
Dipersembahkan di Milan Men’s Fashion Week, Ralph Lauren mempersembahkan koleksi terbaharu Purple Label dan Polo Ralph Lauren untuk Musim Bunga 2027. Kedua-dua koleksi ini menghidupkan semula kod klasik Ralph Lauren menerusi lensa yang lebih kontemporari, tanpa mengorbankan identiti Americana yang menjadi tunjang kepada rumah fesyen itu.
"Apabila saya mula mereka pakaian lelaki, inspirasi saya datang daripada gaya kolej Amerika dan karakter gentleman athlete. Ia tentang personaliti, persahabatan serta gaya yang malar segar. Saya sentiasa tertarik kepada nilai ketukangan, fungsi dan warisan yang membentuk identiti seseorang. Koleksi Purple Label dan Polo Ralph Lauren Musim Bunga 2027 meraikan semangat itu. Pendekatan saya sentiasa bersifat sinematik. Mencipta dunia visual yang penuh aspirasi, sebagai penghormatan kepada lelaki yang sentiasa mencabar kreativiti, persaingan dan ekspresi gaya peribadi," menurut Ralph Lauren.

Koleksi Purple Label berkembang menerusi tiga bab yang berbeza tetapi disatukan oleh satu visi tentang kemewahan Amerika yang sofistikated. Bab pertama dibuka dengan palet rona neutral dan indigo yang memancarkan rasa santai namun elegan. Sut daripada campuran sutera hadir dengan permainan tekstur yang halus. Dipadankan pula bersama kemeja berkolar band dan pakaian luar berinspirasikan utiliti yang membayangkan gaya hidup kosmopolitan.
Aksesori seperti cermin mata hitam dan barang kemas pula diinspirasikan daripada ukiran pada tali pinggang rodeo vintaj kegemaran Ralph Lauren. Lalu mencerminkan penghargaan beliau terhadap budaya dan estetika Amerika Barat.
Bab seterusnya membawa inspirasi daripada era kegemilangan perlumbaan kereta klasik di tasik-tasik Itali. Elemen Art Deco serta bentuk aerodinamik bot laju mahogani diterjemahkan kepada jaket sukan, pakaian rajut bertekstur, helaian kulit dan tali leher ringan berstruktur lembut. Sut dan kot sukan klasik diberikan dimensi baharu menerusi fabrik linen tenunan terbuka, corak pinstripe, herringbone dan kemasan slub yang menyerlahkan karakter tersendiri.
Untuk gaya malam, corak geometri memberikan sentuhan misteri. Manakala tuxedo bersiluet lebih santai dihasilkan menggunakan fabrik yang menampilkan tekstur kasar namun tetap mewah.
Melengkapkan perjalanan koleksi Purple Label ialah kapsul edisi terhad hasil kerjasama bersama KUON, rumah fesyen Jepun yang terkenal dengan pendekatan artisan terhadap tekstil tradisional. Kolaborasi ini menggabungkan ketukangan Itali dan Jepun menerusi jahitan halus, tekstil eksklusif serta sulaman sashiko buatan tangan yang dihasilkan oleh komuniti artisan Sashiko Gals.

Menutup pertunjukan, Polo Ralph Lauren memperkenalkan interpretasi baharu kepada gaya American preppy yang menjadi identiti jenama sejak sekian lama. Koleksi ini menggabungkan helaian klasik bersama elemen pakaian prestasi luar. Sekali gus menghasilkan gaya yang lebih segar dan relevan untuk generasi baharu.
Tekstur yang kaya, kombinasi warna berani, permainan corak serta fabrik madras asli dari India memberikan dimensi baharu kepada helaian warisan Polo Ralph Lauren. Sut pula diinspirasikan daripada era ketika keanggunan dan ekspresi diri menjadi simbol gaya. Dengan sut tiga helai dipadankan bersama aksesori leher berinspirasikan era Edwardian yang menampilkan pesona eksentrik.
Koleksi kemeja turut diberikan nafas baharu melalui kombinasi warna preppy, perincian ruffle yang sofistikated, teknik tampalan patchwork serta sentuhan romantik. Ini menyerlahkan karakter lebih lembut dalam pakaian lelaki.
Sementara itu, helaian warisan kolej seperti jaket varsity diberi interpretasi moden menerusi teknik patchwork, sulaman tangan dan ketukangan artisan yang teliti. Setiap helaian menampilkan keunikan tersendiri melalui permainan potongan yang tidak simetri. Lantas, mengukuhkan falsafah Ralph Lauren bahawa rekaan klasik sentiasa boleh ditafsir semula dan terus berkembang mengikut peredaran zaman.



