BLVCLOUD secara rasmi melakar penampilan sulungnya di pentas peragaan Kuala Lumpur Men’s Fashion Week 2026 menerusi THE GODFATHER, koleksi peragaan pertama daripada label fesyen tersebut. Diasaskan oleh Farez Ridzwan, BLVCLOUD mengetengahkan interpretasi kontemporari terhadap fesyen lelaki mewah dengan menggabungkan gaya elevated streetwear bersama elemen jahitan yang kemas dan sofistikated.

Koleksi ini menampilkan 10 rekaan tersendiri yang diinspirasikan daripada nilai kekuasaan, kesetiaan dan legasi. Menampilkan siluet berstruktur, mutu pertukangan yang teliti serta palet monokrom ikonik dalam warna hitam, putih dan kelabu. THE GODFATHER mencerminkan falsafah reka bentuk BLVCLOUD yang menekankan keyakinan, individualiti dan keanggunan yang tidak lapuk ditelan zaman.

Sebagai persembahan pentas peragaan pertama BLVCLOUD, koleksi ini memperkenalkan satu identiti baharu yang berani dalam landskap fesyen lelaki kontemporari Malaysia. Sekali gus menandakan permulaan perjalanan kreatif jangka panjang jenama tersebut. Persembahan sulung ini turut mencerminkan komitmen BLVCLOUD dalam menyokong serta membangunkan bakat kreatif baharu. THE GODFATHER dipersembahkan dengan sokongan City Fashion School, City University Malaysia. Sekali gus mengetengahkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan kreatif, pendidikan fesyen dan pembangunan generasi profesional fesyen akan datang.

Di sebalik pembangunan BLVCLOUD ialah Odyssey Intelligence Group, yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Megat Farzurien Megat Jaafar. Beliau membawa visi untuk membangunkan jenama kreatif tempatan yang mempunyai identiti kukuh serta relevan di peringkat antarabangsa. Melalui kepimpinan strategik, inovasi dan pelaburan jangka panjang dalam industri kreatif, Odyssey Intelligence Group terus memperjuangkan bakat tempatan serta membangunkan jenama yang mempunyai nilai berkekalan dan aspirasi global.