Pengguna gajet hari ini bukan saja mencari peranti dengan prestasi pantas malah mahukan ketahanan yang mampu menyokong rutin harian. Atas faktor itu, semakin banyak pengeluar memberi tumpuan kepada ciri-ciri praktikal. Pendekatan inilah yang cuba diketengahkan oleh vivo menerusi pelancaran vivo Y31s di Malaysia. Telefon pintar dalam kategori mesra bajet ini hadir dengan penekanan terhadap daya tahan bateri, rekaan yang tahan lasak dan pengalaman penggunaan yang sesuai untuk pelbagai gaya hidup.
Salah satu tarikan utama vivo Y31s ialah bateri BlueVolt berkapasiti 6500mAh. Ia menawarkan tempoh penggunaan lebih lama berbanding kebanyakan telefon dalam kelasnya. Dengan kapasiti yang besar, pengguna tidak perlu terlalu bergantung kepada pengecas sepanjang hari.
Bateri ini turut direka untuk mengekalkan prestasinya dalam tempoh penggunaan yang panjang. vivo menyatakan bateri tersebut mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 80 peratus kapasiti asal selepas sehingga 1,600 kitaran pengecasan. Sistem pengecasan pantas 44W turut melengkapkan pengalaman penggunaan dengan pelbagai ciri keselamatan bagi memastikan proses pengecasan kekal stabil dan selamat.

Selain bateri, aspek ketahanan fizikal turut diberi perhatian. vivo Y31s hadir dengan penarafan IP68 dan IP69+. Ia menawarkan perlindungan daripada habuk serta air termasuk semburan air bertekanan tinggi dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Peranti ini juga dilengkapi dengan perlindungan tambahan seperti skrin Guardian Glass, binaan kalis hentakan serta pensijilan ketahanan bertaraf ketenteraan. Turut disertakan dengan Wet-Hand Touch dan mod fotografi bawah air yang membolehkan telefon terus digunakan walaupun dalam keadaan basah.

Dari segi prestasi, vivo Y31s menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 4 Gen 2 yang dibina menggunakan proses 4nm. Gabungan ini menawarkan kecekapan tenaga yang lebih baik di samping memastikan aplikasi harian, navigasi dan hiburan dapat dijalankan dengan lancar.
Telefon ini turut menyokong storan UFS 3.1 untuk kelajuan pemindahan data yang lebih pantas, memori sehingga 8GB RAM bersama RAM tambahan maya, serta storan dalaman sehingga 256GB. Konfigurasi ini membolehkan pengguna melakukan pelbagai tugasan serentak tanpa menjejaskan prestasi.
Beberapa ciri pintar seperti AI Captions, Origin Island dan vivo Office Kit turut disediakan bagi membantu meningkatkan produktiviti harian.
Bagi pengalaman multimedia, vivo Y31s dilengkapi skrin LCD 6.72 inci dengan kadar segar semula 120Hz serta tahap kecerahan sehingga 1,050 nits, membolehkan paparan kekal jelas walaupun di bawah cahaya matahari.
Sistem pembesar suara stereo dengan tahap audio sehingga 400 peratus pula memberikan pengalaman mendengar yang lebih jelas, sama ada ketika menonton video, mendengar muzik atau menerima panggilan di kawasan yang bising.
Dalam aspek fotografi, telefon ini hadir dengan kamera utama 50MP dan kamera hadapan 32MP. Beberapa ciri berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti AI Erase, AI Photo Enhance, Live Photo dan pelbagai mod potret membantu pengguna menghasilkan imej yang lebih kemas tanpa memerlukan suntingan yang rumit.