Jika diteliti akan penghasilan jam tangan ia sebenarnya bukan sekadar penunjuk masa tetapi berfungsi sebagai idea status dan personaliti pemakai. Penghasilan yang sentiasa bertunjangkan idea kreatif yang berani berbalut emosi dan pengalaman kembara mungkin juga sinematik. Ia secara tidak langsung menjadi sesuatu yang membentuk identiti.
Menggambarkan semangat tersebut, pembuat jam mewah dari Switzerland, TAG Heuer melancarkan TAG Heuer Monaco Chronograph x Gulf. Ilham yang diperbaharui dalam edisi terkini cukup menyerlah dan bergerak sebagai satu semangat meraikan perlumbaan, aura sinematik dan gaya berani yang menjadikan TAG Heuer Monaco satu ikon.
Dihasilkan dengan satu kolaborasi bersama Gulf, kronograf edisi terhad ini menghubungkan semula dengan era kegemilangan sukan permotoran dengan warisan sinematik yang mengukuhkan status ikonik TAG Heuer Monaco.
Tercipta terhad dalam 971 unit sahaja, jam tangan ini membawa kita kembali ke tahun 1971 ketika pertama kali filem Le Mans ditayangkan. Filem yang cukup sinonim dengan ilham permotoran dan ia juga menjadi satu dedikasi buat legenda Steve McQueen yang memandu Porsche 917K miliknya.
Jam tangan ini hadir pada detik penting dalam sejarah TAG Heuer dan Grand Prix de Monaco. Buat pertama kalinya, perlumbaan ikonik ini akan membawa nama rakan penaja utama menjadi Formula 1 TAG Heuer Grand Prix de Monaco. Penghasilan edisi terhad yang baharu ini, TAG Heuer terus menguatkan identiti jenama ini dengan dunia perlumbaan.
Rekaan livery Gulf merupakan salah satu identiti visual yang paling mudah dikenali dalam dunia sukan permotoran. Gabungan warna biru muda dan jingga terang ini menjadi simbol perlumbaan ketahanan pada akhir tahun 1960-an dan 1970-an. Pelumba seperti Jo Siffert yang menjalinkan hubungan jenama dengan TAG Heuer menjadi titik mula jenama ini di arena perlumbaan.