Pereka fesyen dari Indonesia, Temma Prasetio, mencuri tumpuan peminat fesyen Malaysia. Beliau tampil memperkenalkan koleksi terbarunya yang penuh keberanian. Sebelum ini, Temma terkenal kerana kepakarannya mementingkan keanggunan tekstil tradisional Indonesia. Kini, beliau melangkah keluar daripada zon selesa untuk meneroka arah baru dalam fesyen lelaki kontemporari.
Menerusi koleksi Resort terbarunya, Temma mengetengahkan naratif unik yang digelar ‘Beautiful Masculinity’, yang membawa maksud maskuliniti tetapi tetap bergaya. Konsep ini menampilkan sisi kekuatan seorang lelaki yang disulam dengan kelembutan, melalui rekaan yang kemas, terstruktur dan penuh elegan.
Dalam koleksi ini, Temma memilih material yang jarang digunakan dalam rekaan terdahulunya. Kali ini, fabrik seperti wool, scuba dan material bertekstur kulit menjadi pilihan. Ia memberikan sentuhan moden yang mewah serta kaya dari segi tekstur. Antara rekaan ikonik yang mencuri perhatian termasuk jaket bomber, kemeja tanpa kolar dan interpretasi baru terhadap beskap — sejenis baju tradisional Jawa — serta sarung. Semua ini diolah menjadi lebih minimalis dan kontemporari.
“Koleksi ini adalah tentang mencari identiti baru dalam fesyen lelaki — satu identiti yang membenarkan kekuatan dan kepekaan wujud bersama,” ujar pereka fesyen, Temma Prasetio. “Saya mahu memperkenalkan rekaan Indonesia di pentas dunia, bukan sekadar terikat kepada tekstil tradisional, tetapi tetap berakar pada siluet budaya dan semangat kita.”
Temma turut melahirkan rasa syukur atas sambutan hangat yang diterimanya di Malaysia dan berharap hasil karyanya mampu melangkaui sempadan budaya. “Sebagai pereka Indonesia, saya berbangga membawa perspektif kami ke mata dunia. Saya berharap ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak pertukaran kreatif antara budaya kita,” tambahnya.
Kemunculan Temma Prasetio dalam arena fesyen serantau ini tidak hanya memperkukuh kehadiran fesyen Indonesia di pentas antarabangsa, malah menandakan babak baru bagi pereka fesyen yang berani mendefinisikan semula maskuliniti dengan gaya yang segar.