BMW iX3 bukan sekadar sebuah SUV elektrik tetapi menjadi gambaran tentang hala tuju baru BMW untuk generasi akan datang. Model ini juga telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai World Car of the Year dan World Electric Vehicle of the Year 2026.
Kemunculan Neue Klasse hari ini mengingatkan kembali kepada era asal Neue Klasse pada 1960-an yang berjaya mengubah arah BMW serta segmen kenderaan premium. Kini, BMW iX3 membawa semangat yang sama menerusi teknologi dan pendekatan moden.
BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro merupakan model produksi pertama yang menggunakan BMW eDrive generasi keenam dengan sistem elektrik 800 volt. Ia menggunakan bateri berkapasiti 108.7 kWh dan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa 345 kW atau 469 hp, serta tork maksimum 645 Nm. Kuasa ini disalurkan melalui sistem pacuan semua roda BMW xDrive dengan talaan yang lebih menekankan karakter pacuan roda belakang.
Sistem brek regeneratif turut membantu menghasilkan pemanduan yang lebih lancar. BMW menyatakan sekitar 98 peratus proses membrek secara purata boleh dilakukan melalui sistem recuperation sehingga kenderaan berhenti sepenuhnya.

Antara kelebihan utama BMW iX3 ialah jarak perjalanannya. Model ini mampu mencapai jarak sehingga 805 kilometer berdasarkan WLTP, menjadikannya lebih praktikal untuk perjalanan jauh. Dengan sistem 800 volt, pengecasan DC boleh dilakukan pada kadar sehingga 400 kW. Dalam masa hanya 10 minit, bateri boleh memperoleh tambahan jarak sehingga 372 kilometer.
Sistem pengecasan pintar turut membantu menyediakan bateri sebelum tiba di stesen pengecasan apabila navigasi digunakan. Ini membolehkan proses pengecasan bermula pada kadar optimum sebaik sahaja kenderaan tiba. BMW iX3 juga mampu mengenali lokasi pengecasan yang pernah dikunjungi.
Bahagian dalam BMW iX3 turut menerima perubahan besar. Model ini memperkenalkan BMW Panoramic iDrive, sistem baru yang direka untuk memastikan maklumat penting mudah dilihat tanpa mengganggu fokus pemandu.
Antara ciri paling menarik ialah BMW Panoramic Vision, paparan berukuran 43.3 inci yang merentasi keseluruhan lebar cermin hadapan. Ia memaparkan maklumat seperti kelajuan, navigasi dan widget pilihan terus dalam medan penglihatan pemandu.
Ia turut dilengkapi BMW 3D Head-Up Display, yang memaparkan maklumat navigasi dan bantuan pemanduan dalam bentuk tiga dimensi. Di bahagian tengah terdapat skrin 17.9 inci Central Display yang mengendalikan pelbagai fungsi melalui BMW Operating System X.
Dari segi luaran, BMW iX3 memperkenalkan bahasa reka bentuk yang akan menjadi sebahagian daripada identiti generasi BMW akan datang.
Reka bentuknya lebih bersih dengan permukaan yang kemas dan garisan yang ringkas. Di bahagian hadapan, gril kidney menegak dengan BMW Iconic Glow menjadi tarikan utama. Model ini hadir dengan rim aloi ringan 22 inci Y-Spoke Style 1054 M bicolour bersama brek M Sport berwarna merah.
Dari aspek keselamatan, BMW iX3 baharu dilengkapi pelbagai kamera, radar dan sensor yang menyokong sistem bantuan pemanduan. Antaranya ialah:
BMW iX3 baharu turut hadir dengan pelbagai ciri sambungan digital. Apple CarPlay dan Android Auto disediakan, manakala BMW Digital Premium memberikan akses kepada perkhidmatan seperti penstriman audio dan video, permainan serta navigasi.
Dengan BMW Digital Key Plus, telefon pintar yang serasi boleh digunakan sebagai kunci digital. Sistem ini mengenal pasti pemandu ketika menghampiri kenderaan dan secara automatik mengaktifkan beberapa fungsi seperti pencahayaan serta pemegang pintu.