
Penampilan yang paling dinanti-nantikan di Kuala Lumpur kini sudah tiba! LILANZ kini tampil memperkenalkan butik terbaharunya di Pavilion Bukit Jalil. Lokasi kedua jenama ini di Malaysia (butik pertama di SkyAvenue, Genting Highlands) dan yang pertama di dunia memperkenalkan konsep butik moden “Future Business”. Merangkumi kawasan seluas 4,350 kaki persegi, ruang ini membayangkan semula pengalaman padanan busana lelaki moden menerusi kepelbagaian rekaan, inovasi dan teknologi. Ia mengambil inspirasi daripada mod perjalanan kontemporari. Daripada kereta api dan kereta kepada pesawat serta kapsul angkasa lepas, konsep ini membayangkan fesyen futuristik dan dunia perniagaan. Lantas mengubah pengalaman membeli-belah konvensional kepada perjalanan mengasyikkan yang merentasi masa dan ruang.
Terletak di aras 2 Pavilion Bukit Jalil, ruang baharu ini menyerlahkan estetika ‘Perniagaan Masa Depan Di Luar Alam Nyata’ bagi LILANZ. Interaksi antara aksen logam, garisan potongan geometri, lampu dinamik serta bebayang merakam intipati moden bagi himpunan pakaian lelaki minimalis LILANZ. Ia ditafsirkan daripada keharmonian sempurna antara rekaan perintis, seni halus dan unsur keremajaan. Dipacu oleh tiga terasnya iaitu Smart, Urban Casual dan Performance Wear, jenama ini menawarkan siluet fesyen masa depan yang mengimbangi impak versatil bersama kemewahan sederhana. Setiap helaian dipertingkatkan oleh inovasi dan teknologi canggih. Ini meningkatkan lagi stail pemakaian harian dengan gaya yang mudah, keselesaan ringan serta sofistikated kontemporari.

Dari jauh, bahagian hadapan luar butik seolah memberikan kenyataan memukau dengan hamparan bingkai kaca anggun bersama logo LILANZ. Pastinya akan menarik sesiapa jua pada pandangan pertama. Di pintu masuk, pelanggan disambut oleh paparan portal angkasa lepas futuristik, menawarkan permulaan sinematik kepada apa yang bakal menanti di dalamnya. Di bahagian dalam pula, pengalaman itu terungkap seperti laluan ke masa depan. Ruang yang lapang, terang dan terbuka, di mana fesyen serta teknologi saling bertemu. Aliran minimalis ini membawa kepada penerokaan yang tenang. Sementara pencahayaan lembut dan kontras sentuhan meningkatkan lagi daya sofistikated reka bentuk butik.
Pemasangan keluli tahan karat diatur seiring dengan terazo kaca bagi mencipta ruang kontemporari dan elegan. Disertakan dengan ciri tempatan, sentuhan halus buluh Malaysia memberikan kehangatan dan keaslian kepada suasana keseluruhannya. Integrasi reka bentuk tempatan ini bertindak sebagai penghormatan puitis kepada kekayaan warisan negara dan kesenian tradisional. Setiap perincian digubah dengan teliti untuk mengimbangi ketepatan seni bina dengan menitipkan unsur penerokaan.

Di ruang tengah butik terletaknya zon seluar khusus. Ia berfungsi sebagai titik fokus seni bina ruang tersebut. Di sekelilingnya terdapat pameran luas yang menonjolkan pelbagai koleksi pakaian lelaki LILANZ, daripada sut kepada pakaian kasual dan padanan keperluan yang dipertingkatkan. Terselit dalam ruang ini juga sebuah kawasan meriah dipenuhi dengan kemeja-T polo dalam rona terang, sekali gus memberikan kontras yang jelas kepada palet monokrom di butik itu. Bilik-bilik untuk mencuba pakaian, dengan reka bentuk seperti kapsul, melengkapkan lagi naratif futurisme dan keselesaan, memastikan setiap titik sentuhan bersifat kontemporari dan penuh gaya.
Luas, moden dan imersif, butik baharu di Pavilion Bukit Jalil ini melambangkan impian global dan falsafah rekaan LILANZ dalam bentuk yang paling tulen. Lebih daripada sekadar ruang runcit, ia merupakan ekspresi semangat jenama ini yang berpandangan jauh ke depan jemputan untuk melangkah ke masa depan bagi himpunan pakaian lelaki yang bertapak di ibu negara Malaysia!