LANGGAN

Park Hyatt London Menemui Sentuhan Christian Bense

Kehidupan kosmopolitan London hadir dalam interpretasi baru
Published: October 1, 2026

Di tengah perkembangan Nine Elms, London, sebuah koleksi kediaman baru mula mencuri perhatian dari atas garisan langit kota. Park Hyatt London River Thames Residences kini memperkenalkan dua unit apartmen pertama hasil sentuhan pereka dari Afrika Selatan, Christian Bense. Sekali gus menandakan kemunculan pertama kediaman berjenama Park Hyatt di United Kingdom.

Dibawa ke pasaran oleh Knightcrest, koleksi ini merangkumi 103 kediaman sedia didiami. Dengan dua kediaman pertama di Level 26 diterjemahkan melalui perspektif reka bentuk Bense. Sepanjang enam bulan akan datang, beberapa lagi unit apartmen hasil kolaborasi bersama barisan pereka terpilih akan diperkenalkan, membentuk satu perjalanan reka bentuk yang berbeza untuk setiap ruang.

Ketenangan Di Dalam Kota

Kediaman ini berada di atas hotel Park Hyatt London River Thames dengan kedudukan yang menghadap Sungai Thames dan panorama London. Sebuah pintu masuk dan lobi eksklusif disediakan di aras bawah, memisahkan kediaman daripada kesibukan hotel. Suasananya sengaja dirangka lebih tenang dan bersifat peribadi. Dari sini, lif persendirian membawa penghuni ke Residents’ Lounge di Level 19 sebelum meneruskan perjalanan ke tingkat kediaman serta penthouse di aras lebih tinggi.

Inspirasi Gaya Mid-Century

Untuk dua kediaman di Level 26, Christian Bense mengambil inspirasi daripada estetika pertengahan abad khususnya era 1950-an hingga 1970-an. Namun, hasil akhirnya tidak terasa seperti sebuah ruang yang cuba menghidupkan semula satu dekad tertentu.

Sebaliknya, tekstur, warna bernuansa serta gabungan perabot kontemporari dan vintaj disusun supaya kediaman terasa seolah-olah dikumpul sedikit demi sedikit mengikut perjalanan hidup penghuninya. Pendekatan ini mencipta suasana yang lebih peribadi, sesuai untuk penghuni yang gemar mengembara dan menghargai objek dengan cerita tersendiri.

Sebuah ‘Ruang’ yang Bercerita

Dalam kediaman tiga bilik tidur, pengalaman reka bentuk bermula sebaik sahaja melangkah masuk. Bilik tidur utama menggunakan palet rona pic yang memberikan sisi lebih lembut kepada rujukan mid-century kediaman. Manakala Bilik tidur kedua hadir dengan karakter yang lebih berani. Rona biru pekat digabungkan bersama aksen rona karamel dan kepala katil baldu bertekstur menjadi titik tumpuan berlatar kertas dinding kelabu. Bilik tidur ketiga pula direka sebagai ruang fleksibel yang boleh berfungsi sebagai bilik kerja dan ruang bersantai dan menjadi pusat ruang kerja.

Tekstur Sebagai Bahasa Utama

Keseluruhan kediaman disatukan menerusi satu bahasa material yang jelas — kemasan seni bina mentah diseimbangkan dengan tekstur yang lebih hangat. Cat plaster lembut, kayu semula jadi dan batu memberikan kelembutan kepada garisan bangunan yang lebih tegas.

Palet warnanya pula mengambil inspirasi daripada landskap London, menggabungkan rona biru keluli dan kelabu lembut bersama tona kayu hangat serta aksen brass. Hasilnya ialah peralihan ruang yang terasa lancar tanpa setiap bilik kehilangan identitinya.

Beberapa pembuat British turut terlibat menerusi perabot tempahan khas daripada Galvin Brothers, Lorfords Contemporary dan Atelier 278, sebahagian daripada koleksi kapsul Christian Bense Studio.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down