Selepas kejayaan edisi sulungnya, platform fesyen lelaki paling berprestij di Malaysia, The Kuala Lumpur Men's Fashion Week (TKLMFW), bakal kembali dengan edisi kedua. Lebih besar dan lebih berani, TKLMFW 2026 menerusi tema ‘Godfather’. Berlangsung dari 23 hingga 26 Julai 2026 di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, acara ini sekali lagi menghimpunkan rumah fesyen mewah, pereka tempatan, bakat serantau serta nama antarabangsa dalam satu pentas yang meraikan evolusi gaya lelaki moden.

Di sebalik visi besar ini ialah Pengasas dan Pengerusi TKLMFW, YBM Adjunct Prof. Dato' Sri Raja Rezza Shah, yang terus komited mengangkat fesyen lelaki Malaysia ke persada antarabangsa. Menyedari keperluan sebuah platform eksklusif untuk menswear, beliau menubuhkan TKLMFW sebagai ruang yang meraikan kreativiti, ketukangan dan identiti fesyen lelaki tempatan.
Bagi tahun 2026, tema 'Godfather' mengambil inspirasi daripada landskap New York sekitar era 1940-an dan 1950-an. Naratifnya bermula dengan pakaian Sicilian yang longgar dan sederhana, melambangkan kerendahan hati serta sisi rapuh seorang lelaki. Ia kemudiannya berkembang kepada siluet mafia yang dramatik. Mewah dan penuh kuasa sebelum mencapai kemuncaknya menerusi tuxedo hitam sempurna yang dihiasi sekuntum bunga ros merah. Iaitu simbol autoriti mutlak, karisma dan kekuasaan.

Lebih daripada sekadar tema, ‘Godfather’ menjadi metafora kepada transformasi seorang lelaki moden, daripada akar tradisi kepada simbol kuasa yang elegan.
TKLMFW 2026 bakal menampilkan barisan pereka Malaysia seperti Rizman Ruzaini, Radzuan Radziwill, Bon Zainal, Abu dan Tom Abang Saufi. Selain memberi penghormatan kepada warisan tempatan menerusi penyertaan Kraftangan Malaysia, Batik Boutique serta pereka di bawah MBDA. Mereka akan mempersembahkan interpretasi moden terhadap seni tekstil tradisional.

Platform ini turut mengalu-alukan pereka serantau seperti Lisa Von Tang dari Singapura dan Jeny Tjahyawati dari Indonesia. Selain itu, kemunculan jenama antarabangsa seperti Roberto Cavalli, Stefano Ricci dan Boggi Milano akan membuat pementasan istimewa.
Dalam usaha membentuk masa depan industri, TKLMFW turut memperkenalkan EDITION-01. Sebuah segmen khas yang memberi ruang kepada pereka muda dan pelajar untuk mempersembahkan visi baharu mereka dalam dunia fesyen lelaki.