunyi pada kepalanya.

Koleksi Luruh/Dingin 2025 Soshiotsuki

Minatnya terhadap pertembungan ini juga menjelaskan mengapa dia mengagumi dua pereka dari kutub berbeza: Giorgio Armani dan Rei Kawakubo. Pertembungan idea inilah yang melahirkan imej fesyen yang kuat dan penuh kuasa dalam karyanya.

Artikel asal oleh Gabriel Monteiro dari ELLE Brazil.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down