
Pada bulan Mei yang lalu, mengunjungi GMBB, inspirasi batik memenuhi setiap sudut pusat komuniti kreatif itu. Daripada motif pada gerbang yang menghiasi pintu utama sehinggalah ke barangan yang dijual, batik boleh dilihat di mana-mana. Malah, setibanya di tingkat lima yang menempatkan pameran 'Untitled', antara karya pertama yang menyambut kehadiran pengunjung adalah lima helaian batik hasil karya Alyya Maisarah yang digantung dari siling. Kehadirannya menjadi petanda bahawa batik hari ini tidak lagi terhad kepada pakaian rasmi atau majlis tertentu. Sebaliknya, ia semakin berkembang sebagai bahasa visual yang mencerminkan identiti budaya Malaysia, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai satu bentuk soft power.

Penggunaan motif ini melihat peningkatan yang ketara sejak kebelakangan ini. Selain semakin ramai pereka bereksperimen dengan estetika batik dan kemunculan jenama yang memberi tumpuan kepada warisan tekstil ini, motifnya juga meresap ke dalam pelbagai produk gaya hidup. Antara contoh yang mendapat perhatian ialah ZUS Coffee. Jenama ini memperkenalkan koleksi berinspirasikan motif tradisional ini menerusi produk seperti tumbler dan sarung cawan. Ini membuktikan bahawa bahasa visualnya kini melangkaui dunia tekstil dan fesyen. Perkembangan ini memperlihatkan bagaimana batik terus relevan dalam budaya visual masa kini dan semakin diterima sebagai sebahagian daripada gaya hidup moden.
Namun, di sebalik sambutan yang yang diraih, timbul juga persoalan tentang sejauh mana perkembangan ini mampu dikekalkan tanpa mengorbankan nilai asalnya. Apabila motif ini semakin kerap dijadikan elemen estetik pada pelbagai produk komersial, ada yang berpendapat tumpuan terhadap nilai seni, teknik pembuatan dan warisan di sebaliknya berisiko terpinggir.
Pegangan terhadap kepentingan teknik pembuatan ini dikongsi oleh Haris Rashid, seorang artis multidisiplin yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Bagi Haris, batik bukan sekadar medium seni, malah merupakan lanjutan kepada identiti dan naratif peribadinya. “Batik adalah sambungan kepada naratif artistik yang mencerminkan salasilah dan nilai yang saya pegang,” katanya. Walaupun mengalu-alukan perkembangannya dalam landskap kontemporari, dia menegaskan bahawa keasliannya tetap terletak pada teknik pembuatannya, khususnya penggunaan lilin sebagai bahan rintang (wax resist).
Pada pandangan Haris, inovasi dan komersialisasi tidak semestinya mengancam warisan batik selagi maklumat yang disampaikan kepada pengguna adalah tepat. Beliau tidak melihat penggunaan fabrik bercetak digital sebagai satu masalah, namun berpendapat ia tidak wajar dilabel sebagai batik. “Kalau ia fabrik bercetak yang sekadar mengambil inspirasi, jenama itu bertanggungjawab untuk menyatakannya. Pelabelan dan penerangan sangat penting,” jelasnya. Menurutnya, apabila pengguna memahami teknik, bahan dan asal usul sesuatu karya, mereka bukan sahaja membuat pembelian yang lebih peka dan berinformasi. Malah ia turut membantu memelihara seni serta sejarah batik untuk generasi akan datang.

Pandangan itu bagaimanapun dilihat dari sudut yang sedikit berbeza oleh pengasas bersama Kapten Batik, Farhan Omar dan Ekram Faiz. Bagi mereka, komersialisasi bukanlah ancaman kepada tradisi ini, sebaliknya faktor yang mampu memastikan kelangsungan warisan tersebut. Mereka percaya budaya hanya mampu bertahan apabila ia terus relevan dengan masyarakat. Berpegang pada prinsip bahawa “tradition should be a foundation, not a limitation,” mereka menterjemahkan motif ini melalui siluet moden, penceritaan kontemporari dan kategori produk yang lebih pelbagai tanpa mengabaikan akar budayanya. “Kami mahu orang ramai memakai batik kerana mereka benar-benar menyukainya, bukan kerana mereka berasa diwajibkan,” ujar mereka.

Walaupun Haris dan Kapten Batik berbeza pandangan tentang titik permulaannya kedua-duanya bersetuju bahawa masa depan batik bergantung kepada keseimbangan antara inovasi dan penghormatan terhadap asal usulnya. Bagi Farhan dan Ekram, kejayaan komersial tidak seharusnya menggantikan nilai budaya, tetapi memperkukuhnya. Apabila lebih ramai memakai, membeli dan menghargainya dalam kehidupan seharian, ekosistemnya turut berkembang. Sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pereka, artisan dan pengkarya tempatan. Cabaran sebenar, menurut mereka, bukanlah komersialisasi itu sendiri, tetapi memastikan setiap perkembangan berlaku dengan integriti. Harapannya tradisi ini terus dihargai sebagai warisan yang hidup, bukannya sekadar corak yang mengikut peredaran trend.