LANGGAN

Carlos Sainz Rai Ikatan Bapa Dan Anak Bersama Hackett London

Tradition & Modernity
Published: July 23, 2025

Hackett London mempersembahkan kempen musim bunga/panas 2025 dalam menghargai ikatan kekeluargaan, warisan, dan evolusi gaya bersama Carlos Sainz.  

carlos sainz

Melalui kempen musim bunga/panas 2025, Hackett London meraikan ikatan erat antara bapa dan anak lelaki, kekayaan warisan, dan evolusi gaya peribadi. Kempen ini menampilkan duo ikonik iaitu Carlos Sainz Sr. dan Carlos Sainz Jr. Kedua-duanya merupakan ikon perlumbaan Sepanyol dengan kisah mereka seiring dengan nilai-nilai yang dipegang oleh Hackett.

Hubungan antara bapa dan anak lelaki melangkaui ikatan kekeluargaan. Ia melambangkan pemindahan nilai, keharmonian antara kebijaksanaan dan semangat muda. Serta keseimbangan antara tradisi dan kemodenan. Ikatan abadi inimenjadi inspirasi utama untuk kempen terbaharu Hackett. Ia menonjolkan inti pati lelaki Hackett: individu yang berwibawa, bergaya dan serba boleh, dalam mengharungi setiap fasa kehidupan dengan penuh gaya

Kempen ini berlatar belakangkan sebuah manor Inggeris dan taman-taman yang indah. Visual yang dihasilkan memperlihatkan detik-detik bermakna antara bapa dan anak. Dari momen membetulkan tali leher, berkongsi pemanduan indah, hinggalah bermain backgammon. Detik-detik ini mencerminkan hubungan yang dibina atas rasa hormat dan nilai bersama, sambil memberi ruang untuk ekspresi diri masing-masing. Ini juga mencerminkan falsafah Hackett: gaya abadi yang berkembang bersama ekspresi peribadi.

Tradition & Modernity untuk Koleksi Musim Bunga/Panas 2025

Koleksi musim ini menyerlahkan kepelbagaian yang ada pada jenama ini. Dengan menawarkan pilihan pakaian formal yang sofistikated dan gaya kasual yang santai, sesuai untuk semua peringkat usia. Carlos Sainz Jr. mewakili semangat muda dan gaya kontemporari. Manakala Carlos Sainz Sr. menggambarkan keanggunan, keyakinan dan kebijaksanaan. Bersama, mereka membiaskan keupayaan Hackett untuk menggayakan setiap lelaki dengan keanggunan yang tiada tandingan.

Kempen ini menampilkan pilihan gaya yang segak rapi lantas mencerminkan signature Hackett. Untuk majlis khas, Carlos Sainz Jr. mengenakan sut Prince of Wales yang diperbuat daripada campuran bulu, sutera dan linen. Dipadankan pula dengan kemeja formal herringbone berpotongan Knightsbridge. Bapanya pula menonjolkan keanggunan klasik dengan sut kembara berwarna biru, dipadankan dengan kemeja kapas twill putih dan ves linen berkancing dua yang sofistikated.

Gaya kasual smart pula menggabungkan unsur klasik dan semangat muda. Pelumba Formula 1 itu menggayakan kemeja sued warna beige bersama baju polo, seluar denim, dan kasut loafer Burton. Si bapa pula tampil dengan jaket Velospeed, baju jersi, seluar chino klasik, dan loafer kulit yang berkilat.

Koleksi ini juga memfokuskan pada blazer, jaket dan pilihan jersi yang santai. Cukup sesuai untuk cuaca pada musim peralihan. Fabrikasi kapas dan sutera yang lembut dan bernafas menyerlahkan tarikan ringan dan keselesaan koleksi ini. Corak klasik, jalur dan cetakan halus menjadi tumpuan utama, dengan kemeja lengan pendek, polo linen dan kemeja-t yang memberikan sentuhan segar. Koleksi ini akan memastikan gaya lelaki sentiasa kemas dan fleksibel untuk apa jua acara dan cuaca. 

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down