Setelah lebih sedekad menyepi dari jalan raya Malaysia, Alfa Romeo kini kembali dengan semangat baru. Jenama automotif legenda Itali ini membawa semula warisan, emosi dan seni kejuruteraan yang menjadi identitinya sejak dulu.
Di bawah pengurusan DLSB Partners Sdn Bhd, ahli kumpulan Atlantis Motor Group, kemunculan semula Alfa Romeo menjadi lebih bermakna. Ia bukan sekadar pelancaran model baru tetapi usaha untuk menghidupkan kembali hubungan emosional antara jenama ini dan ‘Alfisti’ tempatan.

Dalam era kenderaan moden yang semakin didominasi teknologi dan utilitarianisme, Alfa Romeo hadir dengan satu seruan iaitu Drive Beautifully. Seruan ini bukan hanya slogan tetapi satu falsafah yang mengingatkan pemandu bahawa sebuah kereta bukan sekadar alat pengangkutan tetapi satu pengalaman estetik yang merangkumi gaya dan pergerakan.

Kedua-dua model yang diperkenalkan semula pada pasaran Malaysia, Giulia Veloce dan Stelvio Veloce, menjadi lambang kebangkitan ini. Kedua-duanya mencerminkan reka bentuk Itali yang maskulin dan kejuruteraan yang diwarisi daripada 115 tahun legasi perlumbaan dan inovasi Alfa Romeo.

Giulia Veloce merupakan kesinambungan kepada garis keturunan sedan prestasi Alfa Romeo yang bermula lebih setengah abad dulu. Setiap lengkung badannya diukir melalui ujian terowong angin, menghasilkan bentuk yang bukan sahaja menawan tetapi praktikal untuk kestabilan berkelajuan tinggi.

Dikuasakan enjin turbo 2.0 liter dengan 280 hp dan 400 Nm, Giulia Veloce didatangkan dengan pemanduan roda belakang dan transmisi 8 kelajuan yang responsif. Ia mampu memecut dari 0–60 km/j dalam 5.7 saat, membuktikan bahawa elegan dan prestasi boleh wujud serentak.
Dengan pengagihan berat hampir sempurna 50:50, sistem suspensi Alfa Link, stereng pantas 11.8:1 dan pembezaan Q2 LSD, Giulia direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih intuitif. Ruang dalamannya pula menampilkan ketukangan halus Itali bersama teknologi moden, termasuk kluster digital 12.3 inci. Kemasan kulit premium dan rekaan minimalis yang elegan melengkapkan karakter mewahnya.

Stelvio Veloce dinamakan sempena laluan gunung paling ikonik di Itali. Hadir sebagai SUV berprestasi yang sebenar tangkas seperti coupe, stabil seperti sedan dan serba boleh untuk kegunaan harian.

Model ini dikuasakan enjin 2.0 liter turbo 280 hp, bersama sistem pacuan semua roda pintar Q4 yang mengagihkan kuasa mengikut keadaan pemanduan. Dengan DNA perlumbaan Alfa Romeo, Stelvio menawarkan ketepatan stereng, keseimbangan casis dan ketangkasan yang jarang ditemui dalam segmennya. Bahagian kabinnya pula luas dan selesa, lengkap dengan kemasan kulit premium serta ruang kargo fleksibel untuk keperluan keluarga, perjalanan jauh atau escapade hujung minggu.
