
Mei lalu menyaksikan dua momen penting yang menguasai perbualan pemain fesyen di Malaysia dan antarabangsa. Pertama, sekuel filem ikonik ‘The Devil Wears Prada’ akhirnya menemui penonton selepas dua dekad penantian. Kedua, Met Gala, acara amal tahunan paling eksklusif dan kutipan dana terbesar dunia fesyen yang berlangsung di Metropolitan Museum of Art, New York.
‘The Devil Wears Prada’ bukan sekadar filem mengenai selok-belok dunia fesyen atau kehidupan glamor editorial majalah. Ia adalah biasan potret tentang kuasa dan realiti di sebalik industri penerbitan majalah fesyen menerusi dunia Runway Magazine. Dibintangi pelakon hebat seperti Meryl Streep, Anne Hathaway, Emily Blunt dan Stanley Tucci, filem ini sekali lagi membuktikan pengaruhnya apabila berjaya meraih kutipan pecah panggung melebihi US$500 juta (hampir RM2 billion).
Namun, apa yang paling meninggalkan kesan kepada saya bukanlah himpunan fesyen atau dialog sinikal Miranda Priestly. Tetapi satu adegan kecil yang cukup bermakna. Miranda Priestly menerima permintaan daripada Dior yang merupakan klien utama Runway dan tanpa sebarang bantahan, walaupun jelas dia masih memiliki kuasa editorial yang besar. Adegan itu terasa mengejutkan kerana selama ini karakter Miranda digambarkan sebagai figura paling berpengaruh dalam dunia fesyen. Seseorang yang tidak tunduk kepada sesiapa pun.
Bagi saya, momen itu sebenarnya mencerminkan perubahan besar yang berlaku dalam industri fesyen sepanjang dua dekad sejak filem itu membuat debut. Kuasa editorial yang dahulu dianggap ‘penting’ kini semakin bergantung kepada nilai komersial. Majalah fesyen tidak lagi hanya bersaing sesama sendiri, tetapi turut berdepan lambakan kandungan digital, budaya media sosial dan tekanan untuk kekal relevan dalam dunia yang kini bergerak terlalu pantas. Dalam landskap moden hari ini, kelangsungan sesebuah penerbitan dan majalah sangat bergantung kepada pengiklan dan algoritma.
Mungkin ramai menganggap filem ini sekadar hiburan semata-mata. Tetapi bagi saya yang telah lebih 15 tahun bekerja dalam industri majalah tempatan, ia terasa terlalu dekat dengan realiti. Malah seperti satu tamparan terhadap apa yang sedang berlaku di depan mata.
Setiap tahun pada Isnin pertama bulan Mei, perhatian dunia akan tertumpu kepada tangga ikonik Metropolitan Museum of Art untuk menyaksikan fashion’s biggest night. Met Gala bagaikan satu gelanggang pertunjukan kuasa budaya pop dan fesyen, apabila setiap tetamu hadir dalam busana cukup dramatik mengikut tema yang ditetapkan. Tahun ini, tema ‘Costume Art’ dengan kod pakaian ‘Fashion is Art’ dipilih untuk meraikan fesyen sebagai satu bentuk ekspresi seni.
Namun di sebalik kemewahan haute couture dan kilauan glamor, Met Gala tahun ini terasa berbeza. Acara yang awalnya diwujudkan untuk mengumpul dana bagi Costume Institute kini semakin menyaksikan hubungan rapat antara fesyen, kuasa korporat dan pengaruh billionaire. Tahun ini, Met Gala dipengerusikan oleh Anna Wintour bersama selebriti dan atlet terkenal termasuk Beyoncé, Nicole Kidman dan Venus Williams. Turut diberi peranan sebagai honorary co-chair ialah Lauren Sánchez Bezos, isteri kepada pengasas Amazon, Jeff Bezos yang juga antara penyumbang terbesar acara tersebut.
Kehadiran nama-nama besar korporat ini mencetuskan reaksi negatif. Beberapa selebriti A-list seperti Zendaya, Olivia Rodrigo dan Timothée Chalamet dilaporkan tidak menghadiri acara tersebut. Dipercayai sebagai tanda protes terhadap ketidaksamaan kekayaan dan pengaruh korporat dalam dunia seni. Di luar muzium pula, aktivis mengadakan demonstrasi ‘Resistance Red Carpet’ bagi mengkritik isu buruh yang dikaitkan dengan Amazon.
Semua ini menyaksikan bagaimana dunia fesyen hari ini tidak lagi berdiri semata-mata atas nama kreativiti. Wang, politik dan pengaruh korporat semakin kuat menentukan arah industri. Daripada siapa yang mendapat perhatian, hinggalah bagaimana sesuatu karya itu harus dipersembahkan. Sebagai seorang penata gaya, saya sendiri semakin merasakan ruang untuk berkarya semakin sempit. Banyak label fesyen kini menetapkan syarat ketat agar pakaian mereka hanya digayakan seperti mana yang dipersembahkan di pentas peragaan. Kebebasan untuk bereksperimen atau mentafsir semula sesuatu rekaan semakin terhad kerana semuanya perlu selari dengan imej jenama.
Tetapi, dalam dunia yang semakin mengangkat falsafah cash is king, mungkin kreativiti kini bukan lagi tentang kebebasan berkarya. Tetapi sebaliknya tentang sejauh mana kita mampu bertahan dalam sistem yang semakin dikawal oleh kuasa dan wang.
Foto: 20th Century Studios