Sebagai crossover elektrik pertama Volvo yang ditawarkan sepenuhnya tanpa enjin pembakaran dalaman, EC40 kini melangkah lebih jauh dengan pengenalan varian Single Motor bagi tahun model 2026. Menjadikan pengalaman EV premium ini lebih mudah diakses tanpa menjejaskan identiti Volvo yang sinonim dengan keselamatan dan reka bentuk Scandinavia.

Karakter EC40 benar-benar terserlah apabila berkuasa di tengah bandar. Untuk varian Single Motor Ultra, kuasa disalurkan dengan lancar melalui motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 175 kW (238 hp). Pecutan dari pegun terasa responsif, namun kekal terkawal sesuai dengan situasi trafik bandar yang tidak menentu.
Apa yang paling dirasai ialah bagaimana EC40 mengurangkan tekanan pemanduan harian. Kesenyapan kabin, digabungkan dengan sistem pemanduan satu pedal dan bantuan pemandu seperti Pilot Assist serta kamera 360 darjah, menjadikan pergerakan di jalan sesak lebih santai dan intuitif. Ia bukan sekadar memudahkan tetapi membina keyakinan.

Apabila laluan terbuka di lebuh raya, EC40 menunjukkan sisi yang lebih matang. Varian Single Motor mungkin tidak seagresif versi Twin Motor AWD. Pecutan 0–100 km/j dalam 7.3 saat terasa realistik dan seimbang untuk sebuah EV premium harian. Bunyi angin dan tayar dikawal dengan baik, menjadikan kabin kekal senyap walaupun dalam perjalanan panjang.
Dengan bateri 70 kWh, jarak pemanduan sehingga 488 km (WLTP) memberikan keyakinan untuk perjalanan jauh. Tambahan pula, sokongan pengecasan pantas DC 10–80% dalam sekitar 26 minit menjadikan hentian rehat lebih praktikal dan bukan satu beban.

Di ruang dalam, EC40 versi 2026 menampilkan kemasan dalaman bebas kulit, menggunakan gabungan Charcoal Connect suede textile dan Microtech. Rekaan dalaman turut diperbaharui dengan elemen cutting edge décor pada papan pemuka dan panel pintu, memberikan sentuhan visual yang lebih moden dan tajam. Bumbung panoramik pula menambah rasa lapang, menjadikan kabin lebih cerah dan selesa untuk pemanduan jarak jauh.
Sistem infotainmen kini menggunakan antara muka generasi baru Volvo yang diperkenalkan pada model EX30. Dengan paparan 9 inci Google Built-In dan paparan pemandu 12.3 inci, kawalan terasa lebih intuitif dan memerlukan kurang sentuhan.
