LANGGAN

Estetika Kamera Fujifilm GFX100RF

Olahan kamera sebagai objek seni
Published: December 27, 2025

Dalam dunia lelaki moden hari ini, gaya hidup dan teknologi sering mempunyai keterkaitannya. Apresiasi terhadap reka bentuk yang berjiwa menjadi kepentingan. Kolaborasi terbaharu antara Hiroshi Fujiwara dan Fujifilm membuktikan hakikat ini apabila kamera tidak lagi sekadar alat merakam gambar atau video. Namun menjadi manifestasi estetika dan falsafah minimalisme Jepun.

Estetika Hitam Fujiwara

Dikenali sebagai 'Godfather of streetwear', Fujiwara menyuntik sentuhan fragment design ke atas kamera medium format unggulan Fujifilm ini. Ia melahirkan fragment design x Fujifilm GFX100RF “Fragment Edition” yakni sebuah edisi terhad yang eksklusif dan penuh karakter. Siluet ikonik GFX100RF kini disarung kemasan hitam pekat berkilau. Hasil proses penggilapan tangan yang menghasilkan efek cermin dengan kilauan mewah, jauh berbeza daripada kemasan matte versi standard.

Bahagian top case dan badan aluminium anodisasi dikemaskan dengan ketelitian tinggi, menjadikan setiap unit tampak seperti objek seni yang hidup. Sebagai simbol subtil namun bererti, logo kilat fragment design turut disematkan secara minimal pada bahagian atas kamera serta aksesori. Ini secara langsung mencerminkan falsafah Fujiwara yang sentiasa meraikan keanggunan namun tidak keterlaluan.

Pengalaman Visual Eksklusif

Keistimewaan Fragment Edition tidak terhad pada luarannya sahaja. Setiap butiran diperhalusi daripada paparan logo fragment design ketika kamera dihidupkan, tali kulit eksklusif yang dihasilkan daripada sekeping kulit tunggal, hingga aksesori yang disepadukan dengan tona dan tekstur kamera. Lebih istimewa, edisi ini memperkenalkan simulasi filem monokrom khas, FRGMT BW yang dibangunkan bersama Fujiwara. Profil ini menekankan kontra ton yang kuat, tekstur kasar dan bayangan lebih dramatik sebagai sebuah penghormatan kepada fotografi hitam putih yang jujur dan beremosi.

Dari sudut prestasi, kamera ini mengekalkan kehebatan teknikal GFX100RF standard dengan sensor 102-megapiksel dan keupayaan pemprosesan imej termaju. Namun, Fragment Edition jelas ditujukan kepada penggemar seni visual dan kolektorm khususnya mereka yang menghargai cerita di sebalik objek.

Kamera edisi terhad ini hanya dijual di Jepun menerusi sistem undian eksklusif di Fujifilm Mall, dengan pra-tempahan atas talian bermula 20 Disember 2025. Sebuah pertemuan antara teknologi, fesyen dan budaya. Kamera ini juga adalah lambang lelaki kontemporari yang memahami bahawa gaya sebenar terletak pada perincian.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down