Rancangan realiti sama ada berbentuk nyanyian, bakat, mahupun personaliti pernah menjadi mercu harapan. Ia dianggap pentas demokrasi hiburan, tempat di mana suara luar biasa daripada pengikut kecil boleh menembusi layar nasional dan mungkin menjadi ikutan. Namun kini, setelah berdekad lamanya dan berpuluh musim berlalu, persoalan itu semakin relevan untuk ditanya sama ada adakah program-program ini masih benar-benar tentang bakat atau tentang siapa yang paling mampu menjual emosi di depan kamera?
Konsep 'melahirkan bintang', 'idol', atau 'superstar' tampak memberi sinar — seolah-olah industri sedang mencari permata baharu yang menanti digilap. Namun dalam dunia hari ini yang digerakkan oleh rating, algoritma dan kecenderungan viral, realiti sebenar jauh lebih rumit.
Setiap air mata, tawa dan detik gugup peserta disunting rapi menjadi naratif dramatik — mencipta emosi, bukan semestinya kebenaran. Peserta dijadikan watak ada yang dibentuk sebagai underdog, ada yang disorot sebagai favourite dan ada pula yang sengaja diposisikan sebagai diva. Kerana dalam ekonomi tontonan, drama menjual lebih daripada disiplin belakang pentas.
Namun, kita juga tidak wajar menolak sisi baiknya. Platform sebegini memberi ruang kepada bakat muda yang mungkin tidak punya jalan ke studio rakaman atau label muzik besar. Ia membuka peluang, mempercepatkan pengenalan dan memberi pengalaman sebenar tentang tekanan serta struktur profesional dunia hiburan. Di saat media sosial terlalu rumit dengan suara tanpa arah, pentas realiti sekurang-kurangnya menawarkan ruang teratur seperti latihan vokal, pementasan dan mungkin yang paling penting, exposure.
Tetapi setiap peluang datang dengan harga. Tidak semua yang bersinar di televisyen mampu mengekalkan sinar itu di dunia nyata. Ramai yang tenggelam selepas musim berakhir — tidak dapat mengekalkan momentum, terperangkap antara identiti seni dan imej yang dicipta produksi.
Industri hiburan bergerak pantas, penonton yang bersorak hari ini boleh beralih minat esok. Rancangan realiti memberikan pendedahan, tetapi tidak menjamin ketahanan. Ia membuka pintu, tetapi tidak mengajar cara untuk bertahan di dalamnya.
Lebih membimbangkan lagi generasi baharu mula menyamakan populariti dengan bakat. Suara yang tulus kalah kepada momen viral. Penilaian muzik digantikan dengan jumlah pengikut. Seni menjadi alat pemasaran, bukan lagi wahana ekspresi. Kita menyaksikan era di mana kebolehan sebenar tidak semestinya diterjemah menjadi kejayaan kerana dalam ekosistem digital, perhatian adalah mata wang paling bernilai.
Mungkin sudah tiba masanya kita sentiasa menilai semula peri peranan rancangan realiti dalam budaya dan gaya hidup moden. Ia bukan lagi kilang yang melahirkan bintang, tetapi lebih tepat sebagai cermin kepada masyarakat — mencerminkan obsesi kita terhadap kejayaan segera, ketagihan terhadap kisah peribadi dan keinginan untuk menjadi somebody ternama walau seketika.
Tidak salah untuk mencari peluang tetapi barangkali perlu diingat bahawa penghasilan seni bermutu memerlukan masa, bukan hanya momen segera. Mikrofon, pentas dan kamera boleh memberi ruang tetapi bukan jiwa yang menghasilkan baris dan bait episod seni itu sendiri. Kerana hakikatnya, suara yang paling indah bukan yang menang di pentas sahaja tetapi yang tetap bergema lama selepas sorotan padam — dalam penghasilan karya, kejujuran dan keberanian untuk terus bersinar walau tanpa tepukan penonton.