LANGGAN

Algoritma Pelaburan Zach Du Chao

Tampil sebagai individu dengan visi yang luas dan sentiasa berani mencuba. Dia terus mahu memperluaskan lagi usaha pelaburannya.
Published: June 17, 2026
Penyelaras: Ardi Idewani dan Muzammin Muzlan Fotografi: Eric Chow / Blink Studio Dibantu Oleh: Tommi Chu Arahan Kreatif: Nabihah Nizam Penata Gaya: Mughni Che Din Dibantu Oleh: Shaza Dandanan: Wayne Solekan: Desiree Tan

ELLE Men bertemu Zach Du Chao untuk mendalami pendekatannya dalam menggabungkan untung pelaburan dengan impak sosial serta membina rangkaian strategik merentas pelbagai perniagaan. Dalam pertemuan sama, Zach turut memperkenalkan Christopher Yan, ahli lembaga pengarah Syarikat Felicity Ventures yang memiliki kepakaran luas dalam bidang perundangan dan kewangan.

Jaket daripada Zeve dan jam daripada IWC.

ELLE Men: Sebelum bermula, boleh kongsikan perkara yang mengisi kesibukan ketika ini.

Zach Du Chao: Ketika ini, fokus utama saya lebih tertumpu kepada usaha sama pelaburan kepada Syarikat Fecility Ventures. Selain mula meneroka peluang pelaburan dalam industri fesyen, saya juga memberi penekanan yang besar terhadap inisiatif kelestarian. Melalui usaha ini, saya sedang berusaha memperkukuhkan pelaburan dalam bidang yang mampu mencipta impak jangka panjang khususnya dalam sektor kemampanan, sains dan teknologi. Pada masa sama, saya percaya impak berterusan perlu disokong model perniagaan yang mampan.

Seperti yang selalu saya katakan “impact without financial sustainability is charity” dan itu bukan pendekatan saya. Matlamat saya adalah untuk menghasilkan perubahan yang bermakna sambil memastikan pulangan yang kukuh dan boleh diukur kepada pelabur.

Kot daripad COS.

EM: Jika boleh kaitkan diri anda dengan buku atau filem sekarang, apakah pilihannya dan mengapa?

ZDC: Saya cenderung memilih karya yang mengingatkan tentang kepentingan hubungan antara manusia seperti The Devil Wears Prada. Walaupun dunia hari ini berubah pantas dan kita sering berdepan cabaran dalam kerjaya serta kehidupan peribadi, hubungan sebenar dengan keluarga, sahabat dan orang tersayang sentiasa menjadi sumber kekuatan saya.

Selepas pandemik dan dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, saya semakin menghargai nilai persahabatan dan sokongan rakan yang ikhlas. Saya bertuah mempunyai rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan mendorong satu sama lain untuk menjadi versi terbaik diri sendiri. Bagi saya, itulah kekayaan yang sebenar.

EM: Anda sentiasa bekerja untuk membina keuntungan dan menyumbang sama kepada impak sosial. Bagaimanakah keselarian dua perkara ini terjalin?

ZDC: Bagi saya, semuanya bergantung kepada keseimbangan. Kejayaan tidak boleh diukur hanya melalui angka dan pulangan kewangan semata-mata. Kita juga perlu melihat nilai yang boleh disumbang kepada masyarakat. Saya sentiasa percaya bahawa kekayaan bukanlah matlamat utama kehidupan. Ia penting, tetapi lebih penting lagi adalah bagaimana usaha kita menggunakan sumber yang kita miliki untuk memberi manfaat untuk orang lain. Sebab itu saya banyak terlibat dalam aktiviti filantropi dan usaha memberi kembali kepada masyarakat. Pada akhirnya, keseimbangan antara keuntungan dan impak sosial datang daripada nilai peribadi seseorang. Jika anda mempunyai tujuan jelas kedua-duanya boleh bergerak seiringan.

EM: Dalam mana-mana temu bual lain, anda juga sering menyatakan “impact is also wealth”. Bagaimana idea ini terbentuk?

ZDC: Saya pegang nilai idea ini daripada mentor keluarga saya yang sentiasa mempertimbangkan kesan jangka panjang sesuatu keputusan dilakukan. Bukan hanya pulangan kewangan. Bagi saya, kekayaan tidak hanya tentang apa yang kita miliki tetapi tentang apa yang kita mahu tinggalkan kepada masyarakat. Jika sesuatu tindakan mampu memberi manfaat kepada lebih ramai orang dan mewujudkan perubahan positif berkekalan, itu juga merupakan satu kekayaan. Impak yang positif boleh mencipta nilai jauh lebih besar daripada keuntungan kewangan semata-mata.

EM: Sebagai penasihat bersama strategik Felicity Ventures, apakah cabaran paling mendesak yang perlu diberi perhatian dalam landskap pelaburan kini?

ZDC: Cabaran terbesar hari ini ialah bagaimana sesebuah firma pelaburan membezakan dirinya dalam pasaran yang semakin kompetitif. Modal semakin sukar diperoleh dan pelabur institusi menjadi lebih selektif. Ramai pemain pelaburan menawarkan strategi yang hampir sama. Oleh itu, persoalannya apakah nilai unik yang dibawa. Bagi saya, fokus terhadap kemampanan dan impak jangka panjang merupakan sebahagian daripada identiti Felicity Ventures.

Kekuatan kami juga terletak pada rakan kerja yang hebat daripada segi pengalaman dan kepakaran. Saya bertuah dapat bekerjasama dengan Jung Kyu Kim, graduan Harvard dan bekas perunding McKinsey, serta Christopher Yan, ahli lembaga pengarah yang membawa kepakaran mendalam dalam bidang perundangan dan kewangan. Gabungan perspektif yang berbeza ini membantu penilaian peluang pelaburan secara lebih menyeluruh dan strategik. Kami rela berkembang secara perlahan tetapi mampan berbanding mengejar pertumbuhan yang cepat tanpa asas kukuh. Pada akhirnya nanti, kami mahu membina sesuatu yang mampu mencipta nilai jangka panjang.

Kot dan semua persalinan daripada Dan John.
Pakaian Mr. Christopher Yan kesemuanya milik sendiri.

EM: Jadi jika menilai sesebuah startup atau organisasi sejauh mana potensi keuntungan memainkan peranan penting berbanding faktor lain?

ZDC: Potensi keuntungan sememangnya penting, tetapi itu bukan faktor utama. Perkara pertama yang saya nilai ialah siapa pengasas syarikat itu sendiri. Contohnya personaliti, nilai, cara berfikir dan tujuan yang ingin dicapai. 

Jika seseorang mempunyai integriti yang tinggi dan visi jelas, strategi boleh diperbaiki dan perniagaan boleh berkembang. Namun jika personalitinya tidak menarik, kejayaan kewangan yang besar juga boleh membawa kepada keputusan pelaburan yang salah. Saya sentiasa mencari individu yang tidak hanya mengejar wang tetapi ingin tekad membina kejayaan bersama. 

EM: Apakah perkongsian bernilai anda peroleh daripada pelbagai kerjasama pelaburan ini dan adakah ia mempengaruhi pendekatan anda terhadap keputusan pelaburan?

ZDC: Saya yakin bahawa impak terbesar boleh diberikan apabila pelbagai pihak bekerjasama dan memanfaatkan kekuatan masing-masing. Sama ada dalam industri fesyen, pendidikan, kebudayaan atau filantropi, setiap organisasi mempunyai sumber dan kepakaran yang berbeza. Apabila semuanya digabungkan, kesannya menjadi jauh lebih besar. Pendekatan ini turut mempengaruhi cara saya melabur. Saya sentiasa mencari peluang untuk membina hubungan antara pelbagai bidang industri dan komuniti yang berbeza.

EM: Melalui pengalaman sebagai Champion for Children bersama UNICEF dan Global Philanthropy Mentor di NYU Shanghai sebelum ini, apakah isu yang melibatkan kanak-kanak dan belia paling membimbangkan masa kini?

ZDC: Kesihatan mental antara isu yang paling saya tekankan. Ketika pandemik, saya mula sedar betapa pentingnya akses kepada pendidikan dan sokongan emosi bagi golongan muda. Pernah saya mempersoalkan keperluan menyediakan peranti digital seperti iPad atau tablet kepada kanak-kanak kecil, namun kemudian saya memahami bahawa bagi sesetengah mereka hanya teknologi merupakan satu-satunya cara mereka belajar dan berhubung dengan dunia luar. Golongan muda hari ini berdepan banyak tekanan besar. Mereka perlu lebih banyak panduan, peluang dan definisi kejayaan yang lebih luas daripada sekadar pencapaian akademik atau material untuk membawa perubahan sosial dan ekonomi.

Kot dan semua persalinan daripada Kit Woo.

E: Jadi pada pandangan anda, sejauh mana pula kreativiti mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada perubahan sosial dan pertumbuhan ekonomi?

ZDC: Kreativiti dan inovasi merupakan antara pemacu terpenting kemajuan manusia. Jika kita melihat perkembangan dunia dalam tempoh 20 tahun terakhir ini hampir semua perubahan besar datang daripada idea-idea kreatif yang berjaya diterjemahkan menjadi inovasi. Daripada telefon pintar hingga kecerdasan buatan, kreativiti telah mengubah cara kita bekerja, berkomunikasi dan menjalani kehidupan. Sebab itu saya percaya kreativiti bukan sahaja mencipta pertumbuhan ekonomi, malah mampu menyelesaikan pelbagai cabaran sosial.

EM: Sebagai penasihat Vogue Singapore Foundation pula, anda percaya industri kreatif mempunyai kuasa untuk mempengaruhi perubahan yang lebih menyeluruh kepada masyarakat?

ZDC: Ya betul, fesyen mempunyai pengaruh budaya yang sangat kuat. Ia mampu membentuk cara masyarakat berfikir, berinteraksi dan melihat dunia. Ramai anak muda hari ini mungkin tidak mengikuti ahli akademik atau pemimpin korporat tetapi mereka mengikuti ikon budaya dan individu di bidang fesyen yang mereka kagumi. Oleh itu jelas industri fesyen mempunyai peluang besar untuk menyampaikan mesej positif dan menggalakkan perubahan sosial. Kita juga telah melihat banyak kempen fesyen global yang menggunakan pakaian sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu penting seperti kesihatan, pendidikan dan kemanusiaan.

EM: Dalam era AI dan automasi pula, apakah kemahiran atau nilai yang anda percaya akan menjadi kelebihan terbesar generasi muda?

ZDC: Saya percaya kemampuan untuk bekerjasama dengan AI akan menjadi salah satu kemahiran paling penting pada masa hadapan. Hari ini, seseorang individu yang kreatif dan mempunyai akses kepada AI boleh mencapai perkara yang sebelum ini memerlukan sebuah team besar. AI membolehkan idea diterjemahkan dengan lebih pantas dan berkesan. Namun pada masa yang sama, nilai-nilai kemanusiaan seperti kreativiti, empati, integriti dan pemikiran kritikal akan menjadi semakin penting kerana perkara itulah yang tidak boleh digantikan oleh teknologi.

EM: Jika diberi peluang melabur bagi tempoh 20 tahun akan datang, sektor atau jenis perniagaan apakah yang paling menarik perhatian anda dan mengapa?

ZDC: Saya masih sangat optimis kepada gabungan teknologi dan fesyen. Kedua-dua sektor ini mempunyai potensi besar untuk berkembang bersama-sama khususnya dalam bidang kemampanan, kecerdasan buatan dan pengalaman pengguna yang lebih inovatif. Saya juga percaya bahawa peluang terbaik selalunya datang apabila minat peribadi bertemu dengan kepakaran profesional. Apabila ada dua atau tiga individu yang benar-benar memahami dan mengerjakan sesuatu bidang, bersama-sama mereka akan lebih berupaya mencipta nilai jangka panjang buat masyarakat.

EM: Legasi yang ingin anda tinggalkan melalui semua penglibatan ini.

ZDC: Saya berharap dapat meninggalkan legasi semangat berani dan ketabahan kepada generasi akan datang. Dalam hidup ini kita semua akan melalui jatuh dan bangun. Namun perkara paling penting adalah kita tidak pernah berputus asa. Saya percaya individu paling berjaya tidak semestinya mereka yang bernasib baik tetapi mereka yang berani untuk terus mencuba walaupun berdepan cabaran. Jika ada satu legasi yang ingin saya tinggalkan, ia adalah keyakinan bahawa perubahan positif sentiasa dapat dicapai apabila kita mempunyai keberanian untuk terus melangkah.

EM: Kita ke soalan yang lebih ringan, satu hidangan yang sentiasa membuatkan anda berasa seakan di rumah.

ZDC: Saya peminat makanan pedas, terutamanya hot pot. Bagi saya, hot pot sentiasa memberi rasa selesa dan tenang selain lazat. Dalam budaya kami di Beijing China, ada satu gurauan yang mengatakan bahawa hampir semua masalah boleh dibincangkan dan diselesaikan di hadapan semangkuk hot pot. Ia mengingatkan saya kepada keluarga, sahabat dan kebersamaan. 

EM: Jika ada satu hari untuk tidak melakukan apa-apa, bagaimana anda akan menghabiskannya?

ZDC: Saya akan membaca. Membaca itu bagi saya bukan hanya hobi tetapi sebahagian daripada rutin harian yang menenangkan. Ia seperti minum air putih atau menikmati makanan sihat dan membantu saya untuk dapat berfikir dengan lebih baik.

EM: Satu perkara yang mahu anda pelajari atau kuasai tahun ini.

ZDC: Saya mahu menjadi lebih mahir menggunakan AI dalam kehidupan dan pekerjaan harian. Teknologi ini berkembang dengan sangat pantas dan saya percaya ia akan menjadi alat yang amat penting untuk meningkatkan produktiviti, kreativiti dan inovasi terutamanya golonngan muda. Saya menggunakan AI hampir setiap hari ketika bekerja dan melihatnya sebagai pembantu potensi pelaburan yang luar biasa untuk masa hadapan.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down