LANGGAN

Montblanc Raikan Seabad Warisan Barangan Kulit di Milan Men’s Fashion Week

Kegemilangan 100 Tahun
Published: July 1, 2026

Bersempena Milan Men’s Fashion Week, Montblanc meraikan ulang tahun ke-100 menerusi sebuah pameran imersif yang menghubungkan dunia penulisan, pengembaraan dan seni pertukangan dalam satu naratif yang penuh elegan.

montblanc mfw

Di sebalik pena Meisterstück yang menjadi simbol keunggulan Montblanc, tersembunyi satu lagi legasi yang sama penting dalam sejarah Maison ini iaitu seni penghasilan barangan kulit. Sempena ulang tahun ke-100 kategori tersebut, Montblanc memilih Milan Men’s Fashion Week sebagai pentas untuk meraikan evolusi yang bermula daripada sebuah sarung pena ringkas kepada koleksi aksesori kulit mewah yang menjadi lambang gaya hidup lelaki moden.

Berlokasi di Salone dei Tessuti, ruang pameran Montblanc diubah menjadi sebuah dunia yang menggabungkan seni penulisan, budaya mengembara dan ketukangan. Bukan sekadar mempersembahkan koleksi Musim Bunga/Panas 2027, pengalaman ini membawa tetamu menyelusuri perjalanan satu abad yang membentuk identiti barangan kulit Montblanc hari ini.

mfw
Gemma Styles​, Stella Maxwell, Daniel Bruhl, Brandon Flynn & Kerem Bursin​.

Kisahnya bermula pada tahun 1926, ketika dunia menyaksikan era mobiliti baharu. Pena tidak lagi hanya berada di atas meja pejabat, sebaliknya dibawa bersama ke mana sahaja. Bagi memenuhi keperluan itu, Montblanc memperkenalkan sarung pena kulit pertamanya. Aksesori yang direka untuk melindungi instrumen penulisan ketika mengembara. Daripada objek yang bersifat utilitarian itulah lahir sebuah kategori yang akhirnya berkembang menjadi antara tunjang utama Maison.

Sejak Marco Tomasetta mengambil alih sebagai Pengarah Artistik pada tahun 2021, barisan barangan kulit Montblanc terus diberikan dimensi baharu. Visi beliau menghubungkan budaya penulisan dengan ketukangan kulit Itali, menghasilkan rekaan yang menyeimbangkan fungsi harian dengan estetika sofistikated.

montblanc

Naratif itu diterjemahkan menerusi beberapa instalasi berskala besar yang mendominasi ruang pameran. Writing Traveler, antaranya membesarkan skala beg bimbit ikonik Montblanc sehingga menjadi sebuah arca yang boleh diterokai. Diilhamkan daripada konsep cabinet of curiosities, ia menampilkan ruang khas untuk pena, buku nota, jam tangan dan pelbagai objek peribadi. Sebuah metafora kepada kehidupan lelaki moden yang sentiasa bergerak.

Tree of Writing Montblanc

Di tengah ruang pula berdiri Tree of Writing, sebuah instalasi simbolik yang mengangkat sejarah barangan kulit Montblanc. Bahagian akarnya dibina menggunakan lebihan kulit daripada proses pengeluaran, manakala ranting-rantingnya dihiasi elemen flora, fauna, surat dan buku yang dihasilkan daripada kulit dan kertas. Hasilnya ialah sebuah karya seni yang memperlihatkan hubungan erat antara ketukangan, kreativiti dan warisan penulisan.

Aron Piper
Aron Piper

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan artisan Montblanc menghasilkan sarung pena kulit secara langsung, memperlihatkan ketelitian kerja tangan yang menjadi asas kepada setiap ciptaan Maison. Di ruang Montblanc Desk, tetamu pula dijemput kembali kepada ritual menulis. Satu pengalaman yang mengingatkan bahawa dalam dunia yang semakin digital, sentuhan dakwat di atas kertas masih memiliki nilai sentimental yang sukar diganti.

Bagi musim Bunga/Panas 2027, Montblanc memperkenalkan evolusi kepada koleksi Writing Traveler. Kini hadir dalam kemasan kulit corteccia sfumato dan kulit bertekstur bersama rona baharu yang lebih segar. DNA koleksi ini turut melahirkan Soft Traveler. Menawarkan siluet yang lebih lembut dalam suede dan kulit bertekstur. Manakala barisan Atlas pula mengetengahkan beg silang badan dan beg messenger yang mengutamakan keselesaan tanpa mengorbankan kemewahan.

Writing Traveler Grain Corteccia Blue
Montblanc Writing Traveler Grain Corteccia Blue

Koleksi Art of the Desk turut diperluaskan dengan pemegang dokumen, kotak penulisan dan coffret yang direka untuk mereka yang masih menghargai seni menulis sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

Palet warna musim ini melengkapkan keseluruhan naratif dengan gabungan rona biru nilam, hijau zamrud, ungu permata dan amber hangat. Diseimbangkan dengan tona klasik seperti karamel dan madu. Setiap satunya memberi dimensi baharu kepada koleksi yang bukan sekadar meraikan seratus tahun sejarah. Tetapi turut membuktikan bahawa kemewahan sebenar sentiasa lahir daripada keseimbangan antara warisan, inovasi dan ketukangan.

Di Milan, Montblanc tidak sekadar memperkenalkan koleksi baharu. Maison ini mengingatkan bahawa di sebalik setiap beg kulit yang elegan, tersimpan kisah tentang perjalanan. Kreativiti dan obsesi terhadap kesempurnaan, nilai yang telah membentuk identitinya selama satu abad dan terus relevan untuk generasi akan datang.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down