
Seluar jeans sudah menjadi nadi dalam gaya hidup seharian, baik untuk lelaki mahupun wanita. Bagi saya, ia adalah antara item fesyen wajib dalam mana-mana almari pakaian. Dunia jeans menawarkan spektrum potongan yang luas dan penuh variasi, daripada skinny yang melekap pada kaki, lurus yang klasik, bootcut dan flare yang berjiwa retro, boyfriend yang santai, sehinggalah wide-leg yang kini digemari ramai. Namun, bagi sesetengah lelaki yang kurang memberi perhatian pada perincian fesyen, mereka menganggap semua jenis jeans kelihatan serupa. Hakikatnya, setiap potongan dan setiap rona ini dicipta dengan fungsi berbeza, disesuaikan mengikut bentuk tubuh, serta memberi keselesaan dan gaya yang mampu mencerminkan cita rasa peribadi pemakai.
Kita sering menganggap denim sekadar fabrik yang kukuh dan tahan lama, malah ada yang percaya ia cukup kuat untuk diwariskan kepada generasi seterusnya. Namun, kehebatan ini bukanlah kebetulan, sebaliknya berakar daripada sejarah panjang denim itu sendiri. Kisahnya bermula di Perancis, di mana ia berasal daripada frasa Perancis ‘serge de Nîmes’. Nama inilah kemudiannya dipendekkan menjadi ‘denim’, istilah yang kita kenali hari ini. Pada asalnya, fabrik tebal dan tahan lasak ini direka untuk para buruh Barat yang menggalas kerja-kerja berat seperti membina jalan, mengusahakan ladang atau bekerja di lombong. Ketahanannya yang luar biasa menjadikan denim pilihan praktikal, sekaligus tercatat sebagai ‘seragam tidak rasmi’ bagi kelas pekerja pada abad ke-18.

Lama-kelamaan, seluar jeans mula menembusi fenomena budaya popular. Daripada James Dean dalam ‘Rebel Without a Cause’ hingga Marlon Brando dalam ‘The Wild One’, denim muncul sebagai simbol pemberontakan anak muda. Ia merupakan simbol gaya ‘bad boy’ yang bebas dan berani. Era 70-an pula menyaksikan flare dan bell-bottom menjadi ikon gerakan counterculture, dipakai oleh pemuzik rock dan anak muda yang memperjuangkan kebebasan. Menjelang era 80-an dan 90-an, denim berevolusi dengan wajah baharu — acid wash, ripped jeans dan siluet oversized yang melambangkan semangat punk, grunge, serta budaya jalanan urban.

Menjelang awal 2000-an, era Y2K menyalakan obsesi baharu terhadap denim — low-rise jeans yang menggoda, bootcut yang sleek serta padanan denim-on-denim seperti momen ikonik pasangan sensasi Britney Spears dan Justin Timberlake. Sejak itu, denim tidak pernah ketinggalan zaman, sebaliknya terus berevolusi mengikut arus fesyen. Hari ini, ia kembali hidup dalam bentuk yang lebih versatil — wide-leg, baggy, jeans kargo, skirt maxi denim, sehinggalah rekaan patchwork atau distressed yang menjadi obsesi golongan muda.
Menurut Grand View Research, pasaran global jeans dijangka berkembang daripada USD 86.66 bilion ke USD 121.50 bilion menjelang 2030, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.9 peratus. Dengan angka ini, jelaslah bahawa pengaruh denim tidak dapat disangkal lagi. Sama ada gaya pentas fesyen mewah atau gaya jalanan, denim sentiasa hadir dalam pelbagai siluet dan rekaan, merentas musim dan dekad, mengekalkan statusnya sebagai simbol gaya, kreativiti dan identiti fesyen yang abadi.
Baru-baru ini, dunia maya menyaksikan dua syarikat gergasi denim, Gap dan American Eagle, menulis bab baru dalam sejarah denim. Gap memikat dengan kempen ‘Better in Denim’, menampilkan kumpulan wanita global KATSEYE dalam tarian bertenaga, menggayakan low-rise jeans dan pleated mini skirt sambil menekankan nostalgia Y2K dan elemen inklusif. American Eagle pula memilih provokasi melalui ‘Sydney Sweeney Has Great Jeans’ yang pada awalnya mencetuskan kontroversi hebat, tetapi akhirnya menarik jutaan tontonan dan pembeli baru.

Selain GAP dan American Eagle, jenama legasi seperti Levi’s terus mengekalkan pendekatan heritage storytelling. Sejak 1873, Levi’s mengekalkan keabadian denim sambil terus berinovasi, meneroka idea baharu dan melangkaui batas tradisi. Koleksi terkini mereka bersama Beyoncé menampilkan denim yang bukan sahaja ikonik tetapi juga relevan dengan generasi moden, menggabungkan gaya klasik dengan sentuhan budaya pop. Sementara itu, jenama premium Calvin Klein memadukan estetika minimalis dan sensualiti, menghasilkan gaya kontemporari yang sofistikated dan eksklusif. Dengan duta global seperti Jennie, Jungkook, Mingyu, NewJeans dan Rosalía, Calvin Klein terus mencipta kempen yang ikonik, trendy dan sentiasa menjadi bualan ramai.
Jelas, jeans mungkin antara seluar paling popular di dunia. Dengan ketahanan dan struktur yang kukuh, ia mampu menonjol walaupun dipadankan secara minimal. Hampir setiap jenama fesyen kini menawarkan versi jeans mereka yang tersendiri, walaupun tidak semuanya dicipta sama. Pilihan yang pelbagai ini kadangkala boleh membuatkan sesi membeli terasa membingungkan, walaupun bagi peminat denim sejati. Mungkin juga ada yang sudah menemui kedai denim kegemaran dan memahami siluet jeans yang paling tepat dengan tubuh. Walau bagaimanapun, proses menemukan sepasang jeans ideal ini tetap menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan dan memuaskan bagi setiap penggemar fesyen. Kita juga mungkin akan sentiasa mencari pilihan denim yang baharu, setiap kali terasa bosan dengan yang lama.

Daripada simbol kelas pekerja kepada ikon pemberontakan, denim sentiasa menemui cara baru untuk mencerminkan identiti moden. Setiap potongan, warna dan tekstur menuturkan gaya unik — sama ada hujung minggu santai, penampilan rapi ke pejabat, malam temu janji atau acara kasual yang bergaya. Melihat evolusi denim sepanjang lebih 150 tahun ini, pengaruhnya mungkin akan kekal relevan di masa hadapan. Apa yang berubah hanyalah cara ia digayakan atau mesej yang ingin disampaikan. Denim benar-benar universal, ia boleh diadaptasikan mengikut konteks, gaya dan personaliti setiap individu. Saya yakin, hampir setiap individu mempunyai sepasang jeans atau lebih dalam almari, menanti untuk digayakan.