Mercedes-AMG C 43 4MATIC menandakan satu fasa baru buat jenama prestasi Jerman ini di Malaysia. Lebih daripada sekadar pengenalan model baru, ia merupakan satu kenyataan jelas tentang komitmen Mercedes-Benz terhadap pasaran tempatan. Ia turut meletakkan Malaysia sebagai pasaran pertama di luar Affalterbach yang memasang kenderaan Mercedes-AMG dengan enjin berfalsafah ‘One Man, One Engine’.
Sebagai pintu masuk ke dunia Mercedes-AMG Driving Performance, C 43 4MATIC tampil dengan teknologi yang diadaptasi terus daripada Formula 1. Prestasi kekal sebagai teras utama identitinya.

Enjin AMG M139l 2.0 liter empat silinder dengan hasil daripada kuasa 300 kW (408 hp) dan tork 500 Nm . Malah, enjin produksi ini merupakan siri pertama di dunia yang menggunakan turbo pengecas gas ekzos elektrik. Ia juga memberikan respons pantas dan konsisten pada setiap julat rpm.
Pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 4.6 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Prestasi ini diperkukuh dengan sistem mild hybrid 48-volt bersama belt-driven starter generator (RSG), yang menambah kuasa sementara serta meningkatkan kecekapan pemanduan.
Keupayaan pemanduan C 43 4MATIC dipertingkat melalui sistem AMG Performance 4MATIC yang menyalurkan lebih tork ke gandar belakang. Model ini turut dilengkapi stereng gandar belakang, transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9G serta suspensi DYNAMIC BODY CONTROL dengan redaman adaptif.
Gabungan ini memastikan keseimbangan antara kawalan, ketangkasan dan keselesaan, sama ada untuk pemanduan bandar atau pemanduan berprestasi tinggi. Sistem brek AMG dengan cakera besar dan angkup berprestasi tinggi pula memberikan kuasa henti yang konsisten dan meyakinkan, sejajar dengan tahap prestasi yang ditawarkan.
Dari segi luaran, Mercedes-AMG C 43 4MATIC tampil dengan identiti AMG yang jelas. Dengan rekaan gril radiator khas dengan bilah menegak krom, bumper hadapan sporty, skirt sisi yang sepadan serta fender belakang bergaya diffuser dengan dua muncung ekzos berkembar. Elemen ini bukan sekadar estetik tetapi mencerminkan karakter prestasi yang dibawakan.
Ciri seperti bumbung panoramik gelangsar dan DIGITAL LIGHT meningkatkan aspek praktikal serta keselamatan melalui pencahayaan yang menyesuaikan diri dengan keadaan jalan dan persekitaran.

Bahagian dalaman memberi fokus kepada pemandu dengan tempat duduk AMG berkemasan ARTICO/MICROCUT dan stereng AMG Performance berbalut kulit Nappa. Butang kawalan khusus AMG memudahkan interaksi. Paparan digital 12.3 inci untuk pemandu dan skrin tengah MBUX 11.9 inci memaparkan ciri AMG termasuk mod pemanduan AMG DYNAMIC SELECT dan sistem data logger AMG TRACK PACE.
Ciri tambahan seperti Apple CarPlay, Android Auto, pencahayaan ambien dan pengimbas cap jari melengkapkan pengalaman digital yang moden dan intuitif.

Mercedes-AMG C 43 4MATIC dilengkapi pakej keselamatan lengkap termasuk Driving Assistance Package Plus, Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, kamera 360° dan sistem perlindungan kenderaan GUARD 360°. Kesemua ciri ini direka untuk menyokong pemanduan berprestasi tinggi dengan tahap keselamatan yang setimpal.
