LANGGAN

Burberry x Smythson: Sentuhan Mewah Buat Hobi Anda! 

Kolaborasi yang memberikan nafas baru dalam seni dan kreativiti.
Published: November 6, 2026

Musim perayaan semakin hampir, diikuti pula dengan ketibaan tahun baru yang pastinya membawa pelbagai sambutan istimewa. Dalam kesibukan mencari hadiah untuk insan tersayang, apa kata beralih daripada pilihan biasa kepada sesuatu yang lebih bermakna? Buat anda yang gemarkan seni penulisan atau aktiviti kreatif, Burberry dan Smythson memperkenalkan kolaborasi istimewa yang mengangkat keindahan alat tulis serta permainan klasik. Koleksi ini membuktikan bahawa sesuatu yang dekat dengan kehidupan seharian juga mampu hadir dengan sentuhan mewah.

Gabungan Dua Warisan British

Pertemuan Burberry dan Smythson bukan sekadar kolaborasi antara dua nama besar British. Malah ia memperlihatkan persamaan dari segi penghargaan terhadap seni pertukangan dan reka bentuk yang kekal sepanjang zaman. Ditubuhkan pada 1887 di New Bond Street, London, Smythson terkenal dengan penghasilan alat tulis premium dan barangan kulit berkualiti. Jenama ini turut mencipta diari mudah alih pertama di dunia pada tahun 1908. Selain itu mereka juga mempunyai sejarah menghasilkan buku catatan khas untuk ekspedisi merentasi dunia. Warisan pengembaraan tersebut turut menjadi inspirasi kepada koleksi bersama Burberry.

Buku Nota Dengan Sentuhan Eksklusif

Antara tarikan utama koleksi ini ialah rangkaian buku nota kulit yang menampilkan ilustrasi menarik. Bahagian dalamnya menggunakan kertas Featherweight ikonik Smythson, manakala halaman pembuka dan penutup dihiasi corak peta London atau motif House Check yang cukup sinonim dengan Burberry. Setiap buku nota turut dihasilkan secara buatan tangan di bengkel Smythson di Hertfordshire, England. Bukan sekadar ruang untuk mencatat idea atau menyusun perancangan harian, rekaan ini juga sesuai dijadikan koleksi peribadi buat mereka yang menghargai seni penulisan.

Permainan Klasik Untuk Dibawa Ke Mana Sahaja

Selain buku nota, kolaborasi ini turut memperkenalkan rangkaian permainan yang boleh dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan, sama ada di rumah atau ketika mengembara. Antaranya termasuk set permainan kad serta papan catur dan backgammon yang boleh digulung untuk memudahkan penyimpanan. Set permainan ini menggunakan kulit Panama crossgrain khas Smythson dengan bahagian dalam kulit licin serta ruang berzip yang dilapisi corak House Check. Bagi set permainan kad pula, setiap kad hadir dengan ilustrasi berciri eksklusif lengkap dengan sarung kulit khas untuk perjalanan. Edisi dua pek turut disertakan pensel Wafer ikonik Smythson dan buku nota kecil bagi mencatat skor permainan.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down