Kita sering membayangkan sebuah keluarga sebagai satu unit yang lengkap dengan kehadiran ibu dan ayah. Dua figura yang mempunyai peranan tersendiri dalam membesarkan anak-anak, memberikan kasih sayang, menyediakan keperluan hidup serta menjadi tempat untuk mereka bergantung. Tidak semua orang berpeluang menikmati pengalaman membesar dalam sebuah keluarga yang sempurna. Realiti kehidupan tidak selalu berjalan seperti yang dibayangkan.
Pengalaman membesar dalam sebuah keluarga memainkan peranan tersendiri dalam membentuk personaliti dan cara seseorang melihat dunia. Setiap didikan, persekitaran dan hubungan yang terjalin sejak kecil sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan diri seseorang. Namun, tidak semua perkara tentang kekeluargaan sering dibincangkan secara terbuka. Antaranya ialah isu fatherless dan absent father yang semakin mendapat perhatian, khususnya apabila dikaitkan dengan istilah daddy issues dalam kalangan generasi kini. Tetapi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah ini dan sejauh mana ia mempengaruhi seseorang?

Apabila mendengar perkataan fatherless, perkara pertama yang mungkin terlintas di fikiran ialah seorang anak yang membesar tanpa bapa. Namun, konsep ini sebenarnya lebih luas daripada apa yang sering kita bayangkan. Ia bukan sekadar merujuk kepada ketiadaan seorang ayah secara fizikal tetapi juga apabila anak kurang mendapat perhatian dan sokongan emosi daripada figura tersebut.
Bayangkan seorang anak yang tinggal sebumbung dengan ayahnya tetapi jarang berkomunikasi, tidak mempunyai tempat untuk berkongsi masalah atau tidak pernah merasai sokongan emosi daripada figura tersebut. Secara fizikal, ayahnya ada. Namun, dari sudut penglibatannya mungkin tidak begitu dirasai.

Dalam membesarkan anak, tanggungjawab seorang ayah bukan hanya tertumpu kepada menyediakan keperluan kewangan dan memastikan keselamatan keluarga. Komunikasi, perhatian, kasih sayang serta penglibatan dalam kehidupan seharian anak juga tidak kurang pentingnya. Malah, kesibukan bekerja tidak semestinya menjadikan seseorang bapa itu absent father, selagi hubungan dengan anak terus dijaga dan dipelihara.
Perkara ini juga boleh berlaku atas pelbagai faktor. Perceraian, kematian atau hubungan kekeluargaan yang tidak begitu baik antara bapa dan anak merupakan antara situasi yang boleh menyebabkan seseorang membesar tanpa figura ayah yang konsisten.

Istilah daddy issues bukanlah sesuatu yang asing terutamanya dalam media sosial. Kita sering mendengar perkataan ini digunakan untuk menggambarkan seseorang yang dikatakan mempunyai masalah dalam hubungan, terlalu mencari perhatian atau memerlukan validation daripada orang lain, khususnya pasangan.
Namun, sejauh mana penggunaan istilah ini benar-benar tepat?
Untuk pengetahuan anda, daddy issues bukan diagnosis perubatan atau istilah klinikal rasmi dalam bidang psikologi. Sebaliknya, ia lebih kepada istilah popular yang digunakan untuk menggambarkan kesan hubungan seseorang dengan figura ayah terhadap perkembangan emosi dan corak hubungannya.

Dalam perspektif psikologi, konsep father complex oleh Carl Jung ini sering dibincangkan apabila menyentuh pengaruh figura ayah terhadap pemikiran dan kehidupan seseorang.
Sebagai contoh, individu yang membesar dengan kekurangan perhatian atau sokongan emosi mungkin berdepan kesukaran untuk mempercayai orang lain, takut ditinggalkan, mempunyai keyakinan diri yang rendah atau terlalu bergantung kepada pengesahan daripada orang sekeliling. Walau bagaimanapun, kesan ini tidak berlaku kepada semua orang dan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan latar belakang keluarga seseorang.
Apa yang perlu difahami, pengalaman membesar tanpa seorang ayah bukanlah satu penentu mutlak terhadap masa depan seseorang. Ia mungkin meninggalkan kesan tetapi setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk memahami, menerima dan menghadapinya.

Apabila istilah daddy issues ini semakin popular, semakin banyak juga stereotaip yang muncul di sekelilingnya. Ada yang menganggap individu yang membesar tanpa figura ayah cenderung memilih pasangan yang lebih berusia, sentiasa dahagakan perhatian lelaki atau mempunyai kebergantungan emosi yang tinggi dalam sesebuah hubungan.
Hakikatnya, mengaitkan latar belakang keluarga seseorang dengan karakter atau pilihan hidupnya secara melulu adalah satu tanggapan yang terlalu mudah. Tidak semua individu yang membesar tanpa ayah mempunyai masalah dalam hubungan percintaan. Begitu juga, tidak semua yang mempunyai hubungan renggang dengan bapa akan mencari pengesahan daripada individu lain.
Stereotaip seperti ini bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham, malah berpotensi menjadi ruang untuk sesetengah pihak mengambil kesempatan dan manipulasi terhadap individu tersebut.

Jika anda merasakan pengalaman membesar tanpa figura ayah masih mempengaruhi emosi atau hubungan anda hari ini, mungkin sudah tiba masanya untuk memberikan perhatian kepada diri sendiri. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuk:

Pada akhirnya, perbincangan tentang fatherless bukanlah untuk mencari siapa yang bersalah atau menilai sesebuah keluarga berdasarkan keadaan mereka. Sebaliknya, ia membuka ruang untuk kita melihat semula betapa besarnya peranan seorang ayah dalam kehidupan anak-anak.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu berhenti menganggap setiap individu yang membesar tanpa ayah mempunyai kisah dan pengalaman yang serupa. Ada yang masih bergelut dengan pengalaman lalu, ada yang sudah menemui cara untuk berdamai dengannya dan ada juga yang membesar menjadi individu yang kuat dengan sokongan daripada figura lain dalam kehidupan mereka.
