Semangat cinta berkepanjangan. Bertitik tolak daripada pelahiran rasa kasih sayang, Cartier memperkenalkan himpunan LOVE Unlimited yang baharu – menampilkan rantai leher, gelang tangan serta cincin. Narasi LOVE Unlimited diperkuat lagi oleh Jacob Elordi yang mendorongkan pengertian kasih sayang infiniti dalam lensa peribadi, menerusi kempen istimewa yang dirakam oleh kakaknya sendiri, Isabelle Elordi.

Apa yang terkandung dalam himpunan Cartier LOVE Unlimited ini adalah lilitan rantai emas seakan-akan reben yang hadir dalam emas merah jambu, emas kuning serta emas putih bersaduran rodium. Ergonomik menjadi kata kunci untuk rekaan rantai lehernya, yang bersatu dengan citra elegan dan kehalusan pada ketukangan kraf. Gelang tangan yang baharu dalam himpunan ini pula menegaskan keterserlahan kilauan LOVE Unlimited pada rangkaian berlian 0.80-karat berbentuk bulat. Cartier malah menampilkan seting berupa skru yang diperbuat daripada emas putih, termasuk emas merah jambu dan emas kuning.
Lambang kepersisan Cartier dalam mencipta barang kemas serta aksesori, gelang tangan dan rantai leher LOVE Unlimited membabitkan kerja-kerja ketukangan penuh kecermatan. Terutama sekali dalam menghimpun 200 komponen berukuran mikro, yang digilap sepenuhnya dengan tangan.

Seni pembuatan barang kemas serta aksesori ini menjadi lebih kompleks dari aspek menetapkan berlian yang dipilih yang berasaskan piawaian tertentu oleh Maison. Malah, berlian untuk gelang tangan LOVE Unlimited dilengkapi kefungsian invisible Cartier-patented clasp yang memudahkan ia bercantuman dengan gelang tangan lain – baik digayakan ‘berpasangan’ mahupun kombinasi yang pelbagai, terpulang kepada si pemakainya.
Melanjutkan bicara tentang himpunan ini, rekaan asalnya direalisasikan oleh Aldo Cipullo pada tahun 1969 di New York. Berangkat daripada itu, gelang tangan Love mengubah pandangan tentang barang kemas yang membahasakan nada romantik. Rekaannya yang ikonik adalah biasan kepada perkasihan tiada sempadan, mencadangkan bahawa ianya bukan sekadarkan cuma aksesori semata-mata. Perihal ini didukung tinggi dalam himpunan LOVE Unlimited, menjentik Cartier untuk menyemak makna cinta ini dengan merakam kempen di Paris – menghimpuan dua soso bercinta, belatarkan Sungai Seine.