Ada sesuatu yang istimewa tentang kepulangan Formula 1® ke Sepang. Hampir sedekad selepas Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah pada tahun 2017. Kini litar ikonik ini kembali menjadi pentas perlumbaan menerusi Formula 1® Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026.
Perlumbaan kali ini menggantikan acara Grand Prix Bahrain yang pada asalnya dijadualkan pada April. Sekali gus membawa semula deruman enjin, persaingan dan suasana perlumbaan ke bumi Malaysia. Dengan reka bentuk litar yang mencabar serta keadaan cuaca tropika yang tidak dapat dijangka, Sepang kembali menjadi tumpuan peminat Formula 1® di seluruh dunia.

Namun, kali ini perhatian bukan hanya tertumpu kepada litar. Sebagai rakan kongsi rasmi Formula 1®, Louis Vuitton turut membawa satu lagi simbol kemenangan ke Sepang menerusi trofi trunk Louis Vuitton yang direka khas untuk perlumbaan tersebut.
Sebelum trofi diserahkan kepada pemenang di litar, orang ramai berpeluang melihat sendiri trofi trunk ini dengan lebih dekat menerusi pameran khas di Louis Vuitton Pavilion Kuala Lumpur dari 26 hingga 29 September. Ia merupakan kali pertama sebuah Formula 1® trofi trunk Louis Vuitton dipersembahkan kepada umum di Malaysia. Menjadikannya antara detik yang jarang ditemui buat peminat sukan permotoran dan dunia fesyen.
Lebih daripada sekadar bekas untuk menyimpan trofi, trofi trunk ni memperlihatkan bagaimana ketukangan Louis Vuitton bertemu dengan bahasa visual Formula 1®. Permukaannya dihiasi Monogram ikonik Maison bersama simbol V yang membawa makna berganda — Victory dan Vuitton.
Warna merah dan putih diinspirasikan oleh Bahrain. Manakala corak hitam putih Damier mengingatkan kepada garisan penamat yang menjadi simbol penting dalam setiap perlumbaan. Setiap elemen hadir dengan peranan tersendiri, menggabungkan identiti Louis Vuitton dengan dunia Formula 1® dalam satu karya yang terasa moden.
Untuk edisi ini, Louis Vuitton turut memperkenalkan Victory patch. Sebuah elemen baru yang kini menjadi sebahagian daripada identiti trofi trunk Formula 1® Louis Vuitton.
Diilhamkan oleh label perjalanan tradisional yang sinonim dengan sejarah Maison, patch tersebut akan diukir dengan inisial pemenang. Sentuhan kecil ini memberikan setiap trofi trunk identiti tersendiri, sambil merakam sejarah perlumbaan dan nama pemandu yang berjaya meninggalkan jejaknya.
Ia juga membawa satu idea yang cukup dekat dengan falsafah perjalanan Louis Vuitton — setiap perjalanan meninggalkan tanda, dan setiap kemenangan menjadi sebahagian daripada sejarah yang lebih panjang.