Coretan tinta fesyen kali ini adalah tentang seorang ikon stail generasi masa kini. Amirul Danial empunya nama, atau lebih mesra dipanggil Eddy. Usianya kini di pertengahan 20-an namun sudah memiliki cita-cita menggergasi. Keberadaan Eddy dalam lapangan fesyen Malaysia beralas – bukan sekadarkan cuma mahu menjelma sebagai pempengaruh atau pencipta kandungan sahaja, bahkan menjadi usahawan jenama fesyen.

“Jenama All Love adalah cerminan gaya hidup saya. Dan saya bersyukur kerana jenama ini beroleh kejayaan dalam melumpukkan satu komuniti,” jelas Eddy kepada kami. Inovasi jenama All Love ini mendefinisikan kecintaan Eddy yang datang dalam detik tertentu. ‘Era’ adalah kata kunci Eddy dan pasukannya kala berkreatitf. “Saya tidak mahu hanya ‘bersetumpu’ pada satu aspek sahaja pabila mereka sesuatu. Saya mahu menampilkan kepelbagaian,” sambung Eddy lagi.

Bagaimana anda bermula dalam dunia fashion content creation? Apa yang mendorong anda?
Saya tidak ada timeline spesifik. Saya adalah seorang individu yang suka dressing, sedari kecil lagi dan senantiasa mahu nampak elok pada pandangan. Saya dipengaruhi oleh budaya fesyen jalanan, contohnya era Off-White di bawah pimpinan Virgil Abloh, yang memupuk kecenderungan untuk terbit minat pada fesyen. Daripada situ, saya giat mencipta kandungan-kandungan yang berkaitan dengan fesyen. Sekali gus, membentuk identiti saya.
Sebagai seorang pencinta fesyen, is being overdressed a thing?
Menurut pendapat peribadi saya, there’s no such thing as overdressed. Sama ada anda dress up atau don’t dress at all.
Daripada mana munculnya nama jenama All Love itu?
Ia bertunas daripada satu ekspresi untuk melisankan balas terima kasih. Daripada membalas balik dengan lafaz “Oh, welcome” selepas orang lain melafazkan “Terima kasih”, sebaliknya mengucapkan “All love.” Saya membesar dengan muzik-muzik serta budaya Rap seperti J.Cole dan seumpamanya. Dan kebiasaan mendengar mereka mengucapkan “All love” itu menggugah ilham dalam diri saya untuk menjadikan ungkapan istimewa tersebut sebagai nama jenama saya.

Jenama streetwear antarabangsa yang banyak meninggalkan impak adalah…
Off-White, era Virgil Abloh.
Gaya hidup sebenar anda vs. gaya yang anda letak dalam kandungan sosial?
Apa yang anda lihat dalam kandungan sosial saya…. begitu jugalah penggayaan sebenar saya. Apa yang mahu saya pamerkan adalah aspek autentik dan tiada kebezaan jauh daripada realiti. That’s who I am. Saya tidak mahu memalsukan keperibadian dan identiti.
Sebagai pengasas jenama All Love, adakah anda juga translate gaya peribadi anda pada rekaan-rekaannya?
Jika saya boleh tunjukkan kepada anda deck All Love, anda akan lihat All Love mencerminkan ketepatan gaya Amirul Danial. Dan ia relatable dengan penggemar-penggemar jenama All Love. Pakaian dan aksesori yang diumpamakan pernyataan jelas lifestyle Amirul Danial.
Oh, baru-baru ini, saya menyukai sukan snowboarding dan sukan berlari. Namun, saya tidaklah mahu menterjemahkan kesukaan ini secara literal. Saya menyisip konsep-konsep ini secara halus untuk menghasilkan rekaan -rekaan yang berteraskan athleisure. Oleh itu, di samping All Love, saya memperkenalkan satu lagi jenama diffusion saya, yakni All Gas No Brakes yang tertuju kepada konsep sebegini.

Cabaran ketika mengeluarkan himpunan jenama All Love?
Cabarannya barangkali untuk memahamkan sesetengah pihak tentang estetika saya. Sebab kita tidak mampu memuaskan hati semua orang, kan? Mungkin hal-hal yang saya suka, agak sedikit sukar untuk difahami oleh orang lain.
Inspirasi gaya-gaya peribadi anda datangnya daripada mana?
Uniform Display. Ada satu akaun Instagram yakni akaun Uniform Display yang mempamerkan fesyen-fesyen orang di United Kingdom dan berjaya mencuri perhatian saya. Ada beberapa stail di dalam akaun tersebut yang saya kutip sebagai inspirasi, terkadang saya akan rujuk dan improvise sedikit mengikut cita rasa tersendiri.
Kita perlu memandang hal-hal yang di luar ‘zon selesa’ kita. Terutamanya landskap antarabangsa, contohnya, yang beroleh kemenangan dalam mencorakkan identiti mereka. Perkara seperti ini membuahkan ilham dalam diri saya untuk melakukan hal yang sama. Ia menerbitkan suatu rasa atau semangat dalam jiwa kita untuk menjadi penyumbang dalam pembentukan identiti.

Anda dipanggil cerminan imej gen Z. Generation comes and goes. Bagaimana anda yang kini dalam kelompok gen Z, memelihara identiti pabila munculnya gen Alpha atau yang seterusnya?
Mengekalkan autentik. Seperti yang sudah dijelaskan awal tadi, saya mementingkan aspek autentik dalam penggayaan harian dan saya percaya, aspek tersebut menjanjikan longevity. Aspek autentik akan sentiasa berkeliling dalam kotak fikiran orang lain dan biar berganti generasi sekali pun, ingatan orang fasal gaya kita barangkali tidakkan ranap. Sama ada orang suka atau tidak, itu belakang cerita.
Walk us through your creative process. Bila anda menyatukan penggayaan, anda akan mulakan dengan pakaian dengan kasut terlebih dahulu atau anda akan fikirkan mood dahulu?
Saya akan mulakan dengan mood dahulu. Saya akan fikir ‘moodboard’ penggayaan saya pada hari-hari tertentu dan daripada situ, saya mengenal pasti apa jaket, seluar serta kasut yang mahu dipakai. Thought process saya melibatkan improvisation untuk disesuaikan dengan persekitaran atau bersahaja mahu menjadi ekstra kreatif.
Kredit gambar : Instagram @ihateamiruldanial