Calvin Klein mengumumkan pelancaran Jung Kook for Calvin Klein, sebuah kapsul edisi terhad hasil kerjasama bersama duta global jenama dan ikon pop dunia, Jung Kook, sekali gus menandakan kolaborasi fesyen pertamanya. Meneruskan hubungan jangka panjangnya bersama jenama itu, kapsul ini mentafsir semula helaian asas ikonik Calvin Klein menerusi lensa gaya peribadi ahli BTS itu, menggabungkan bahasa rekaan tersendiri jenama dengan sisi rebel yang menjadi identitinya.

“Bekerjasama dengan Calvin Klein sejak beberapa tahun lalu memberi saya peluang untuk mengekspresikan diri menerusi gaya ikonik jenama ini, dan saya sangat teruja dapat bekerjasama dengan Calvin Klein dalam cara yang lebih peribadi dan kreatif,” kata Jung Kook.
“Sebagai kolaborasi fesyen pertama saya, saya mahu benar-benar terlibat dalam keseluruhan proses, memanfaatkan kepakaran rekaan Calvin Klein untuk meninggalkan sentuhan saya pada setiap helaian. Kapsul ini terasa sangat autentik dengan gaya diri saya dan minat saya terhadap dunia permotoran, selain menjadi cara yang bermakna untuk menghasilkan sesuatu yang kekal menerusi rekaan dan penceritaan.”
Menggabungkan aura biker bersama kod rekaan warisan Calvin Klein, kapsul 20 gaya untuk lelaki dan wanita ini menyuntik sentuhan autentik ahli BTS itu ke dalam helaian ikonik jenama. Berakar daripada pakaian dalam dan siluet denim utama termasuk jaket trucker era 90-an serta potongan straight dan low-rise baggy, koleksi ini turut dipadankan dengan kemeja-T grafik, sweatshirt dan jaket racer. Elemen distressed denim dan perincian jalur perlumbaan menguatkan lagi karakter rebel dan efek worn-in koleksi ini. Pada masa sama, sentuhan peribadi dan eksklusif seperti penjenamaan logo khas, label tenunan dalaman, sulaman tersembunyi, grafik inspirasi Jung Kook, cucian denim eksklusif serta pembungkusan istimewa memberikan nilai koleksi yang lebih eksklusif dan collectible.
Kolaborasi ini dilancarkan menerusi kempen sinematik yang menangkap tenaga magnetik dan semangat rebel Jung Kook melalui konsep biker yang diinspirasikan daripada minatnya terhadap motosikal. Siri potret dinamik dan trailer arahan Alasdair McLellan menampilkan bintang K-pop itu sebagai ikon moden yang melambangkan kebebasan di jalanan terbuka, menggabungkan dunia fesyen dan hiburan untuk mencipta pengalaman imersif yang mengimbangi impak luar biasanya bersama perspektif penuh keyakinan Calvin Klein.
Koleksi Jung Kook for Calvin Klein akan mula tersedia di calvinklein.com/CKJK, serta secara eksklusif di stor pop-up di Starhill Piazza, Kuala Lumpur untuk lima hari sehingga 24 Mei 2026.