LANGGAN

Jem Kongsi Kisah Sempena Menyambut Tahun ke-20 Bersama Adidas

Crossover meraikan 20 tahun dalam menyatukan budaya fesyen dan muzik!
Published: October 27, 2025
Jem Crossover

Dua dekad bukanlah tempoh yang singkat , ia melambangkan perjalanan panjang yang penuh dengan kisah, cabaran dan pencapaian. Daripada langkah pertama yang bermula dengan semangat dan minat terhadap budaya streetwear dan muzik, Crossover kini berdiri sebagai peruncit streetwear dan sneaker yang terkenal di Malaysia. Bagi menyambut ulang tahun ke-20, Crossover memperkenalkan semula adidas Superstar ikonik dengan dua model vintaj, diolah khas oleh sentuhan kreatif SBTG, Mark Ong. Dalam temubual eksklusif bersama Jem, pengasas Crossover, dia berkongsi pengalaman tentang perjalanan jenama, serta apa yang menjadikan sambutan ulang tahun ke-20 bersama adidas ini begitu istimewa bagi dirinya.

20 tahun merupakan satu pencapaian. Apakah antara detik paling membanggakan buat Crossover?

Tiada detik tertentu yang saya anggap sebagai yang paling membanggakan kerana saya menghargai setiap momen sebagai sesuatu yang ikonik. Sama ada kisah kejayaan atau kegagalan, saya berbangga dengan setiap pengalaman yang saya lalui bersama Crossover dan saya menikmati perjalanan ini as it goes.

Cabaran terbesar ketika memulakan Crossover dan bagaimana anda mengatasinya?

Saya rasa cabaran terbesar ketika memulakan Crossover dan yang masih kekal hingga kini adalah untuk terus berpegang pada prinsip, nilai teras dan identiti kami. Industri streetwear sangat dinamik dan sentiasa bergerak pantas. Trend serta model perniagaan sentiasa berubah dan jika tidak berhati-hati, kami mungkin akan terjebak mengejar apa yang sedang tular dan melupakan identiti kami yang sebenarnya. Melalui ‘Be Reasonable, Demand the Impossible’, mengingatkan kami untuk sentiasa melangkaui batas dalam setiap perkara yang kami lakukan, sambil kekal berpijak pada akar dan asal-usul kami.

Superstar merupakan ikon dalam sejarah sneaker, bagaimana rekaannya berhubung dengan kisah Crossover sendiri?

Ia daripada kenangan peribadi, sesuatu yang agak nostalgik sebenarnya. Dahulu, saya sangat mengagumi dan menghormati rakan-rakan di sekolah yang memakai adidas Superstar dengan penuh keyakinan dan gaya. Keperibadian mereka menonjol bagi saya, membuatkan kasut adidas Superstar menjadi satu ikon di mata.

Jem Crossover

Adakah terdapat koleksi adidas kegemaran atau rekaan yang selari dengan identiti Crossover?

Selain Superstar, saya sangat menyukai adidas Campus 80. Bagi saya, Campus 80 melambangkan komuniti hip hop era 90-an. Beastie Boys memakainya di kulit album ‘Check Your Head’, juga sepanjang kerjaya muzik mereka. Ia menjadikannya sebagai model ikonik yang menghubungkan muzik, budaya dan gaya.

Apakah yang menjadikan kerjasama dengan adidas dan Mark Ong begitu istimewa?

Ia tentunya projek istimewa, terutamanya kerana ia adalah sebahagian daripada projek Ulang Tahun ke-20 Crossover. Apa yang menjadikannya lebih istimewa ialah penglibatan rakan baik kami, Mark daripada SBTG, yang bersama kami dalam projek ini dengan semangat persahabatan yang sejati. Bekerja pada model ikonik seperti adidas Superstar adalah impian yang menjadi kenyataan dan saya teruja untuk berkongsi pengalaman ini dengan peminat.

Apakah trend dalam fesyen streetwear yang paling mengujakan buat masa ini?

Sejujurnya, saya lebih teruja dengan perkembangan dunia muzik. Sejak dahulu lagi, saya banyak mendapat inspirasi dan pengaruh daripada muzik yang saya dengar. Secara tidak langsung ia turut mempengaruhi cara saya melihat fesyen dan gaya. Saya juga percaya bahawa muzik sentiasa menjadi faktor utama yang mendorong pelbagai trend fesyen. Kedua-duanya merupakan medium ekspresi diri dan tidak dapat wujud tanpa satu sama lain.

Harapan anda untuk Crossover dalam tempoh 20 tahun akan datang?

Mencapai ulang tahun ke-20 ini terasa tidak nyata. Kami tidak pernah membayangkan akan berada pada tahap seperti hari ini ketika pertama memulakan perjalanan ini dahulu. Minat dan rasa ingin tahu kami telah membangkitkan semangat yang mendorong kami ke arah perjalanan yang tidak dapat dilupakan. Kami bersyukur atas segala pencapaian yang telah diraih dan terus berharap terhadap kejayaan yang bakal dicipta pada masa hadapan.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down