LANGGAN

Kelab Komedi New Gen: Ryan Bakery

Gabungan nostalgia dan jenaka dalam satu kandungan
Published: April 28, 2026

Berasal dari Manjung, Perak, Ryan Bakery mencipta fenomena tersendiri di media sosial dengan kandungan berteraskan nostalgia yang dekat di hati netizen. Bermula sebagai pencipta kandungan ketika pandemik, dia memanfaatkan platform TikTok untuk menghidupkan semula memori lama dengan sentuhan humor yang segar dan relatable.


EM: Siapa anda?

RB: Saya seorang pencipta kandungan sepenuh masa. Perjalanan saya bermula ketika pandemik, apabila saya mula aktif menghasilkan kandungan di TikTok. Pada awalnya, saya sekadar mencuba, namun video berunsur nostalgia yang saya hasilkan menerima respons yang sangat memberangsangkan. Dari situ, saya mula sedar bahawa orang ramai mempunyai kecenderungan terhadap kandungan sebegini dan saya mendalaminya dengan lebih serius.

EM: Bila kali pertama anda tahu yang anda boleh buat orang ketawa?

RB: Momen paling ketara adalah apabila saya menghasilkan kandungan berkaitan hubungan kekeluargaan macam ibu dan anak atau ibu bapa. Reaksi penonton bukan sekadar ketawa tetapi turut berkongsi kisah peribadi yang menyentuh emosi termasuk kenangan bersama insan tersayang yang telah tiada. Dari situ, saya rasa kepuasan yang berbeza kerana bukan sahaja berjaya menghiburkan tetapi juga membangkitkan memori dan emosi penonton. Menariknya, karakter yang sering saya tunjukkan bukanlah sepenuhnya berasaskan ibu saya, sebaliknya lebih terinspirasi daripada personaliti nenek saya yang lebih tegas dan berkarakter. 

EM: Kelainan yang dibawa dalam jenaka.

RB: Bagi saya, ekspresi wajah memainkan peranan yang sangat besar. Idea yang menarik saja tidak mencukupi sekiranya tidak disampaikan dengan ekspresi yang tepat. Sebab lawak itu kena sampai kalau tidak nanti pasti hambar. 

Proses menghasilkan kandungan juga sebenarnya macam kena berlakon. Contoh watak ibu yang saya selalu buat, ekspresi itu perlu betul-betul  meyakinkan dan juga watak budak bedak yang popular. Itu semua kena ada reaksi agar penonton dapat merasai emosi tersebut dengan lebih mendalam lagi. 

EM: Bagaimana sebenarnya diri anda itu apabila off-camera?

RB: Di luar kamera, saya seorang yang seimbang. Kalau dengan kawan-kawan saya, saya boleh menjadi seorang yang ‘masuk air’. Tetapi kalau ikut keadaan saya boleh jadi orang yang serius. Ramai yang beranggapan saya sombong apabila nampak dari jauh, mungkin kerana sifat saya yang lebih tenang apabila bersendirian. Hakikatnya, saya seorang yang peramah dan mudah bergaul apabila sudah kenal.

EM: Satu karakter yang tidak diketahui peminat atau pengikut. 

RB: Saya seorang yang garang. Sebab kalau dalam family, adik-beradik saya memang takut dengan saya. Sebab itu kalau mereka interview dalam live kan, adik-adik saya mesti cakap “abang saya garang”. Walaupun penonton melihat saya sebagai seorang yang santai dan menghiburkan, hakikatnya saya tegas terutama sekali dalam keluarga. 

EM: Hobi apabila tidak sibuk bekerja. 

RB: Saya suka melukis, main permainan video dan meluangkan masa berjalan-jalan di pusat membeli-belah bersama keluarga. Saya selesa menikmati suasana di dalam negara setakat ini. Sebab dulu saya orang yang tidak senang. Bila berada dalam mall, dia macam bagi saya kepuasan tersendiri. Dia macam satu simbol pencapaian peribadi, macam dulu kita tengok artis-artis pakai, jadi kita pun nak ada benda yang sama juga dengan hasil yang kita dapat sendiri. 

EM: Rencana terbesar dalam perancangan kerjaya tahun ini. 

RB: Perancangan saya pertama sekali, saya dah mula masuk ke industri perfileman dan yang kedua, fizikal saya sendiri. Saya jaga penampilan saya step by step. Itu antara effort saya untuk saya membesarkan lagi nama saya. 

Dari segi kandungan, saya masih teruskan seperti biasa, jadual tahun ini agak padat kerana saya turut menguruskan perniagaan sampingan. Dalam industri ini, saya percaya seseorang perlu sentiasa mencari peluang dan ruang baru untuk terus berkembang dan kekal relevan dalam jangka masa panjang.

Penyelaras & Penata Gaya: Ardi Idewani

Arahan Seni: Iera Nadzlim

Dibantu Oleh: Aishah Haziyah

Fotografi: Edmund Lee

Dandanan: Miedy Daniel

Solekan: Desiree

Pakaian: Sacoor Brothers & Wardrobe Privato

Teks oleh: M. Ridhwan Sa'aya & Nurhani Natasha

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down