A2O SOUL, Alpha to Omega yang debut pada 13 Oktober 2026 menerusi single 'SUPERSTAR' dianggotai oleh 15 ahli di bawah naungan A2O Entertainment ini, tampil dengan identiti muzik yang berbeza. Diterajui penerbit legenda, Lee Soo-man, kemunculan A2O SOUL memberikan nafas baharu kepada industri K-pop masa kini dengan sentuhan nostalgia yang mengingatkan peminat kepada kegemilangan generasi kedua dan ketiga.

Gambar Ihsan Chosunbiz
Kemunculan kumpulan ini turut mengembalikan Lee Soo-man ke arena muzik Korea Selatan selepas meninggalkan SM Entertainment pada tahun 2023. Sebagai individu yang memainkan peranan besar dalam membentuk landskap K-pop moden, Lee kembali dengan pendekatan yang cukup dikenali peminatnya, iaitu gabungan konsep artistik, persembahan berkumpulan dan produksi muzik yang teliti. Namun, mampukah formula yang pernah mencorakkan industri ini kembali memikat generasi pendengar baharu?
Salah satu tarikan utama A2O SOUL terletak pada identiti muzik mereka yang diperkenalkan sebagai New Synthwave. Mengambil inspirasi daripada bunyi synthesizer era 1980-an sebelum diolah semula dengan pendekatan produksi kontemporari. Melodi elektronik dan susunan vokal akapela menghasilkan pengalaman pendengaran yang terasa nostalgik, namun masih segar untuk cita rasa muzik masa kini.

Gambar Ihsan Marie Claire
Debut dengan lagu 'SUPERSTAR', memperlihatkan pengaruh tersebut menerusi melodi synthesizer yang menyerlah. Lagu ini turut mendapat sentuhan Penerbit Yoo Young-jin, nama yang cukup sinonim dengan identiti muzik SM Entertainment, bersama komposer antarabangsa HAAN dan GENT!. Gabungan ini mengingatkan pendengar kepada era K-pop yang memberikan penekanan terhadap melodi serta kekuatan vokal, tanpa mengetepikan elemen produksi moden.
A2O SOUL menghidupkan semula konsep kumpulan berskala besar yang pernah menjadi identiti penting industri K-pop. Pemilihan ahli yang masih dalam lingkungan usia belasan tahun turut mengundang persoalan tentang strategi Lee Soo-man dalam menarik perhatian generasi baharu. Menariknya, kumpulan ini membangkitkan nostalgia kegemilangan K-pop generasi kedua dan ketiga, seperti Super Junior, SHINee dan EXO yang pernah bernaung di bawah SM Entertainment. Pendekatan ini seolah-olah menawarkan alternatif lain kepada konsep rap, edgy dan cute yang kerap mewarnai landskap K-pop masa kini.

Gambar Ihsan Koren JoongAng Daily
Formasi 15 ahli juga membuka ruang kepada koreografi lebih dinamik, pertukaran posisi serta kepelbagaian karakter dalam satu persembahan. Namun, cabaran sebenar terletak pada kemampuan setiap ahli menyerlahkan individualiti tanpa menjejaskan kesatuan kumpulan. Dari sudut visual, A2O SOUL turut memperlihatkan pendekatan yang dekat dengan estetika anak muda melalui gaya streetwear, penampilan kasual dan karakter individu yang berbeza. Juga menitikberatkan hubungan antara muzik, fesyen dan imej visual menjadi antara aspek penting dalam membentuk daya tarikan sesebuah kumpulan.
A2O debut bersama tiga anggota Korea Selatan iaitu Moon, Seoha dan Hansung, See-one yang berlatar belakangkan Korea-Jepun serta Lucien yang mempunyai kewarganegaraan Korea-Amerika. Tiga anggota dari Jepun pula terdiri daripada Sora, Gaku dan Sono, manakala enam ahli dari China iaitu Teo, June, Tai, Zai, Ayden dan Zet, yang juga merupakan antara anggota termuda kumpulan. Melengkapkan formasi ini ialah Alure dari Thailand. Kepelbagaian budaya tersebut memperlihatkan aspirasi Lee Soo-man dalam membentuk sebuah kumpulan K-pop beridentiti global.

Gambar Ihsan A20_Rookies
Ada yang menjangkakan A2O SOUL berpotensi menjadi pencabar bagi kategori Best New Artist di MAMA Awards 2027 dan meraih pengiktirafan tertinggi, Daesang. Sebagai langkah seterusnya, A2O SOUL dijadualkan melancarkan album debut 'SUPERSTAR' pada 9 November 2026, dengan lima lagu termasuk 'Dancing in the Dark'. Persoalannya, adakah pendekatan New Synthwave mampu menjadi identiti yang membezakan mereka daripada kumpulan K-pop lain? Debut A2O SOUL mungkin membuktikan bahawa dalam industri yang sentiasa mengejar kelainan, adakalanya inspirasi masa lalu mampu membuka jalan kepada sesuatu yang baharu.