
Jenama fesyen Itali, Prada mengumumkan pelantikan Pond Naravit sebagai duta jenama terbaharunya. Namanya semakin mendapat pengiktirafan, bukan sahaja di Thailand malah di persada antarabangsa menerusi pelbagai watak lakonan dalam siri televisyen popular. Antara penampilan terbaharunya ialah menerusi siri ‘Me and Thee’.
Selain bergiat aktif dalam bidang lakonan, Pond turut mengembangkan kerjaya seninya sebagai anggota kumpulan lelaki T-Pop Thailand, JASP.ER. Penglibatannya dalam dunia muzik memperlihatkan sisi kreatif yang lebih luas. Sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bakat muda Thailand yang semakin mendapat perhatian.

Sebelum pelantikan rasmi ini diumumkan, Pond terlebih dahulu menghadiri pertunjukan koleksi Prada Men Musim Bunga/Panas 2027. Serta pertunjukan koleksi Prada Wanita Musim Luruh/Dingin 2026 di Milan, memperlihatkan hubungannya yang semakin erat dengan rumah fesyen tersebut.
Lebih dikenali sebagai Pond, Naravit Lertratkosum merupakan pelakon dan artis di bawah naungan GMMTV. Dia mula melangkah ke dalam industri hiburan Thailand pada tahun 2020 selepas memenangi pertandingan Go On Girl & Guy Star Search. Namanya mula mencuri perhatian menerusi watak utama dalam siri ‘Fish Upon the Sky’ (2021). Sejak itu, Pond terus memperlihatkan versatiliti lakonannya menerusi pelbagai siri televisyen, termasuk ‘Never Let Me Go’ (2022), ‘We Are’ (2024), ‘Leap Day’ (2025) dan ‘Me and Thee’ (2025).

Dikenali dengan gaya peribadi yang tersendiri serta pengaruhnya yang semakin berkembang. Pond kini muncul sebagai antara bakat baharu Thailand yang kian menyerlah. Popularitinya yang merentasi pasaran tempatan dan antarabangsa turut menjadikannya figura yang dekat dengan generasi muda. Sekali gus menjadikan pelantikan ini satu lagi langkah penting dalam perjalanan kariernya di pentas global.