Bagi lelaki moden yang hidup di bandar, Ramadan mengubah persepsi cara masa. Waktu kerja mungkin tamat sekitar jam 4 atau 5 petang tetapi tanggungjawab sebenar belum berakhir. Dari saat matahari mula merendah, fokus beralih daripada produktiviti profesional kepada persediaan rohani dan fizikal. Inilah permulaan fasa 4 to 4 satu tempoh 12 jam yang menentukan kualiti Ramadan seseorang lelaki. Sama ada sebagai suami, anak atau rakan, Ramadan menuntut versi lelaki yang lebih sedar dan seimbang.

Selepas seharian bekerja dalam keadaan berpuasa, tubuh dan minda memerlukan ruang untuk cool down. Dalam keadaan sebegini, semakin ramai yang sedar bahawa rehat bukan bererti pasif. Ia boleh hadir dalam bentuk senaman ringan, regangan, berjalan kaki atau sekadar meluangkan masa tanpa skrin.
Tujuannya bukan untuk memenatkan badan tetapi menyelaraskan semula ritma sebelum berbuka. Di musim Ramadan, pasti ramai memilih untuk menggunakan waktu ini bagi refleksi peribadi seperti membaca, berzikir atau menutup hari kerja dengan niat yang lebih jelas.

Dalam konteks hari ini, berbuka puasa bukan lagi tentang makan sebanyak mungkin. Ia kini menjadi satu ritual seperti memilih makanan yang lebih berkhasiat, menikmati hidangan dengan lebih perlahan dan benar-benar menghargai detik berbuka sebagai sebahagian daripada gaya hidup yang lebih seimbang dan matang. Berbuka yang seimbang memberi kesan langsung kepada fokus ibadah malam dan produktiviti keesokan harinya.

Selepas beribadah, malam Ramadan membuka satu dimensi unik dalam kehidupan seharian. Ada yang memilih untuk bersosial seperti bertemu rakan, moreh, bersukan atau membina jaringan dalam suasana yang lebih tenang dan bermakna. Ada juga yang memilih untuk duduk di rumah untuk hari seterusnya, memanfaatkan malam untuk ibadah, bacaan atau perancangan diri.

Salah satu cabaran utama dalam kitaran 4 to 4 ialah pengurusan tidur. Ramai yang semakin sedar bahawa kurang tidur bukan simbol kecekalan tetapi risiko kepada kesihatan dan prestasi. Ramadan mengajar seni tidur berstrategi seperti tidur awal, bangun sahur dengan segar dan mengekalkan fokus sepanjang hari.
Mengatur tidur bukan lagi perkara remeh tetapi satu keputusan strategik untuk memastikan badan dan minda kekal berfungsi dalam tempoh berpuasa yang panjang.

Sumber gambar: Pexel & Unsplash