Dahulu dilihat sebagai sukan elit, kini golf semakin mendapat tempat sebagai sukan rekreasi pilihan ramai. Sama ada anda seorang profesional yang mencari fairway baru, pesara yang mahu unwind atau pencinta sukan yang suka cabaran berbeza hujung minggu, golf kini menjadi salah satu cara untuk berehat, bernafas dan menikmati alam. Dengan iklim tropika sepanjang tahun dan landskap semula jadi yang memang menarik, Malaysia menawarkan banyak destinasi golf yang bukan sahaja cantik, tapi juga berkelas dunia. Berikut lima padang golf terbaik yang boleh anda jadikan alasan sah untuk percutian seterusnya.
Kalau anda inginkan alam semula jadi dan reka bentuk padang yang penuh karakter, inilah tempatnya. Terletak di tengah-tengah hutan hujan dengan Laut Andaman terbentang di depan mata, The Els Club Teluk Datai memang pilihan sempurna. Direka oleh legenda golf Afrika Selatan, Ernie Els, padang kejohanan 18 lubang ini adalah satu pengalaman mesti-cuba. Pemandangannya cukup dramatik, dengan latar gunung berkabus dan kanopi hutan tropika yang menghijau.
Moden, inovatif dan serba lengkap. Forest City Golf Resort di Johor Bahru menampilkan tiga padang golf 18 lubang hasil sentuhan Jack Nicklaus dan anaknya Jack Nicklaus II, legasi yang bukan calang-calang. The Legacy Course menjadi pilihan ramai: fairway luas, elemen landskap berair dan suasana tenang yang tetap memberi cabaran. Sama ada anda baru bermula atau seorang avid golfer, ini tempat yang patut masuk dalam senarai.
Permata dalam kota, KLGCC terletak di tengah-tengah ibu negara dan merupakan kelab eksklusif yang pernah menjadi pentas untuk kejohanan seperti Maybank Championship dan Sime Darby LPGA. Ada dua padang utama di sini: Padang Barat untuk mereka yang mahukan cabaran sebenar, dan Padang Timur yang lebih friendly untuk sesi santai atau main-main hujung minggu. Apa pun pilihan anda, fasiliti di sini memang first class!
Tak jauh dari hiruk-pikuk KL, IOI Palm Garden Golf Club menawarkan suasana yang lebih relaks tetapi tetap profesional. Terletak dalam kawasan landskap IOI Resort City yang terancang, ia sesuai untuk mereka yang suka tee-off tanpa perlu merancang road trip panjang. Padangnya mesra semua peringkat, tapi jangan pandang ringan. Green berbukit, bunker strategik dan halangan air cukup untuk menguji fokus anda. Plus, akademi golf dan fasiliti mesra keluarga di sini menjadikannya destinasi hujung minggu yang ideal.
Ingin escape dari kota tapi tidak mahu memandu jauh? Templer Park jawapannya. Hanya 30 minit dari KL, padang ini tersembunyi di balik keindahan Bukit Takun yang berbatu kapur, menjadikan latarnya cukup dramatis dan mempesona. Direka oleh arkitek Jepun Kentaro Sato bersama legenda golf Jumbo Ozaki, padang 18 lubang ini mengekalkan kontur semula jadi yang mencabar tapi menyeronokkan.