
New York tidak pernah benar-benar tidur. Di tengah-tengah kesibukan Times Square dengan limpahan cahaya neon, deretan teater Broadway dan aliran manusia yang tidak putus-putus, M Social Hotel New York Times Square menjadi persinggahan ideal untuk menikmati karakter kota yang ikonik ini.
Menggabungkan estetika moden dengan suasana yang sofistikated, hotel ini terletak di tengah kota Manhattan. Jarak berjalan kaki ke beberapa tarikan utama New York termasuk Central Park, Rockefeller Center dan Fifth Avenue. Lokasinya menjadikan setiap pengembaraan di kota lebih mudah. Sama ada untuk meneroka budaya, menikmati pengalaman membeli-belah atau menyelami kehidupan malam Manhattan.

Tarikan utama hotel ini terletak pada pemandangan panoramik Times Square yang terbentang terus dari Beast & Butterflies. Restoran dan bar ini menawarkan pemandangan terus ke arah Times Square serta Broadway. Dengan suasana yang dinamik dan latar kota yang sentiasa berubah, ruang ini menjadi tempat ideal untuk menikmati minuman, bertemu rakan atau sekadar menyaksikan New York bergerak di hadapan mata.
Hotel ini menawarkan 480 bilik King dan Double dengan pilihan pemandangan bandar, sungai serta Times Square. Kemudahan lain termasuk Wi-Fi percuma, akses kepada komputer dan pencetak di lobi, zon permainan serta pusat kecergasan. Ia melengkapkan keperluan tetamu yang mengutamakan keselesaan sepanjang penginapan.

Bagi urusan kerja mahupun acara sosial, M Social Hotel New York Times Square menyediakan lebih daripada 7,000 kaki persegi ruang acara fleksibel. Sesuai untuk pelbagai keperluan dan skala pertemuan. Dua bilik mesyuarat eksekutif yang boleh menampung sehingga 12 orang setiap satu dilengkapi pencahayaan semula jadi serta akses ke teres. Pilihan ruang turut merangkumi bar, restoran dan teres atas bumbung. Ia memberikan latar yang lebih santai untuk acara korporat, pertemuan peribadi atau majlis istimewa.




Di Beast & Butterflies Lounge, suasana Times Square diterjemahkan ke dalam pengalaman sosial yang lebih hidup. Dengan pilihan ruang lounge yang fleksibel, ia sesuai untuk pelbagai acara, daripada pertemuan intim hingga majlis berkumpulan. Menu koktel kreatif dan hidangan yang menarik melengkapkan pengalaman sementara persembahan artis muzik secara langsung serta DJ pilihan membawa suasana New York ke dalam ruang ini. Sama ada untuk memulakan malam dengan koktel, bertemu kenalan selepas seharian meneroka kota atau menikmati suasana Broadway dari sudut yang berbeza, Beast & Butterflies menawarkan pengalaman yang meraikan sisi sosial Manhattan.

Di kota yang sentiasa bergerak, M Social Hotel New York Times Square memberikan ruang untuk menikmati setiap detiknya. Daripada panorama ikonik Times Square hingga ke pengalaman kulinari dan pertemuan yang menjadikan New York begitu istimewa.