LANGGAN

DJI Osmo 360 II: Untuk Merakam Dunia Dengan Lebih Kepuasan

Ciri yang diperbaiki dengan pelbagai kelebihan baharu.
Published: September 6, 2026

DJI memperkenalkan generasi terbaharu kamera aksi 360 darjahnya, Osmo 360 II. Gajet terkini ini mempunyai kelebihan menggabungkan keupayaan rakaman resolusi tinggi, teknologi penstabilan serta reka bentuk yang lebih praktikal. Ia cukup sesuai buat pengembaraan perjalanan dan penghasilan kandungan. Didatangkan juga dengan sensor HDR bersaiz satu inci, kamera ini menawarkan rakaman video 360 darjah sehingga 8K pada 60 bingkai sesaat. Selain itu terdapat beberapa ciri baharu yang memperluas potensi rakaman kreatif.

Pembaharuan Utama

Antara pembaharuan utama ialah penggunaan sensor imej HDR berbentuk segi empat sama bersaiz satu inci. Menurut informasi yang dikongsi DJI, ini membolehkan penggunaan kawasan sensor lebih optimum berbanding sensor konvensional. Ia menyokong piksel 2.4μm, julat dinamik sehingga 14.5 stop serta kedalaman warna 10-bit. Termasuklah dengan profil D-Log M merentasi format video yang tersedia.

Keupayaan ini turut diterjemahkan kepada prestasi rakaman dalam keadaan pencahayaan rendah menerusi AI SuperNight 2.0, teknologi pengurangan hingar yang direka untuk menghasilkan rakaman lebih bersih dalam persekitaran yang malap. Bagi mereka yang gemar bereksperimen, Osmo 360 II turut menawarkan foto HDR 360 darjah sehingga 120MP. Ini sudah tentunya menawarkan kelebihan rakaman selang masa 360 darjah pada 16K serta mod Vortex 8K/120fps untuk menghasilkan gerakan perlahan dengan perspektif yang lebih dramatik.

Ketahanan Diperincikan

Dari sudut ketahanan, Osmo 360 II direka untuk menemani aktiviti luar dalam pelbagai keadaan. Kamera ini mampu beroperasi pada suhu serendah -20°C dan kalis air sehingga kedalaman 10 meter tanpa sarung tambahan. Dengan sarung kalis air khusus, ia boleh digunakan sehingga 50 meter di bawah air.

Pada berat hanya 183 gram, kamera ini turut menawarkan storan terbina dalam 105GB. Baterinya mampu merakam secara berterusan sehingga 100 minit pada 8K/30fps. Pengecasan pantasnya pula membolehkannya mencapai 80 peratus dalam sekitar 22 minit. Pengguna yang memerlukan tempoh rakaman lebih panjang juga boleh memanfaatkan Battery Extension Rod untuk tambahan masa penggunaan sehingga 180 minit.

Pengalaman merakam turut dipermudah menerusi ciri Spotlight Follow dalam aplikasi DJI Mimo. Fungsi ini untuk menjejaki subjek rakaman dan memastikan kedudukannya kekal di tengah bingkai ketika kamera bergerak. Hal ini sekali gus mengurangkan keperluan untuk menyusun semula rakaman secara manual selepas penggambaran.

Satu lagi penambahbaikan yang cukup praktikal ialah kawasan NFC baharu pada kamera. Dengan hanya satu sentuhan, pengguna boleh menyambungkan Osmo 360 II kepada aplikasi Mimo, memindahkan rakaman atau terus mengakses fungsi penyuntingan.

Tarikan Untuk Pencipta Kandungan

Bagi pencipta kandungan profesional, DJI turut menyediakan sokongan untuk aliran kerja penyuntingan yang lebih kompleks. Ini boleh dilakukan melalui pemalam DJI Studio untuk DaVinci Resolve. Rakaman 360 darjah boleh diimport terus ke dalam perisian berkenaan, memberikan lebih banyak ruang untuk penyuntingan dan pascaproduksi.

Menariknya, DJI turut memberikan perhatian terhadap aspek ketahanan jangka panjang menerusi reka bentuk kanta yang boleh diganti. Sekiranya berlaku kerosakan, kanta boleh ditukar tanpa perlu menggantikan keseluruhan kamera. Kedua-dua kanta juga dilindungi salutan filem optik tahan lasak bagi membantu mengurangkan risiko kerosakan.

Untuk audio, Osmo 360 II dilengkapi sistem empat mikrofon terbina dalam dengan pengurangan hingar angin. Kamera ini turut serasi dengan beberapa model mikrofon DJI melalui sambungan OsmoAudio Direct Microphone Connection. Sistem pemasangan magnet pelepasan pantas dua hala pula membolehkan aksesori DJI serta peralatan kamera standard digunakan melalui benang 1/4 inci.

Harga Dan Penawaran

Di Malaysia, DJI Osmo 360 II ditawarkan dalam tiga konfigurasi. Ia bermula dengan Standard Combo pada harga RM2,189, Limitless Riding Combo pada RM2,299 dan Adventure Combo pada RM2,629. Bagi pembelian serta pengaktifan model yang layak antara 2 hingga 30 September 2026, pelanggan turut menerima pelan DJI Care Refresh. Ia ditawarkan selama setahun secara percuma.

Melalui gabungan sensor berprestasi tinggi, rakaman 8K, ketahanan untuk aktiviti lasak dan sistem penggambaran yang semakin pintar, Osmo 360 II sangat lengkap sebagai kamera yang memberi kebebasan untuk menentukan bagaimana sesuatu pengalaman itu ingin dilihat semula.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down