Siapa yang masih ingat zaman kegemilangan Akademi Fantasia (AF)? Lagu ‘Menuju Puncak’, diari AF dan sorakan peminat setiap kali peserta melangkah ke pentas pastinya masih segar dalam ingatan. Fenomena yang pernah mencetuskan demam AF itu kini kembali menghidupkan nostalgia menerusi Gegar Vaganza Fantasia yang menghimpunkan barisan juara Akademi Fantasia.
Minggu pertama yang berlangsung pada Ahad lalu menjadi pertemuan semula buat para alumni AF yang pernah mencipta nama dalam industri muzik tempatan. GV Fantasia turut membuka ruang untuk para juara membuktikan bahawa bakat dan aura mereka masih relevan sehingga hari ini.
Lebih menarik, suasana nostalgia semakin terasa apabila kumpulan Alpha tampil membawakan lagu ikonik ‘Menuju Puncak’ bersama barisan alumni dan juara AF. Lagu yang sinonim dengan perjalanan Akademi Fantasia itu sekali lagi bergema dan membawa penonton kembali ke zaman rancangan realiti yang pernah menjadi fenomena hiburan tanah air.
Minggu pertama menyaksikan sembilan peserta membuat persembahan sebagai barisan utama yang bakal bersaing dalam GV Fantasia. Terdiri daripada Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Faizul Sany, Shahir dan Firman. Setiap seorang hadir dengan identiti muzik serta pengalaman tersendiri, sekali gus menjadikan pentas pertama ini cukup dinantikan.
Selain sembilan peserta tersebut, Amir Masdi dan Sufi turut membuat kemunculan istimewa. Walaupun kedua-duanya merupakan juara AF, mereka tidak disenaraikan sebagai peserta pertandingan. Sebaliknya, kehadiran mereka memeriahkan persembahan pembukaan sambil mengukuhkan konsep GV Fantasia yang meraikan perjalanan dan legasi Akademi Fantasia.
Satu perkara yang menarik perhatian sepanjang kemunculan semula ini ialah sokongan peminat terhadap bekas juara AF. Walaupun sudah bertahun-tahun berlalu sejak mereka mula dikenali, nama-nama ini masih mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan peminat. Malah, kemunculan mereka di pentas GV Fantasia membuktikan bahawa hubungan antara penyanyi dan peminat tidak semestinya terhenti selepas sesebuah pertandingan berakhir.
Bagi peminat yang pernah mengikuti perjalanan mereka menerusi diari AF dan persembahan mingguan, GV Fantasia pastinya memberikan peluang untuk mengimbau kembali kenangan tersebut dalam suasana yang lebih segar.
Jika anda menyangka sembilan peserta sedia ada sudah cukup untuk memeriahkan pertandingan ini, tunggu dahulu! Kali ini GV Fantasia hadir dengan satu lagi kejutan buat penonton. Empat alumni Akademi Fantasia bakal diberi peluang untuk kembali ke pentas pertandingan dan menyertai sembilan juara yang sudah disenaraikan.
Lebih menarik, pemilihan empat peserta tambahan ini bakal ditentukan menerusi undian GVundi oleh penonton. Ini bermakna peminat mempunyai peluang untuk memilih alumni kegemaran mereka bagi kembali bersaing dalam GV Fantasia.